DULU saintis tempatan berhijrah ke luar negara atas dua sebab. Pertama, dari segi bayaran dan kedua, persekitaran saintifik yang disediakan di negara luar. Namun, kini Malaysia dilihat sebagai negara membangun yang agresif dan mampu menawarkan kemudahan dan persekitaran yang diberikan di luar negara. Maka tibalah masanya untuk sirih pulang ke gagang.
Siapakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘saintis’ yang mampu menterjemahkan idea, hipotesis dan fenomena kepada aplikasi dalam bentuk penemuan yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh umat manusia sesuai dengan dunia semasa?
Pengarah Eksekutif Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Samsudin Tugiman dalam kertas kerjanya ‘Ke Arah Pembentukan Saintis Muda Melayu’ menjelaskan bahawa saintis ialah mereka yang mempunyai kelulusan dalam bidang sains dan kejuruteraan di peringkat lepasan ijazah dan pascakedoktoran yang melakukan kerja-kerja penyelidikan pembangunan sains dan teknologi.
Bagaimanapun, dalam satu artikel Newsweek bertarikh 30 Jun – 7 Julai 2003, dinyatakan bahawa saintis adalah golongan yang diberi keistimewaan atau ‘dilahirkan bagi menjadi saintis’. Dengan kata lain, kemahiran dalam bidang sains ialah pemberian Ilahi kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.
Saintis ialah manusia yang hidup dalam dunianya sendiri. Saintis sejati tidak mengenal erti putus asa dan tahan diuji dari segi mental. Mereka juga tidak mementingkan kegiatan lain, selain dunia penyelidikan saintifik. Mereka sanggup tidur di makmal sekiranya malam itu dapat menemukan sesuatu.
Contohnya, Thomas Alva Edison (1847-1931) melakukan percubaan sebanyak 4,000 kali sebelum dapat menerangi dunia seperti mana pada hari ini kita menikmati cahaya lampu hasil daripada idea beliau.
Bolehkah kita katakan bahawa seorang profesor atau pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) sebagai saintis?
Kebanyakan profesor atau pensyarah hanya berkhidmat pada waktu pejabat dan mungkin disibukkan dengan masalah anak atau hal lain. Apakah dalam masa sesingkat ini kita mengharapkan ada penemuan baru? Apakah setimpal dengan masa yang kita pertaruhkan dan mengharapkan Allah menganugerahkan kita kedudukan yang tinggi dari segi ilmu yang dapat dimanfaatkan oleh seluruh umat manusia?
Segala kerja penyelidikan di makmal diserahkan kepada pelajar. Masalah yang paling besar bagi pelajar sarjana dan PhD untuk berjumpa guru yang bergelar profesor yang sentiasa aktif di luar berbanding tugas hakikinya.
Apakah ini dapat kita katakan sebagai seorang guru yang mursyid? Ibn Khaldun menekankan pentingnya memilih guru yang mursyid serta diakui kebijaksanaannya dan keahliannya serta sentiasa mencari penggantinya supaya ilmu itu terus berkembang.
Dalam memastikan agar kerajaan tidak tersalah pilih dalam memanggil pulang saintis untuk berkhidmat di Malaysia, beberapa prosedur perlu dirangka. Antaranya ialah dengan tidak melihat gelaran Dr atau profesor dan had umur semata-mata. Ini kerana yang penting ialah pengalaman dan kecemerlangan mereka dalam bidang masing-masing di peringkat antarabangsa. Ia juga tidak boleh diukur melalui jumlah penulisan jurnal yang dihasilkan.
Hakikat dunia alaf baru ini menyaksikan bahawa kita tidak lagi boleh berbangga dengan gelaran Dr atau jumlah penulisan jurnal dan pembentangan kertas kerja dalam dan luar negara. Ini hanya sekadar merit untuk mendapatkan taraf profesor. Namun persoalannya ialah “pernahkah ilmu ini diuji di gelenggang sendiri?”
Aliran dana kerajaan dalam bentuk Penumpuan Penyelidikan dalam Bidang Keutamaan (IRPA) yang berjumlah berjuta-juta ringgit sekadar digunakan untuk membeli alatan makmal.
Apakah saintis terdahulu seperti Albert Eintesin atau Ibn Sina mempunyai kelengkapan makmal yang tercanggih?
Sekiranya langkah ini diambil penemuan dan ciptaan Malaysia akan mengubah dunia. Perlu diingat bahawa saintis tanpa pengalaman bekerja dan amali belum tentu mampu menterjemahkan ciptaan di makmal ke dunia komersial pada waktu terdekat ini.
Perjalanan saintis Melayu Islam dalam penerokaan ilmu bertujuan untuk mengkagumi kebesaran dan kekuasaan Ilahi. Ini kerana ada tanda-tanda kebesaran pencipta-Nya bagi mereka yang berfikir. Sebagaimana firman Allah bermaksud: “Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembangkan sayapnya dan mengatupnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Mulk, ayat 19).