Bagi sesetengah orang, alam sekitar yang bersih dan indah hanya wujud dalam idealismenya sahaja. Kepesatan perkembangan dunia kini tidak memungkinkan perkara ini wujud. Alam sekitar yang ada kini tidak boleh lagi dianggap sebagai semulajadi, semuanya sudah ‘terusik’. Pelbagai masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, hakisan tanah, kepupusan hidupan liar dan sebagainya wujud sehingga menimbulkan kebimbangan banyak pihak. Usaha-usaha mengatasi masalah ini ada yang bersifat mencegah dan ada juga yang bersifat mengubati. Pun begitu masalah alam sekitar terus wujud sehingga membawa kepada penurunan kualiti alam sekitar.
Terdapat pelbagai punca kepada masalah alam sekitar. Hampir kesemuanya akibat daripada aktiviti manusia. Salah satu aktiviti yang paling kerap dikaitkan dengan masalah alam sekitar adalah aktiviti ekonomi. Ini merangkumi aktiviti pertanian, perindustrian, pembinaan bangunan dan jalanraya, penebangan hutan untuk kayu balak dan penerokaan tanah untuk kawasan baru. Semua aktiviti ini memberikan tekanan kepada alam sekitar. Perkara ini berlaku bukan sahaja di Malaysia malahan di negara-negara lain terutamanya negara maju seperti Britain dan Jepun. Di Britain, akibat dari pembangunan yang pesat sejak beratus tahun dahulu, sumber hutannya semakin pupus. Masalah ini turut dihadapi oleh negara Jepun sehingga terpaksa mengimpot kayu balak dari negara luar bagi menampung permintaan tempatan.
Jika dilihat kepada Indeks Kemapanan Alam Sekitar (Environmental Sustainability Index) pada tahun 2002, dari 142 buah negara yang dikaji, Jepun dan Britain masing-masing diletakkan pada tangga 78 dan 91, jauh di bawah Malaysia ditangga 68. Untuk pengetahuan semua, indeks ini dikeluarkan hasil dari kerjasama ‘World Economic Forum’s Global Leaders for Tomorrow Environment Task Force’, ‘The Yale Center for Environmental Law and Policy’ dan ‘Columbia University Center for International Earth Science Information Network’ (CIESIN). Ia mengukur pencapaian keseluruhan kemapanan alam sekitar sesebuah negara. Di bawah indeks ini, 20 petunjuk utama telah dikaji. Antara petunjuk-petunjuk tersebut adalah kualiti air, pencemaran udara, keselamatan reaktor nuklear dan pengeluaran gas rumah hijau.
Berikutan daripada pelbagai masalah yang melanda alam sekitar kita, beberapa jalan penyelesaian dicadangkan. Jalan penyelesaian itu ada yang dilihat dari sudut pendidikan, pemeliharaan, teknologi dan sebagainya. Dari sudut pendidikan, aspek peningkatan kesedaran dan penghayatan akan kepentingan alam sekitar diberikan tumpuan. Pendidikan alam sekitar ini disebarkan melalui buku, risalah, iklan di televisyen mahu pun ceramah-ceramah. Manakala dari segi teknologi, ia boleh digunakan untuk merawat pencemaran yang berlaku. Selain itu, teknologi juga boleh digunakan dalam proses pengeluaran barangan atau perkhidmatan bagi mengelakkan pencemaran dari terjadi. Di samping itu, terdapat juga saranan yang menyatakan bahawa ekonomi juga boleh digunakan sebagai satu kaedah kawalan alam sekitar.
Kaedah ekonomi untuk mengawal alam sekitar dikenali sebagai Instrumen Ekonomi (Economic Instruments). Ia merujuk kepada penggunaan instrumen yang berasaskan pasaran untuk menggalakkan penggunaan dan pembangunan teknologi yang mesra alam dalam pengeluaran produk atau perkhidmatan. Sebagaimana yang kita sedari, proses pengeluaran barangan atau perkhidmatan boleh menjejaskan alam sekitar. Misalnya dalam proses pengeluaran sebuah kereta, kesan-kesan yang boleh menjejaskan alam sekitar adalah seperti sisa pepejal dan kumbahan, pelepasan asap, haba dan mungkin juga pencemaran bunyi. Jadi, melalui instrumen ekonomi untuk mengawal alam sekitar, beberapa insentif boleh diberikan agar pusat pengeluaran kicap ini mengadaptasi teknologi tertentu untuk menguruskan sisa pepejal dan kumbahannya, mengurangkan pengeluaran haba dan asap serta mengurangkan bunyi yang kuat.
Secara amnya, anda mungkin sudah memahami apa itu instrumen ekonomi untuk mengawal masalah alam sekitar. Namun, apakah contoh-contoh lain instrumen ekonomi tersebut? Selain daripada insentif, instrumen ekonomi boleh juga berbentuk cukai, bayaran untuk perkhidmatan dan yuran. Sebagai contoh, dalam mengurangkan pencemaran udara dari kenderaan, beberapa instrumen ekonomi boleh digunakan. Misalnya, dengan meningkatkan cukai jalan kenderaan yang banyak mengeluarkan asap seperti lori dan bas. Selain itu, untuk tidak menggalakkan kenderaan memasuki kawasan bandar, kadar bayaran letak kereta boleh ditingkatkan. Dalam masa yang sama, kerajaan boleh memberikan subsidi kepada kerajaan tempatan atau syarikat-syarikat pembina jalanraya untuk membina lebih banyak jalan khas untuk laluan bas. Contoh-contoh lain termasuklah mengenakan penalti bagi kenderaan yang gagal mematuhi undang-undang pengeluaran asap. Perlulah diingatkan di sini bahawa sebahagian daripada contoh-contoh yang diberikan itu sudah pun diimplementasi di negara kita.
Pengenalan instrumen ekonomi sebagai satu kaedah kawalan alam sekitar mempunyai beberapa faedah. Pertamanya, instrumen ini akan dapat mengurangkan masalah alam sekitar tanpa menjejaskan ekonomi negara. Seperti mana contoh yang diberikan di atas, bas dan lori merupakan kenderaan pengangkutan yang penting. Namun, kedua-dua kenderaan ini melepaskan asap yang boleh mencemar udara lebih banyak berbanding kenderaan lain. Diandaikan bahawa jika kedua-dua kenderaan ini tidak dibenarkan beroperasi, ia tentu sahaja akan menjejaskan ekonomi negara. Oleh itu, kaedah kawalan menggunakan instrumen ekonomi, misalnya dalam bentuk subsidi dan insentif untuk menggunakan teknologi pengurangan asap dan sebagainya, boleh diperkenalkan. Jadi, ini bertepatan sekali dengan matlamat awal instrumen ekonomi yang menggalakkan penggunaan teknologi bagi mengurangkan masalah alam sekitar.
Selain itu, instrumen ekonomi untuk kawalan alam sekitar juga boleh meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar. Pencemaran akan dapat dikurangkan kerana pengusaha-pengusaha akan lebih berhati-hati dalam aktiviti yang mereka lakukan. Misalnya, mereka akan lebih berhati-hati dengan jumlah asap yang dikeluarkan oleh peralatan dan kenderaan yang digunakan. Akhir sekali, seperti yang sudah dinyatakan di atas, pendekatan instrumen ekonomi akan menggalakkan penggunaan teknologi dan adaptasi kaedah pengeluaran yang mesra alam.
�Selain kelebihan, instrumen ekonomi untuk mengawal masalah alam sekitar turut juga mendapat kritikan tertentu. Pertamanya, penggunaan instrumen ekonomi meletakkan nilai wang terhadap sesuatu sumber alam. Namun begitu, sumber alam juga mempunyai nilai instrinsik seperti keindahan taman, kejernihan air dan kesegaran udara. Biasanya, nilai instrinsik ini tidak dinilai kerana amat sukar untuk meletakkan harganya. Oleh itu, proses meletakkan nilai wang ringgit kepada alam sekitar itu tidak sebenar-benarnya menggambarkan nilai alam itu sendiri. Ada yang mencadangkan agar nilai intrinsik itu dinilai dengan meminta pengguna sendiri meletakkan harganya. Harga itu pula akan kelihatan misalnya dalam bentuk bayaran masuk ke sebuah taman. Namun begitu, perkara ini masih menjadi kontroversi kerana timbul persoalan tentang harga bayaran masuk yang bagaimanakah yang akan menggambarkan nilai taman tersebut; harga yang tinggi atau rendah? Jika harganya tinggi, adakah kita (golongan pengguna) bersedia untuk membayarnya?
�Selain itu, satu lagi kekurangan penggunaan instrumen ekonomi ini adalah dari sudut kos yang dibayar oleh masyarakat. Seperti mana yang disebutkan tadi, cukai dan yuran boleh dikenakan kepada pengeluar produk atau perkhidmatan yang akan meninggalkan kesan negatif kepada alam sekitar. Dalam kes ini, satu perkara yang ditakuti adalah, pengeluar tadi akan memasukkan nilai cukai dan yuran tadi ke dalam harga produk atau perkhidmatan itu. Oleh itu, harga barangan dan perkhidmatan itu akan meningkat. Apa yang boleh dikatakan di sini adalah nilai cukai dan yuran tadi terpaksa ditanggung oleh pengguna. Seperkara yang lebih membimbangkan adalah berlakunya manipulasi harga oleh pengeluar. Akhirnya, golongan pengguna yang menggunakan produk atau barangan itu akan menanggung bebannya. Jadi, adakah kita semua sebenarnya sudah bersedia menghadapi situasi ini?
�Berdasarkan penjelasan-penjelasan di atas dapat disimpulkan bahawa kaedah instrumen ekonomi adalah bersifat mencegah. Misalnya, cukai dikenakan ke atas barangan yang boleh merosakkan alam sekitar kerana kita mahu agar pengeluar lebih prihatin dan dapat mengeluarkan barangan yang lebih mesra alam. Kaedah instrumen ekonomi diperkenalkan kerana didapati bahawa kaedah pencegahan ini adalah lebih baik dari kaedah mengubati, misalnya, denda selepas membuat pembakaran terbuka dan sebagainya. Kaedah mengubati ini didapati berkos tinggi. Kos ini pula boleh menjangkau dari satu generasi ke satu generasi yang lain iaitu dalam bentuk pencemaran yang sukar dibersihkan. Jika ini dibiarkan berlaku, kita akan kehilangan sumber semula jadi yang sangat penting dalam kehidupan kita.
�Agama Islam sendiri sering menekankan kepada aspek pencegahan ini. Misalnya, di dalam ayat 195, Surah Al-Baqarah, Allah s.w.t. berfirman “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya”. Ayat ini menunjukkan bahawa umat Islam hendaklah mencegah sesuatu yang buruk dari berlaku agar tidak terjerumus dalam kebinasaan.
Samalah halnya dalam usaha kita memelihara alam sekitar. Sesuatu perkara buruk yang bakal terjadi hendaklah dijauhi. Jika tidak dapat dijauhi pun, usaha-usaha untuk mengatasinya perlulah dilakukan. Inilah asas kepada penggunaan instrumen ekonomi dalam penjagaan alam sekitar. Walaubagaimana pun penggunaan instrumen ekonomi hanya akan berjaya jika ia dapat benar-benar menggambarkan nilai alam sekitar itu. Harga yang digunakan dalam implementasi instrumen ekonomi ini pula harus dinilai agar tidak membebankan masyarakat pengguna. Sepertimana yang kita sedia maklum barangan atau perkhidmatan mesra alam ini memang agak tinggi harganya berbanding barangan yang sama di dalam pasaran. Ini membuktikan bahawa untuk memelihara alam sekitar kosnya bukan sedikit. Persoalannya berbalik kepada kita sebagai pengguna, sudah bersediakah kita membayar nilai yang tinggi untuk alam sekitar indah yang kita inginkan?