Sebagaimana kebiasaannya, Human Rights Watch (HRW) dalam laporan tahunannya (2021) tanpa kecuali menyelitkan isu berkaitan dengan orientasi seksual dan identiti gender. Pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan advokasi tentang hak asasi manusia itu mendakwa diskriminasi terhadap komuniti LGBT masih berleluasa di Malaysia. Hal ini dengan wujudnya undang-undang Persekutuan, iaitu Kanun Keseksaan (Seksyen 377 A hingga 377C) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 2o tahun dan sebatan. Selain itu, laporan itu turut menekankan peruntukan dalam undang-undang syariah negeri yang menghalang hubungan sejenis dan ekspresi gender di luar kebiasaan. Atas alasan diskriminasi terhadap komuniti transgender, aktivis hak asasi manusia menurut laporan berkenaan, memfailkan kes di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kewujudan dan pemakaian undang-undang tersebut di Selangor.
Cabaran terhadap keperlembagaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang membawa hukuman jauh lebih rendah berbanding dengan peruntukan dalam Kanun Keseksaan menimbulkan pertikaian. Selain perbezaan hukuman yang ketara antara kedua-dua undang-undang berkenaan, kaedah sebatan di Mahkamah Syariah juga jauh lebih ringan daripada sebatan di Mahkamah Sivil yang mendatangkan kesengsaraan. Oleh yang demikian, tidak hairanlah jika niat sebenar bagi tindakan mencabar undang-undang yang lebih ringan dipertikaikan kumpulan dan pertubuhan pengamal undang-undang tertentu.
Dalam nada sindiran, laporan tahunan HRW itu juga menyebut sekitar Julai tahun lalu Menteri Hal Ehwal Agama memberikan “lesen penuh” kepada pihak berkuasa agama untuk mengambil tindakan terhadap golongan transgender, termasuk melalui pendidikan agama. Bahkan pendidikan agama yang merupakan hak asasi setiap insan beragama khususnya Muslim diperlekehkan tujuannya, iaitu dikatakan “mengembalikan” mereka ke “jalan yang benar”. Setiap Muslim menyedari bahawa dunia merupakan medan pertarungan sengit antara rasional akal dengan nafsu kebinatangan. Pertarungan tersebut yang akan membolehkan insan beriman menemukan jalan yang benar. Jalan yang benar atau lurus itu pula bukan ditentukan sendiri oleh manusia dengan sesuka hati, namun sebaliknya melalui al-Quran dan Hadis Nabi SAW.
Imam al-Razi dalam Al-Tafsir al-Kabir memetik riwayat daripada `Abdullah ibn Mas`ud yang mengatakan bahawa Rasulullah SAW melakarkan satu garisan. Kemudian Baginda menerangkan, “Ini ialah jalan lurus.” Kemudian Baginda melakarkan pula sejumlah garisan lain di sebelah kanan dan kiri garisan yang dilakar sebelumnya. Baginda bersabda lagi, “Setiap jalan daripada semua jalan ini terdapat syaitan yang menyeru kepadanya (syaitan).” Baginda seterusnya membaca ayat yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya inilah jalan-Ku (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan yang (yang lain daripada Islam) kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu daripada jalan Allah…” (Surah al-An’am (6): 153).
Perjuangan untuk beristiqamah pada jalan yang lurus ini juga membolehkan insan menginsafi kedudukan dirinya. Sebagaimana dijelaskan Profesor Naquib al-Attas, manusia hakikatnya berhutang kewujudan dan kenikmatan atau rezeki untuk kelangsungan kehidupan kepada Allah SWT. Hal ini bersesuaian dengan salah satu kata akar al-deen ialah daana yang bermaksud orang yang berhutang. Hutang yang perlu dibayar oleh insan ialah dirinya sendiri dan ini dilakukan melalui ketaatan sepenuhnya kepada Allah SWT. Berbekalkan akal kurniaan Allah SWT, ia memastikan kehidupan dijalani dengan mentaati perintah serta menjauhi larangan-Nya. Perintah dan larangan ini pula merangkumi segala bentuk kebaikan dan keburukan. Menurut Asya’irah, mazhab ilmu kalam yang utama, daya intelektual manusia tidak mampu sepenuhnya untuk memahami kebaikan dan keburukan melainkan dijelaskan oleh Allah (al-Syari`) dan Rasul-rasul-Nya.
Selain konsep baik dan buruk, Islam juga mengajar maksud sebenar kebebasan, iaitu daripada kejahilan tentang Tuhan Maha Pencipta dan hakikat diri insan, matlamat penciptaan dan kehidupan akhirat. Semuanya ini memberikan kekuatan kepada insan untuk berjuang menundukkan hawa nafsunya dan memastikan ia sentiasa berada pada jalan yang benar. Perkara inilah yang membentuk jurang perbezaan dengan pandangan alam Barat. Sebahagian masyarakat Barat yang menolak agama, mentafsir sendiri konsep kebaikan serta keburukan tanpa merujuk petunjuk agama. Oleh yang demikian, konsep tersebut dilihat sentiasa sahaja berubah-ubah menurut zaman dan keadaan. Selain itu, falsafah humanisme yang dipegang mereka, menjunjung tinggi kebebasan manusia tanpa sebarang batasan. Falsafah ini memberikan autonomi penuh kepada manusia untuk membuat keputusan berasaskan kefahaman dan kehendak mereka.
Tidak dinafikan ada waktunya manusia gagal dalam perjuangan menundukkan nafsu meskipun telah diberikan petunjuk. Namun al-Quran dan Hadis Nabi SAW sarat dengan jaminan yang besar untuk mereka kembali berada pada jalan yang lurus, iaitu melalui penyesalan, taubat serta pengislahan diri. Semuanya ini lebih mudah terlaksana melalui amalan menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran. Amalan membantu saudara segama untuk menuruti jalan yang lurus dan memperoleh keredaan Allah SWT merupakan penzahiran maksud persaudaraan Islam. Kasih sayang dan persaudaraan ini turut meliputi usaha menyelamatkan saudara seagama daripada kezaliman. Hal ini termasuklah perbuatan dosa yang bermaksud kezaliman terhadap diri. Berasaskan nilai kasih sayang dan semangat persaudaraan inilah maka program keagamaan dianjurkan oleh JAKIM, Majlis dan Jabatan Agama Islam Negeri serta NGO seperti Hijrah RepubliQue untuk membantu komuniti LGBT menjalani kehidupan yang lebih baik. Program Mukhayyam yang dilaksanakan JAKIM sejak 2011 misalnya mencatat kejayaan membanggakan dan melibatkan penyertaan secara sukarela, meskipun sentiasa diberikan kritikan tidak adil dan tidak berasas. Selain program ini, JAKIM juga mengadakan siri dialog dengan komuniti transgender yang bermatlamat mempererat hubungan dan membantu mereka mengatasi masalah yang dihadapi.
Kecaman pastinya akan terus diberikan terhadap rekod hak asasi manusia negara dari segenap penjuru. Apatah lagi dengan kedudukan negara sebagai kumpulan minoriti yang masih mempertahankan pendirian terhadap gaya hidup LGBT. Sebagaimana diungkap D. Brian Scarnecchia, melalui karyanya Bioethics, Law and Human Life Issues, seiring dengan penerimaan masyarakat dunia yang lebih meluas terhadap gaya hidup homoseksual, kumpulan yang tidak menyetujuinya dianggap sebagai taksub, tidak bersimpati malah berpotensi menjadi penjenayah kebencian. Dalam hubungan ini, sebaiknya pendirian ditetapkan untuk menjunjung tinggi prinsip Islam, sesuai dengan kedudukannya sebagai agama negara. Demikian juga nilai budaya dan adat ketimuran yang masih kuat berakar dalam masyarakat. Inilah ramuan dan kejujuran kita dalam mengekalkan ketertiban hidup bermasyarakat, berbudaya dan bernegara.