NEGARA maju menjelang 2020 menjadi sasaran Malaysia, sekali gus menjadikan kemajuan sosioekonomi sebagai bukti bagi membolehkan negara berkembang menjadi negara membangun yang disegani dan dihormati.
Di kalangan negara Islam pula, Malaysia dianggap sebuah negara contoh. Formula pembangunan dijadikan sebagai rujukan bagi negara membangun dan negara Islam lain untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.
Ramai pemimpin negara luar datang ke Malaysia menyatakan kekaguman mereka dengan pembangunan negara. Mereka ingin belajar pengalaman kita dan mahu negara membantu proses pembangunan mereka.
Walaupun kita berbangga dengan pengiktirafan kepada Malaysia, ia adalah satu beban berat yang terpaksa dipikul negara. Isunya ialah bagaimana mengekal dan meneruskan pembangunan sosioekonomi yang dicapai selama ini.
Pembangunan teknologi kendiri adalah elemen utama yang menjamin pertumbuhan negara di masa depan. Dalam masa sama, fungsi faktor lain seperti modal kewangan dan bekalan tenaga kerja mahir adalah sama penting.
Malaysia berbangga menjadi negara pengeksport barangan elektrik (seperti pendingin hawa) dan elektronik (seperti cip komputer) utama dunia.
Namun, produk itu hanya dibuat di Malaysia menggunakan teknologi asing. Teknologi canggih itu dibawa masuk ke Malaysia sama ada sebagai sebahagian daripada proses pelaburan terus asing atau melalui perkongsian pintar.
Walaupun kemasukan teknologi asing seperti ini menyumbang kepada eksport negara, ia juga membawa kesan negatif kepada Malaysia dalam jangka panjang.
Antaranya, pengaliran keluar wang negara dan negara ketandusan teknologi baru dalam jangka panjang.
Kelebihan kos yang ditawarkan oleh negara lain seperti China menyebabkan kemasukan pelaburan asing ke negara ini semakin berkurangan.
Sekiranya masalah pembangunan teknologi tidak diatasi, kita bakal menyaksikan komponen eksport produk berteknologi tinggi dari Malaysia semakin berkurangan.
Negara Islam mengeluarkan 60 peratus daripada keperluan bahan mentah dunia tetapi masih dibelenggu kemiskinan. Jurang ini wujud kerana kita hanya menjual bahan mentah yang tidak diproses kepada negara maju dan sebaliknya membeli semula produk nilai tambah daripada mereka dengan harga yang lebih mahal.
Ini sungguh merugikan negara membangun termasuk negara Islam. Justeru, Malaysia perlu mencari jalan untuk meningkatkan penghasilan teknologi baru sekiranya mahu terus bersaing di pasaran global.
Malaysia perlu belajar daripada Jepun dan Taiwan yang suatu ketika dulu dikenali sebagai negara yang meniru teknologi negara lain di Barat.
Hari ini, negara itu mampu membangunkan teknologi sendiri dan ada antaranya lebih maju daripada apa yang dicapai di Barat. Sebagai contoh, pembuat kereta terkemuka Jepun iaitu Honda, berjaya membangunkan teknologi robot Asimo yang dianggap paling maju di dunia mengatasi apa yang dibangunkan di Barat.
Adakah Malaysia mampu membangunkan teknologi sendiri setanding negara lain? Jawapannya tentu boleh.
Jika dikaji perkembangan teknologi negara maju, saintis keturunan Asia termasuk yang beragama Islam memainkan fungsi yang penting. Sebagai contoh, ramai saintis dari India terbabit dalam pembangunan industri teknologi maklumat di Lembah Silikon, Amerika Syarikat.
Walaupun teknologi moden lebih banyak dihasilkan di Barat, tidak bermakna bangsa mereka mempunyai kelebihan berbanding bangsa lain.
Islam mengiktiraf perbezaan di antara manusia seperti mana firman Allah yang bermaksud: “Dan di antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan kebijaksanaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi, dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan bagi orang yang berpengetahuan” – (Surah Al-Rum, ayat 22).
Namun, perbezaan itu tidak menjadikan satu kaum itu lebih rendah berbanding kaum lain dari segi kecerdikan. Manusia sendiri yang meletakkan taraf mereka berbeza dengan manusia lain.
Selari dengan semangat ‘Malaysia Boleh’ dan diiringi dengan tahap pendidikan bermutu, rakyat negara ini pasti boleh membangunkan pelbagai teknologi tinggi selari dengan keperluan semasa dan akan datang.
Ini selari dengan firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” – (Surah al-Ra’d, ayat 11).
Namun, Malaysia terlebih dulu menangani satu masalah asas dalam pembangunan teknologi iaitu masalah perlindungan harta intelek. Kita masih kurang menghormati harta intelek hasil penyelidikan orang lain.
Sebagai contoh, kebanyakan kita masih gemar membeli dan menggunakan barangan tiruan.
Sebagai pengguna kita mahukan yang terbaik, terkini dan tercanggih tetapi tidak mahu berbelanja lebih sedikit sebagai menghargai keringat orang lain.
Masalah itu tidak unik kepada Malaysia saja dan menjadi fenomena biasa bagi kebanyakan negara miskin dan membangun.
Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengambil pelbagai langkah untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai kesalahan pelanggaran harta intelek, tetapi masih kurang berjaya.
Di manakah silapnya sehingga pelanggaran harta intelek masih berleluasa? Mungkin masih ada ruang besar untuk pembaikan dalam aspek penguatkuasaan.
Pada masa yang sama, penubuhan Perbadanan Harta Intelek Malaysia, sebuah badan berkanun di bawah KPDNHEP, dilihat sebagai satu langkah untuk meningkatkan penguatkuasaan.
Walau bagaimanapun, yang menjadi kebimbangan utama ialah kurangnya kerjasama pengguna sendiri dalam memerangi kegiatan pelanggaran harta intelek.
Isu utama ialah penghayatan bukannya kesedaran. Jika ditanya, kita pasti bahawa setiap pengguna memahami bahawa pelanggaran harta intelek adalah satu kesalahan tetapi dalam masa sama, masih membeli produk sedemikian.
Permintaan tinggi daripada pengguna menjadikan kegiatan merompak harta intelek satu industri yang lumayan.
Ia sudah sampai ke tahap di mana ahli perniagaan terbabit sanggup menggunakan khidmat penjenayah untuk melindungi kepentingan mereka.
Akhir-akhir ini, gangguan daripada penjenayah yang lebih dikenali sebagai ‘tonto’ menyebabkan proses penguatkuasaan lebih sukar dilakukan.
Pada dasarnya, pelanggaran harta intelek tidak akan berlaku sekiranya tiada permintaan daripada pengguna. Oleh itu, di samping meningkatkan penguatkuasaan, pihak berkuasa perlu meningkatkan program pendidikan pengguna terutama sekali di peringkat sekolah.
Program kesedaran pengguna di peringkat sekolah akan memberi kesan jangka panjang. Kanak-kanak hari ini bakal menjadi pengguna pada masa depan.
Dalam masa yang sama, kefahaman dan penghayatan kanak-kanak mungkin boleh mempengaruhi keputusan ibu bapa mereka mengenai perkara yang membabitkan harta intelek.
Sebagai contoh, anak yang mempunyai kesedaran dan penghayatan akan memastikan ibu bapa mereka membeli perisian komputer atau cakera padat video dan audio yang asli saja.
Pelanggaran harta intelek adalah satu kesalahan di sisi agama. Ia disamakan dengan kegiatan mencuri atau mengambil hak orang lain dan ini ditegah sama sekali oleh agama.
Perkara ini ditegah sama sekali oleh agama menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang lain) dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertakwa” – (Surah Ali Imran, ayat 76).