DALAM menangani kelemahan pencapaian ekonomi umat Islam di seluruh dunia pada masa ini, tiga aspek penting perlu dibina jika umat Islam mahu maju kembali. Ketiga-tiga aspek itu mesti relevan dalam konteks pembangunan ekonomi ummah di negara ini.
Pertama, umat Islam perlu memiliki pandangan hidup yang komprehensif berkaitan dengan Islam itu sendiri.
Pengamatan sedemikian akan mewujudkan ummah yang berwawasan supaya dapat berperanan secara relevan dan progresif. Islam hendaklah difahami dan diyakini sebagai sistem penyusunan umat manusia dalam membina sebuah tamadun mulia dan tinggi bersesuaian dengan sifatnya yang menepati nilai kemanusiaan sejagat.
Islam perlu dihayati bukan sebagai reaksi kepada kemusnahan tamadun semasa, bahkan pada awal lagi ia diutuskan untuk memberi rahmat kepada keseluruhan umat manusia, termasuk yang tidak memeluk Islam.
Prinsip Islam bersesuaian dengan kehendak kemanusiaan walaupun ada perubahan cara hidup dan ruang tempat yang berbeza. Menguasai sains al-Quran dan hadis sangat perlu. Penguasaan ini akan membolehkan masyarakat Islam memantapkan ilmu dan arah tuju dalam bidang perniagaan.
Aspek kedua membabitkan pembinaan keutuhan etika individu di kalangan semua lapisan masyarakat Islam. Etika ummah yang tinggi akan menjadi asas kepada perjuangan dan cita-cita hidup setiap Muslim ke arah menjayakan idealisme Islam. Ia melahirkan keikhlasan dan ikatan emosi seseorang kepada perjuangan Islam.
Nilai etika tidak boleh difahami sebagai perilaku yang jujur dan lurus semata-mata. Sebaliknya, ia harus dilihat dalam rangka menyeluruh yang membabitkan perjuangan ke arah mendaulatkan nilai kebenaran dan kecemerlangan dalam semua aspek kegiatan kehidupan. Ia turut meliputi usaha dan peningkatan ibadat untuk menyucikan niat dan sikap serta memiliki sifat ihsan kepada sesama manusia lain dalam menjalani urusan hidup.
Kemuncak kepada nilai akhlak ialah terlaksananya nilai dan semangat keadilan yang dapat dipupuk dalam penyusunan hidup bermasyarakat dan bernegara.
Rata-rata orang Islam memahami dan masih menganggap bahawa memiliki nilai etika mulia akan membentuk seseorang itu menjadi insan lurus dan jujur dalam menerajui hidup dan pekerjaannya, dengan tidak banyak menimbulkan keburukan kepada masyarakat.
Kefahaman sedemikian menganjurkan kepada individu semoga membina peri lakunya saja dan tidak ingin berperanan dalam membaiki serta membangun etika dalam penyusunan hidup masyarakat. Sebagai insan yang bersifat individu sosial, sikap sedemikian tidak menepati peranan seorang Islam positif dan berjiwa besar. Umat Islam perlu bersama-sama dalam urusan masyarakat dengan semangat untuk membina.
Pada masa ini, rata-rata akan bersetuju bahawa nilai etika masyarakat Islam, khususnya di Malaysia perlu ditingkatkan untuk perubahan positif demi memajukan ummah. Amalan rasuah, menipu, menindas, memfitnah, malas, rakus harta dan memiliki beberapa sifat yang hina perlu dikikis dan dihapuskan. Sifat ini adalah penghalang kepada semua bentuk kemajuan, termasuk dalam kegiatan perniagaan. Sifat hina ini menjadi hijab dalam perhubungan mereka dengan Allah.
Arus kebendaan yang begitu ketara melanda masyarakat kita pada masa ini perlu dibimbingi. Kita berharap semoga kejayaan ekonomi sesetengah golongan membawa kepada sumbangan yang membangun kepada kebajikan masyarakat dan bukan ke arah memusnahkan sifat kemuliaan kemanusiaan bermasyarakat.
Perpaduan masyarakat akan rapuh jika golongan kaya melupai tanggungjawab sosial yang jelas dituntut oleh Islam. Prinsip ‘keuntungan dan tanggungjawab sosial’ untuk dihayati oleh golongan korporat Muslim yang berjaya perlu berperanan positif dalam usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam keseluruhannya.
Etika Islam mendidik umatnya supaya dalam menguasai harta, ia harus menganggap harta itu hanya sebagai amanah Allah.
Justeru, harta yang dimiliki perlu dibelanja dan dilabur untuk mencetus peluang perniagaan untuk semua ahli masyarakat demi mendapat keredaan Ilahi. Ia tidak seharusnya menjadi matlamat muktamad dalam kehidupannya. Perspektif ini yang membezakan antara etika Islam dengan ideologi sekular. Islam menganjur kepada hak pemilikan dengan disepadukan tanggungjawab keagamaan.
Umat Islam yang beretika oleh itu, tidak patut membisu dengan amalan masyarakat yang bercanggah dengan nilai Islam. Mereka perlu menangani persoalan itu dengan menyertai usaha membina masyarakat dan bukan menjauhkan diri daripada membaiki keruntuhan masyarakat. Gelanggang jihad termasuk berusaha membina etika masyarakat.
Dalam era semasa, sama dengan keperluan silam, tamadun manusia perlu kepada pencapaian kemajuan ekonomi masyarakat dan negara mantap. Oleh itu, aspek ketiga, iaitu menghasil ahli profesional Islam sangat perlu dalam menjayakan matlamat itu.
Dalam membangunkan kekuatan ekonomi dalam suasana yang sangat bersaing tanpa kualiti sumber manusia, masyarakat Islam sukar dimajukan. Tanpa kekuatan ekonomi, rata-rata masyarakat Islam akan berada di bawah paras kemiskinan.
Rasulullah begitu bimbang jika kemiskinan melanda masyarakat. Baginda sentiasa berdoa agar cubaan itu dijauhi. Usaha untuk memajukan ekonomi ummah perlu berpanjangan. Apa lagi dalam keadaan semasa yang menuntut sesebuah negara, khususnya negara Islam seperti Malaysia berusaha untuk memajukan ekonomi negara bukan sekadar untuk menyelesaikan keperluan asasi rakyat, malah mencapai taraf ekonomi maju.
Dengan ini, kemerdekaan dalam erti kata sebenar dapat dihayati oleh negara dan seterusnya boleh mempengaruhi perjalanan tata cara baru dunia.
Jika aspirasi ini tidak dianggap sebagai suatu tuntutan pada masa ini, idealisme Islam tidak mungkin dapat dicapai dan dilaksanakan.
Dalam era semasa di mana kuasa ekonomi sangat penting, pelaksanaan dan penghayatan Islam akan hanya dapat diwujudkan melalui kekuatan ekonomi umat Islam.
Tiga aspek yang sangat mendesak kepada keperluan ummah pada masa ini adalah mendidik ummah supaya memiliki pandangan hidup Islam berwawasan, mempunyai etika tinggi dan menguasai ilmu profesional.
Ketiga-tiga aspek itu mampu mendorong ke arah pengendalian urusan pentadbiran yang cekap dan profesional, di samping membina potensi sebenar masyarakat.
Mengikut pendekatan keilmuan Islam, ketiga-tiga faktor ini iaitu pandangan hidup yang relevan, etika dan ilmu kepakaran adalah unsur yang perlu disepadukan dalam sistem pendidikan. Oleh kerana sistem pendidikan semasa belum memberi input berkesan, ketiga-tiga ciri itu perlu diberi keutamaan oleh umat Islam.
Dalam keadaan persaingan hebat kini, umat Islam harus dapat bersaing dengan masyarakat antarabangsa. Dunia makin bertambah kecil dan peranan media massa dunia maju mudah mempengaruhi dunia umat Islam. Daripada senario sebegini, kegagalan ummah menghadapi cabaran semasa akan memberi kesan kepada kemajuan ummah itu sendiri. Ummah yang berwawasan, beretika tinggi dan memiliki ilmu kepakaran di kalangan ahli masyarakat Islam akan mampu membina sebuah tamadun utuh yang akan menjadi model kepada zaman ini.
Justeru, adalah satu harapan melalui penghayatan etika perniagaan dalam Islam, umat Islam di Malaysia akan dapat menempah kejayaan yang besar dan berterusan.