Politik lazimnya adalah mengenai persaingan untuk mendapatkan kuasa dan bagaimana kuasa ini digunakan dalam membuat keputusan. Persaingan kepada kuasa ini menjadikan politik seringkali disalah erti sebagai semata-mata pertembungan antara dua atau lebih kelompok berlainan ideologi dengan wawasan. Namun begitu, disebalik pertembungan dan persaingan, politik juga melihat kepada aspek bagaimana kuasa digunakan dan antaranya adalah mengenai kesepakatan dan persetujuan dalam membuat keputusan yang difahami sebagai konsensus politik.
Idea konsensus dalam politik adalah satu bentuk kesepakatan dan persetujuan antara kumpulan-kumpulan politik yang berbeza serta pemimpin masing-masing tentang sesuatu isu atau perkara demi kebajikan rakyat dan kedaulatan negara. Mewujudkan konsensus atau kesepakatan dalam politik adalah satu perkara yang merumitkan terutama jika melibatkan perbezaan ideologi yang ketara. Di United Kingom contohnya, ‘political consensus’ pernah menjadi sebahagian daripada agenda politik arus perdana negara itu dari 1945 sehinggalah ia ditamatkan pada 1979 oleh Margaret Thatcher, Perdana Menteri United Kingdom ketika itu. Apabila membicarakan kepentingan pendekatan ini, yang menjadi keutamaan adalah usaha mencapai satu bentuk persetujuan atau ‘consensus’ tentang hal-hal yang membawa kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhan. Tidak akan menjadi hina atau dipandang lemah jika kelompok-kelompok politik yang berlainan ini bersetuju atas dasar-dasar atau usaha yang dapat membawa kebaikan kepada masyarakat dan negara. Malahan, mereka akan lebih dipandang tinggi dan dihormati kerana berjaya meletakkan keutamaan rakyat dan negara melebihi sentimen perjuangan politik sempit masing-masing.
Sememangnya jelas bahawa terdapat pertembungan dan persaingan politik dalam masyarakat Malaysia hari ini disebabkan oleh perbezaan dalam perjuangan politik kepartian. Masing-masing menegaskan bahawa perjuangan mereka adalah untuk kebaikan rakyat dan negara. Ditambah pula dengan sifat ego dalam berpolitik yang akhirnya membawa kepada pertelingkahan.
Kegagalan membuktikan kesepakatan atau persefahaman dalam kalangan pemimpin akan menjejaskan usaha berkaitan pembangunan dan kesejahteraan untuk rakyat. Sebagai umat Islam terutamanya, persaingan yang melampau dalam berpolitik akan memberi kesan dan imej yang tidak baik kepada Islam itu sendiri. Kelemahan pada agama akan dinilai berlandaskan kegagalan ia menyatukan pihak yang bersaing untuk duduk berbincang atas nama agama. Perpecahan dalam kalangan umat Islam hari ini bukan sahaja disebabkan oleh faktor perbezaan pandangan tetapi juga disebabkan oleh ketaksuban dalam berpolitik sehingga melampaui komitmen terhadap agama. Akhirnya, ini akan melemahkan umat Islam yang berterusan dihimpit dengan pergolakan antara kelompok sendiri sehingga gagal menyelesaikan perkara berkaitan kepentingan ummah dan rakyat negara ini secara keselutuhan.
Pemeliharaan agama adalah satu keutamaan dan ia bukan sahaja dinilai dari aspek menegakkan hukum-hukum agama tetapi juga merangkumi usaha memelihara akidah dan imej Islam itu sendiri. Jika sebarang bentuk perbalahan dalam kalangan umat Islam itu mengakibatkan Islam itu dilabel dengan penilaian negatif dan dicemuh, adalah menjadi tanggungjawab umat Islam sendiri untuk mengembalikan kredibiliti agama kepada yang sepatutnya. Kesepakatan dalam politik bagi umat Islam tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk penglibatan umat Islam dalam satu parti politik sahaja. Memandangkan demokrasi juga boleh disuburkan dalam Islam, persefahaman atas perkara-perkara yang benar dan mendatangkan kebaikan kepada masyarakat harus dijadikan asas kepada tujuan ini. Umat Islam tidak boleh membiarkan ketaksuban dalam perjuangan parti politik masing-masing menjadi penghalang kepada agenda besar Islam dan antaranya adalah bagi mengekalkan perpaduan dan pemantapan ukhuwah.
Dalam Surah Ali-Imran, ayat 103, telah digariskan kepentingan tentang perkara ini.
“Dan berpeganglah kamu semua kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai. Dan ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikmat Allah orang-orang yang bersaudara. Dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu, agar kamu mendapat petunjuk.”
Kematangan berpolitik juga bergantung kepada sejauh mana pihak-pihak yang bertelagah boleh bersetuju dan berlapang dada apabila dikritik. Kekuatan umat Islam akan terjelma apabila perbezaan pendapat yang sedia ada tidak dijadikan alasan untuk bermusuh. Hal ini adalah kerana Islam dan umat Islam akan dilihat lemah apabila ia gagal menyatukan kelompok yang bertelagah ini walaupun berkongsi aqidah yang sama. Perbezaan dan perselisihan pendapat itu adalah lazim tetapi tidaklah sehingga mendatangkan mudarat kepada agama, kehidupan dan akal manusia. Sehubungan dengan itu, umat Islam haruslah peka antara keperluan untuk bercanggah pendapat dan juga keperluan untuk membina persefahaman. Permulaan yang baik dalam membina pendekatan ini ialah dengan mengenepikan sikap penting diri dan menjadikan Islam sebagai kayu ukur kepada setiap penilaian dan asas kepada sebarang tindakan kita. Pemimpin atau pun kelompok pemimpin seharusnya menyedari bahawa kuasa politik yang diamanahkan oleh rakyat melalui proses demokrasi, perlu digunakan bagi mencapai matlamat-matlamat tertentu. Kuasa politik mestilah digunakan untuk memenuhi objektif-objektif syariah atau pun maqasid syariah agar dapat memelihara kehidupan manusia di muka bumi ini dengan aman dan teratur. Hal ini akan memastikan manusia berlaku adil dengan ketinggian moral dan integriti serta melakukan perubahan yang perlu dengan perancangan yang terbaik.
Sebagai kesimpulan, perlu ada noktah kepada persaingan yang tidak sihat dalam berpolitik. Perjuangan politik harus berpaksikan kepada perkara-perkara yang dapat menjamin kemaslahatan masyarakat secara keseluruhan. Dengan itu, tiada salahnya jika kesepakatan atau konsensus dijadikan pendekatan berhemah oleh semua pihak agar agenda pembangunan negara dapat diteruskan dan kesejahteraan rakyat akan terpelihara.