MENJELANG Hari Raya Korban, hari ini, semangat berkorban yang kita hayati haruslah diperbaharui dan diperdalamkan untuk kebaikan masyarakat Islam dan kepentingan negara kita.
Sifat maaf memaafkan di antara satu dengan lain pula janganlah hanya menjadi permainan bibir dan slogan kosong yang tidak terus masuk dan keluar dari hati sanubari yang jujur dan ikhlas.
Maka dalam memahami dan melaksanakan kedua-dua aspek sempena menyambut hari mulia ini marilah kita sama-sama merenung dan menoleh ke belakang melihat dan memeriksa kembali tindakan kita yang lalu sama ada baik atau tidak, betul atau pun salah.
Pertama sekali saya ingin menarik perhatian saudara seagama tentang beberapa angin perubahan yang berlaku di dalam masyarakat kita yang sepintas lalu menggambarkan sedikit harapan yang positif ke arah perpaduan dan pembetulan pemikiran umat kita.
Saya membaca dari media tentang satu isu lama yang tidak pernah selesai dan tidak pernah terdapat pertemuan fikiran di antara umat Islam di negara kita yang terlalu berpegang kepada kata-kata ketua politiknya sehingga banyak menimbulkan masalah, dan kini syukur kepada Allah s.w.t kerana hal ini mula diperbetulkan oleh pihak yang menimbulkannya dulu.
Maksud saya secara khusus dalam hal ini ialah kenyataan pucuk pimpinan parti Islam yang menyatakan bahawa umat Islam tidak seharusnya mengambil tindakan mengkafirkan sesama Islam, kerana perbuatan itu adalah bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenarnya.
Saya tidak pasti tentang teks kenyataan itu, tetapi yang saya fahami dari berita yang disiarkan oleh media, ialah kandungan dan kesimpulan yang disebutkan dari seorang yang berwibawa dari parti politik yang dimaksudkan.
Walaupun pandangan itu adalah pandangan yang amat tepat dengan ajaran Islam dan yang jelas kesahihannya, tetapi oleh kerana perkara ini telah amat lama diberikan gambaran yang sebaliknya sejak beberapa ketika yang lalu sehingga isu kafir mengkafir itu menjadi sebati dengan golongan-golongan yang tertentu, maka saya rasa pandangan terakhir yang menyatakan bahawa perbuatan kafir mengkafir itu bertentangan dengan ajaran Islam adalah merupakan satu pandangan jujur yang kita nanti-nantikan selama ini untuk membawa sedikit perubahan dikalangan masyarakat Islam yang telah lama terlanjur dengan fahaman dan ideologi itu dan
mengakibatkan banyak masalah di dalam masyarakat Islam di negara kita yang kecil ini.
Saya dapat melihat banyak fenomena perpecahan di dalam masyarakat kita akibat dari ‘fatwa’ kafir mengkafir ini. Jemaah sembahyang berpecah kerana hendak berimamkan orang yang tidak termasuk di dalam golongan yang dihukum ‘kafir’ itu.
Jenazah orang yang dikatakan ‘kafir’ itu tidak perlu dikunjungi dan disembahyangkan oleh orang-orang yang menganggap bahawa mereka sahaja yang sebenarnya ‘Islam’. Banyak pasangan yang selama ini hidup rukun damai terpaksa berpisah atau bercerai kerana isu yang sama. Isu ini juga menyebabkan ramai orang Islam yang tidak mahu memakan daging lembu, kambing atau ayam sembelihan orang yang telah dihukumkan terkeluar dari Islam.
Secara peribadi saya mengetahui tentang anak yang tidak mahu memakan sembelihan ayahnya kerana berlainan parti politik, dan si anak menganggap bahawa sembelihan ayahnya tidak sah dan haram dimakan.
Ada seorang ibu yang ingin mengadakan akad nikah anaknya semula dengan isterinya yang telah pun dikahwininya berpuluh-puluh tahun yang lalu dan telah mempunyai empat lima orang anak, semata-mata kerana anak itu menolak dan menyangkal ‘ajaran’ tok guru polan yang dianggap menolak agama, dan dengan ini anak ini telah menjadi ‘murtad’ dan perlu dimasukkan semula ke dalam Islam dan diakad nikahkan semula.
Mungkin lebih banyak peristiwa yang sama telah berlaku di dalam masyarakat kita yang lebih serius dan padah akibatnya, tetapi tidak banyak orang yang tahu, atau kalau tahu pun lebih banyak orang yang tidak berani membicara dan mendedahkannya kerana takut dan tidak pasti, atau kerana benar-benar menerimanya sebagai isu akidah yang melibatkan soal iman, murtad, kafir dan sebagainya sekiranya ajaran itu tidak dipatuhi.
Kerana itulah saya amat menyanjungi kenyataan yang dibuat itu supaya hal ini akan dapat memberikan penjelasan yang sebenarnya kepada umat Islam yang telah terpengaruh dengan ideologi dan ‘fatwa’ yang telah amat mantap selama ini di dalam hati sanubari mereka dan mengelirukan pemikiran mereka sejak sekian lama.
Sempena hari baik dan bulan baik ini, saya ingin mengambil kenyataan yang dikeluarkan itu secara positif dan dada yang terbuka, satu sikap yang saya rasa patut kita semua berkongsi pandangan, termasuk masyarakat Islam yang selama ini mempunyai anggapan dan tanggapan yang salah terhadap saudara seagamanya dan telah ‘terkeliru’ dengan pandangan dan hukuman yang lalu.
Saya beranggapan bahawa kenyataan ini akan diikuti pula oleh para ulama dan pemimpin agama yang seharusnya menyokong dan menjelaskan lagi isu ini sebagai menunaikan amanah Allah s.w.t kepada mereka.
Hanya dengan mengubah persepsi yang salah itu kita semua anggota masyarakat umat Islam dapat kembali bersatu dan berpadu sebagai satu komuniti yang mantap sungguh pun kita mempunyai pandangan dan fahaman politik yang berbeza-beza.
Andainya kita benar-benar ikhlas untuk menegakkan kebenaran agama maka marilah kita sama-sama membetulkan segala kekeliruan dan kekecohan yang berlaku di dalam masyarakat kita sebagai satu pengorbanan yang amat tinggi nilainya.
Kita semua tahu bahawa kembali kepada kebenaran adalah lebih baik daripada berlarutan di dalam kebatilan, dan apabila lahirnya kebenaran, maka lenyaplah kebatilan. Inilah semangat korban yang harus kita hayatinya sempena menjelangnya hari berkat, Hari Raya Aidiladha ini.