Umat Islam baru saja memasuki Tahun Baru Hijrah. Bulan Muharam merupakan bulan hijrah. Semangat hijrah itu merupakan pencetus untuk membuat perubahan. Sempena tahun baru ini elok jika kita menanamkan keazaman untuk kembali menghayati ajaran agama Islam sebagai teras pembangunan tamadun umat.
Kita lihat pada hari ini umat Islam dilanda pelbagai masalah, samada masalah ekonomi mahupun akhlak. Negara-negara Islam kebanyakannya dibelenggu kemiskinan dan lemah. Pentadbirannya pula tidak cekap menyebabkan negara menjadi porak peranda. Dan sejak akhir-akhir ini umat Islam dilabel sebagai pengganas pula.
Kejadian yang tidak senonoh seperti zina dan rogol kebanyakannya dilakukan oleh orang Islam, yang lebih berani, merompak, mencuri, membunuh, mendera dan sebagainya. Nilai-nilai moral seolah sudah terhakis dari hati-hati mereka yang bergelar orang Islam ini. Kelihatan seolah-olah yang bukan Islam pula lebih baik perangainya.
Seperti yang disebut di dalam al_Quran dan diingatkan oleh Ibn Khaldun dalam karyanya ‘Muqaddimah‘, Allah akan menghancurkan sesuatu umat itu disebabkan golongan tersebut melakukan perkara-perkara yang keji dan melakukan pelbagai kemungkaran, dan Allah akan menggantikan golongan tersebut dengan kaum yang lebih mulia dan terpuji, sepertimana yang telah dilakukan ke atas kerajaan Saba’ dengan berlakunya peristiwa banjir besar sehingga memusnahkan empangan Ma’rib.
Dalam al-Quran, Allah berfirman yang bermaksud,
“Dan jika Kami hendak membinasakan sesuatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan penderhakaan dalam negeri itu, maka kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya (al-Isra’:16).
Krisis yang melanda umat Islam sekarang amat membimbangkan. Apa akan jadi kepada nasib generasi muda jika keadaan ini dibiar berterusan. Di tangan kitalah pilihan untuk mencorak perubahan bagi membina sebuah tamadun yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah.
Sejarah telah menunjukkan bahawa umat Islam tidaklah asing dengan keagungan tamadunnya pada masa dahulu. Bagaimanapun kita tidak boleh sekadar berangan untuk kembali kepada zaman keagungan tamadun Islam pada masa yang silam.
Pembangunan sesebuah tamadun bukanlah boleh dilakukan dalam setahun dua. Ia memerlukan usaha yang berterusan serta iltizam yang kuat. Kita harus mengetahui apakah dia perkara-perkara asas bagi pembentukan sebuah tamadun manusia. Bilangan bangunan pencakar langit bukanlah satu-satunya tanda kecemerlangan sesebuah tamadun.
Akidah merupakan pra syarat bagi pembinaan tamadun manusia. Umat Islam perlu memahami dan menghayati agama Islam sebagai sistem kehidupan yang menyeluruh. Umat Islam perlu kembali kepada asas al-Quran dan as-Sunnah sebagai teras pembinaan tamadun Islam.
Islam adalah sebaik-baik ajaran dan panduan dari Allah SWT untuk manusia sejagat. Akidah merupakan elemen yang menyatukan umat Islam di dunia ini. Kita harus hidup bersatu dan jangan berpecah belah, tolong menolong, tidak berhasad dengki di antara satu sama lain dan bersatu di bawah akidah yang satu.
Masyarakat Islam yang hidup sentiasa bekerjasama dan tolong menolong di antara satu sama lain mampu membawa kepada pembentukan sebuah masyarakat yang bertamadun.
Ilmu juga merupakan asas penting dalam membangunkan tamadun. Agama Islam menyeru umatnya menguasai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang. Melalui penguasaan ilmu sahaja pembangunan dan ketamadunan umat dapat dibangunkan.
Kepentingan ilmu jelas dinyatakan dalam al-Quran: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang mencipta (sekalian makhluk) (al-‘Alaq:1).
Tanpa ilmu, manusia boleh disamakan dengan manusia yang hidup di zaman jahiliyah. Antara ciri-ciri yang terdapat dalam masyarakat jahiliyah adalah tradisi keilmuan yang diabaikan oleh mereka. Kehidupan mereka adalah berasaskan kepercayaan nenek moyang mereka yang terdahulu.
Di samping ilmu akhlak juga merupakan satu syarat untuk membina sesebuah tamadun. Nabi Muhammad SAW merupakan manusia yang paling sempurna dari segi ahklaknya dan merupakan contoh yang paling baik bagi umat Islam.
Sifat yang terdapat pada Baginda seperti budi pekerti, adab yang mulia dan amanah diakui oleh musuh Baginda sendiri. Musuh Islam amat kagum dengan keperibadian Baginda yang mulia.
Akhlak merupakan perisai umat Islam dalam menghadapi arus kemodenan. Ia seumpama benteng yang teguh yang melindungi manusia. Tanpa akhlak, manusia akan terbawa-bawa oleh arus kebendaan dan hilang kawalan diri.
Justeru ciri-ciri untuk membangunkan tamadun umat mesti berlandaskan nilai-nilai yang fundamental seperti akhlak, ilmu dan nilai-nilai masyarakat yang murni yang dihayati dan bersifat kerohanian. Nilai-nilai murni inilah yang akan mengimbangi sesebuah masyarakat itu dalam menuju masyarakat yang bertamadun.