Alam sekitar merupakan anugerah yang sangat berharga dalam kehidupan manusia dan diciptakan sebagai simbol kekuasaan dan kebesaran Allah SWT. Dari perspektif Islam, alam sekitar adalah berasaskan kepada ajaran tauhid yakni terdapatnya penyatuan atau perhubungan yang erat di antara manusia, alam dan juga Pencipta (Allah SWT).
Dalam konteks hubungan ini, semua makhluk yang diciptakan di atas muka bumi adalah saling berkait rapat dan berkesinambungan antara satu sama lain. Misalnya, terdapat hubungkait yang erat antara satu spesies dengan spesies yang lain, haiwan dengan tumbuh-tumbuhan, spesies dengan ekosistem, manusia dengan alam sekitar, manusia dengan Pencipta dan pelbagai hubung kait lagi.
Hubung kait di antara setiap penciptaan di atas muka bumi ini telah dinukilkan dengan jelas melalui firman Allah SWT di dalam surah Ibrahim, ayat 32. yang bermaksud: “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat daripadanya).
Melalui penciptaan alam sekitar yang seimbang dan harmoni, pelbagai manfaat disediakan untuk kehidupan manusia yang perlu disyukuri dan dijaga dengan sebaik-baiknya agar kelestarian dan kelangsungan alam terus terpelihara. Dalam konteks menjaga keseimbangan dan keharmonian ini, Islam telah menggariskan akhlak sebagai teras hubungan antara manusia, alam dan Pencipta.
Justeru, dalam segala hal yang bersangkut paut dengan alam sekitar, manusia telah diamanahkan untuk mengurus, melindungi serta memakmurkannya dengan sebaik mungkin agar keseimbangan alam dapat dikekalkan. Hal ini telah ditegaskan di dalam firman Allah SWT di dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi serta menghendaki kamu memakmurkannya”.
Segala panduan dan pedoman telah digariskan dengan jelas di dalam al-Quran tentang peranan kita terhadap alam sekitar. Namun persoalannya, sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab dan peranan kita dalam memakmurkan alam sebagaimana yang telah diamanahkan dengan sebaik mungkin? Tugas memakmurkan alam tidak hanya tertakluk kepada hubungan kita dengan alam semata-mata, sebaliknya ia juga merangkumi peranan kita dalam menyeru dan mengajak masyarakat untuk sama-sama menjaga dan memelihara alam sekitar.
Dalam menggalas tanggungjawab ini, ia memerlukan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak baik secara individu, organisasi, mahupun melalui institusi pendidikan dalam memastikan usaha mendidik dan memupuk kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar lebih berkesan kepada masyarakat.
Tidak dapat dinafikan bahawa telah banyak usaha ke arah ini telah dilaksanakan baik oleh kerajaan mahupun badan-badan bukan kerajaan dari masa ke semasa. Namun demikian ia dilihat seolah-olah kurang memberi impak terhadap kesedaran masyarakat tentang aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar. Ini terbukti apabila pelbagai isu dan permasalahan alam sekitar masih lagi berleluasa dan tiada tanda-tanda bahawa ia semakin berkurang.
Ini sedikit sebanyak menimbulkan keraguan kepada kita, adakah program-program kesedaran alam sekitar dan kurikulum pendidikan sedia ada belum memadai dan cukup lemah sehinggakan ia tidak memberi impak yang sewajarnya kepada masyarakat? Jika benar, maka kajian dan penelitian secara terperinci perlu dilakukan bagi memberi nilai tambah dalam memantapkan lagi modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar sedia ada dalam usaha memberi dan memupuk kesedaran secara lebih berkesan kepada masyarakat terhadap aspek pelestarian alam sekitar.
Melalui penelitian secara sepintas lalu, didapati bahawa kurikulum pendidikan sedia ada masih belum memberi tumpuan sepenuhnya kepada pendidikan alam sekitar sebagai agenda utama dalam sistem pendidikan formal negara. Kelemahan sistem pendidikan formal negara dalam mengetengahkan aspek pendidikan dan pemuliharaan alam sekitar secara serius merupakan antara cabaran besar kepada kita untuk melahirkan generasi yang prihatin serta mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap kepentingan aspek-aspek berkenaan.
Misalnya, didapati dalam kurikulum pendidikan sedia ada (baik di peringkat sekolah rendah mahupun menengah), mata pelajaran berkaitan pemuliharaan alam sekitar tidak diajar secara khusus atau secara berasingan. Sebaliknya, ia hanya dimuatkan sedikit sahaja dalam mata pelajaran lain seperti Sains dan Kajian Tempatan.
Persoalannya, adakah ia mencukupi dan mampu memberi pendedahan secara menyeluruh berhubung kepentingan menjaga alam sekitar jika ia hanya sekadar tempelan semata-mata di dalam mata pelajaran lain? Tidakkah ini secara jelas memperlihatkan bahawa dasar pendidikan negara tidak serius dalam memartabatkan pendidikan alam sekitar ke tahap yang sewajarnya?
Begitu juga di peringkat institusi pengajian tinggi, hanya pelajar yang mengambil ijazah atau program khusus berkaitan alam sekitar sahaja terdedah dan mengetahui tentang isu-isu serta cara-cara untuk menguruskan alam sekitar dengan baik. Manakala bagi pelajar-pelajar yang mengambil jurusan lain, mereka tidak akan memahami secara jelas berhubung aspek-aspek berkaitan pemuliharan alam sekitar kerana tiada mata pelajaran berkaitan alam sekitar dimuatkan dalam program yang diambil oleh mereka.
Justeru, satu transformasi perlu dilakukan dalam usaha memantapkan lagi modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar sedia ada agar pengisian dalam sesebuah modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar adalah lebih lengkap dan komprehensif mencakupi kesemua aspek penting secara seimbang dan seragam baik teori, penerapan elemen-elemen asas biodiversiti, pendedahan secara praktikal mahupun penekanan melalui pendekatan agama dan nilai-nilai moral. Usaha ini penting dan perlu dilaksanakan secara selaras agar memenuhi keperluan baik di peringkat tempatan mahupun global.
Sudah tiba masanya untuk kita melakukan penambahbaikan ke atas modul-modul dan kurikulum pendidikan alam sekitar sedia ada agar ia lebih memberi kesan dalam meningkatkan tahap kesedaran masyarakat ke tahap paling maksimum terhadap aspek pemuliharaan dan pelestarian alam sekitar.
Transformasi ini perlu dilakukan dengan segera bagi memastikan usaha memupuk kesedaran berhubung kepentingan pemuliharan alam sekitar dalam kalangan para pelajar dapat dilaksanakan dengan jayanya. Mata pelajaran berkaitan pemuliharaan alam sekitar perlu diperkenalkan dan dijadikan sebagai satu mata pelajaran yang berasingan daripada mata pelajaran lain.
Selain itu, ia juga mesti dijadikan sebagai mata pelajaran teras yang wajib diambil oleh para pelajar semasa peperiksaan besar seperti Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), serta syarat wajib lulus perlu diletakkan ke atas mata pelajaran ini bagi membolehkan para pelajar layak dianugerahkan sijil.
Begitu juga di peringkat universiti, yang mana mata pelajaran berkaitan alam sekitar mesti dijadikan sebagai mata pelajaran teras universiti yang wajib diambil oleh setiap pelajar dalam semua jurusan. Malah, ia juga perlu dijadikan sebagai prasyarat wajib untuk para pelajar bergraduasi. Dengan cara ini, para pelajar akan memberi tumpuan dan perhatian yang lebih kepada mata pelajaran berkenaan sebagaimana mata pelajaran lain. Ini sedikit sebanyak dapat memberi pendedahan kepada mereka untuk memahami dan menghayati peranan mereka dalam aspek pemuliharaan alam sekitar.
Selain tumpuan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah rendah, menengah, menengah atas dan institusi pengajian tinggi, tidak lupa juga ia perlu diterapkan bermula di peringkat pra sekolah lagi. Ini kerana, pendidikan sejak di awal usia merupakan tunjang penting yang menjadi asas lorongan utama ke arah pembentukan generasi pelapis yang mempunyai tahap kesedaran yang mantap di setiap peringkat yang seterusnya dalam aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.
Namun demikian, teknik dan bentuk penyampaian dalam usaha memberi pendidikan dan kesedaran alam sekitar yang mantap dan berkesan perlulah disesuaikan mengikut peringkat usia agar ia mudah diterima dan difahami untuk dipraktikkan mengikut kesesuaian umur. Misalnya, menggunakan kaedah animasi dan gambar di peringkat pra sekolah bagi memudahkan mereka memahami dan menyerap apa yang diajar dengan lebih cepat dan berkesan.