“Ali, ini duit belanja sekolah kamu hari ini. Lebihnya simpan dalam tabung.” “Dahlia, ini duit belanja sekolah. Bakinya masuk tabung.” Terngiang-ngiang pesanan ibu atau ayah kita ketika memberikan wang saku semasa di sekolah rendah dahulu.
Pesanan ini begitu berkesan dalam diri kebanyakan kita sehingga apabila bekerja dan memiliki pendapatan sendiri, kita masih menguruskan wang kita dengan berbelanja dahulu, dan hanya menabung bakinya. Itupun jika ada baki. Jika tidak, maka tiada tabunganlah kita pada bulan tersebut.
Oleh kerana kebanyakan kita diajar untuk berbelanja dahulu, dan menabung bakinya, maka tidak hairanlah kajian mendapati bahawa lebih kurang 70 peratus rakyat Malaysia tidak memiliki tabungan yang mencukupi – dana kecemasan besar – yang bersamaan dengan tiga bulan gaji.
Dalam pengurusan kewangan peribadi, formula yang harus diikuti ialah “bayar diri sendiri dahulu, sebelum membayar orang lain.” Maksud “membayar diri sendiri dahulu” ialah kita menabung dahulu sebelum membelanjakan wang tersebut. Tabungan minimum yang disarankan ialah 10 peratus dari pendapatan. Sebagai contoh, jika pendapatan kita RM2500 sebulan, kita simpan 10 peratus iaitu RM250 dan membelanjakan RM2250 sahaja.
Begitulah sepatutnya kita mendidik anak-anak menabung. Ketika kita memberi wang saku, sarankan mereka menyimpan 10 peratus dahulu, sebelum membelanjakan bakinya. Dalam kata-kata lain, jika wang saku anak kita ialah RM5 sehari, sarankan mereka menyimpan 50 sen dan belanjakan RM4.50 sahaja.
Teringat penulis kepada satu kisah dalam al-Quran di mana Raja Mesir pernah bermimpi mengenai “…tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; tujuh tangkai bijirin yang hijau dan tujuh tangkai bijirin yang kering…”. Ketika mentafsir mimpi ini, Nabi Yusuf a.s dalam Surah Yusuf, ayat 47 menyebut bahawa, “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh selama tujuh tahun berturut-turut, kemudian, apa yang diketam, biarkan dia pada tangkai-tangkainya kecuali sedikit yang kamu jadikan makanan.”
Dalam kata-kata lain, Kerajaan Mesir disaran untuk menanam bersungguh-sungguh selama tujuh tahun makanan ruji mereka serta menyimpan (menabung) kebanyakan dari hasilnya sebagai bekalan untuk kemarau panjang yang bakal melanda. Sementara itu, mereka perlu berjimat-jimat dalam memakan (membelanjakan) hasil tuaian mereka. Saranan ini – melebihkan simpanan dan mengurangkan perbelanjaan – merupakan saranan terbaik untuk mempersiapkan diri kita untuk masa hadapan yang tidak menentu.
Begitulah keadaannya dalam menguruskan kewangan peribadi, untuk menjamin masa depan yang lebih baik dan selesa, komponen tabungan perlu diutamakan sebelum kita membelankajan pendapatan yang ada. Perkara ini perlu disematkan dalam diri anak-anak sejak mereka kecil lagi supaya kebiasan itu menjadi sebahagian dari diri mereka bila mereka dewasa kelak.
Mendidik anak-anak menabung boleh dimulakan dengan memberi mereka sebuah tabung yang lutsinar. Tabung lutsinar penting kerana kanak-kanak perlu melihat sendiri apa yang berlaku dalam tabung itu dari sehari ke sehari. Melihat peningkatan bilangan wang syiling dalam tabung itu akan memotivasikan mereka untuk terus menabung sehingga ia penuh.
Ibu bapa sendiri perlu menjadi contoh yang baik dalam hal ini. Letakkan tabung lutsinar ibu atau bapa di sebelah tabung lutsinar anak-anak dan menabunglah setiap hari di hadapan mereka. Mereka pasti akan mencontohi perbuatan itu.
Pepatah Melayu ada menyebut, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Dalam masyarkat kita, budaya menabung sudah lama diterapkan dalam diri anak-anak. Namun, perlu dipastikan formula yang disematkan itu formula yang betul, supaya apa yang kita hasrat hendak wujudkan itu, benar-benar tercapai. Maka, pagi esok, ketika memberi wang saku kepada anak-anak, pastikan pesanan anda betul, “Aina, ini duit belanja RM5. Simpan 50 sen, belanja bakinya!”. Selamat mencuba!