Biarpun Ramadhan telah berlalu namun kesan pentarbiyahan daripada kem Ramadhan seharusnya masih berbekas di setiap jiwa Muslim. Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan perlatihan yang bakal mencetuskan momentum untuk kebaikan yang akan diteruskan bulan- bulan seterusnya. Musim raya Aidilfitri ini merupakan jejak permulaan menentukan keberhasilan daripada natijah Ramadhan, adakah ia mampu mengundang kebaikan dan pahala sepertimana yang dilakukan pada bulan Ramadhan? Adakah istilah istiqamah terus menerajui diri sendiri biarpun bulan yang penuh dengan imtihan sudah berlalu pergi?
Disinilah peri pentingnya kekuatan dalaman yang perlu dicetuskan hasil daripada istiqamah yang berpanjangan. Apakah yang ada selepas Ramadhan? Mampukah untuk terus berlaku baik dengan beramal ibadah dan menambahkan pahala serta amal kebaikan? Semua persoalan ini boleh dijadikan sebagai titik renungan untuk setiap daripada kita bahawa Syawal yang sedang kita lalui sekarang juga merupakan satu ujian sama ada kita mampu atau sebaliknya untuk istiqamahkan kebaikan yang telah kita buat sepanjang Ramadhan. Barangkali terbit juga kekusutan dan kekeliruan dalam pembawaan kita dalam bulan Ramadhan dan bukan Ramadhan. Ini kerana mengekalkan sesuatu yang telah kita amalkan atau dalam ertikata lain istiqamah mungkin sukar untuk diteruskan jika beban istiqamah tersebut terus dipandang sebagai beban yang tiada penghujungnya. Sedangkan kita boleh mengubah pandangan tersebut bahawa apa yang telah kita lalui dalam bulan Ramadhan dapat menjadi pencetus kepada kebaikan untuk sebelas bulan yang akan datang bermula pada bulan Syawal yang sedang kita lewati kini. Itulah intipati sebenar pentarbiyahan Ramadhan.
Sayang sekali, ia hanya dipandang sepi. Cuba kita lihat, bagaimana sibuknya pada bulan Ramadhan, semua pihak atau orang perseorangan untuk bersedekah, menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan seperti orang miskin, orang tua dan anak- anak yatim. Kebanyakan rumah kebajikan yang dihuni oleh warga yang tidak berkemampuan dihujani dengan pelbagai bentuk bantuan agar mereka juga boleh merasai nikmat berpuasa dan berhari raya dengan kegembiraan. Tetapi selepas Ramadhan, golongan ini terus dibiarkan dan tidak dipedulikan dalam menjalani kehidupan. Kelaziman yang berlaku dalam bulan Ramadhan langsung tidak diteruskan selepasnya menyebabkan golongan tersebut terasa diabaikan. Inikah yang dikatakan roh Ramadhan yang menjiwai setiap insan? Jika keadaan ini terus dibiarkan, adalah lebih baik dan berpahala jika sikap dermawan oleh badan- badan tertentu atau orang perseorangan ini diamalkan dalam bulan- bulan selain Ramadhan. Majlis berbuka puasa yang asalnya adalah ibadat dan sedekah bertukar menjadi adat. Tiba masa golongan tersebut memerlukan bantuan, mereka terus diabaikan dan dibiarkan sepi. Sebab itulah apabila tiba kehadiran Syawal seharusnya disambut dengan penuh keazaman untuk mengekalkan kebaikan dan terus istiqamah dalam setiap lunas amalan.
Persoalan yang seharusnya timbul di setiap benak fikiran kita ialah adakah Syawal ini mampu menggamit istiqamah berpanjangan yang bertitik tolak daripada Ramadhan yang lepas? Jika kita tinjau daripada satu segi iaitu kesihatan, berapa ramai yang mampu mengekalkan amalan kesihatan yang kita lakukan pada bulan puasa? Barangkali dengan undangan jamuan rumah terbuka yang tidak pernah surut, mengundang tuntutan selera dan nafsu yang tidak pernah padam apabila melihat juadah istimewa sepanjang bulan Syawal. Ini menjadikan kita lupa bahawa tuntutan bulan Ramadhan agar bersederhana dalam makan dan minum tidak dapat dijadikan sandaran untuk terus istiqamah dalam menjaga kesihatan. Cuba kita lihat para perokok tegar yang mampu menahan keinginan merokok sepanjang berpuasa di siang hari. Tetapi berapa kerat daripada mereka yang mampu mengurangkan ketagihan merokok selepas bulan Ramadhan. Jika tidak berhenti terus daripada merokok, seharusnya jumlah bilangan rokok dan kekerapan merokok patut dikurangkan sebagai kesinambungan sikap yang telah diamalkan sepanjang bulan Ramadhan. Tetapi sebaliknya berlaku apabila bermulanya Syawal, kerana terdapat juga yang semakin kerap merokok seolah- olah mereka bebas daripada ikatan yang menegah mereka daripada merokok dan medan untuk membalas dendam kerana tidak dapat menebus keinginan merokok sepanjang Ramadhan.
Begitu juga dengan semangat jemaah yang kita tuai semasa bulan puasa seharusnya diteruskan agar menjadi satu sikap yang sentiasa wujud dan segar dalam sanubari setiap insan. Bekerjasama dalam apa jua pekerjaan menjadikan ia semakin mudah dan ringan. Jika pada setiap malam Ramadhan selepas tarawikh, jamuan makan moreh dijadualkan kepada setiap warga qaryah mengikut giliran. Dengan ini, jalinan kerjasama bertaut sesama jemaah kerana saling bermuafakat dan menyumbang dalam setiap keperluan di surau atau masjid. Tetapi, adakah amalan ini masih diteruskan selepas itu dan seandainya terdapat majlis keramaian yang perlu diraikan? Bersyukurlah sekiranya sikap tolong menolong dan bekerjasama ini masih sebati dalam jiwa masyarakat tetapi bagaimana pula kelaziman tersebut yang semakin terhakis lebih- lebih lagi bagi warga kota?
Jika pada malam- malam Ramadhan, surau dan masjid dihiasi susunan saf- saf jemaah tetapi ia berkurang dan semakin sepi apabila bermulanya Syawal dan bulan- bulan seterusnya. Seolah- olah hanya bulan Ramadhan yang menjadi pesta ibadah tetapi sebelas bulan seterusnya, masjid atau surau seperti tertutup rapat untuk semua. Senario ini seharusnya dapat kita jadikan iktibar bahawa beban istiqamah itu perlu dibawa setiap masa tidak kira pada bulan mana kita berada. Lebih- lebih lagi bulan Syawal yang menjadi lambang kemenangan orang Islam dalam menentang hawa nafsu seharusnya diiringi dengan istiqamah yang tidak akan luput dalam setiap jiwa. Ini kerana untuk istiqamah juga kita perlu mujahadah kerana ia memerlukan keseimbangan. Keseimbangan dalam ertikata kita perlu bersederhana dalam setiap hal yang mana lebih baik sesuatu amalan itu biarpun sedikit atau kecil tetapi istiqamah berbanding dengan melampau dalam sesuatu hal. Tidak kiralah sama ada kita banyak menjalani ibadah tetapi tidak istiqamah atau berbuat sesuatu hanyalah bermusim seterusnya meninggalkan amalan tersebut. Itulah yang dipersoalkan setelah usai menjalani sebulan perlatihan Ramadhan, langsung tidak berbekas di hati untuk terus senantiasa dengan amalan baik yang pernah disemai. Apakah yang ada pada bulan Syawal ini terus menjadi persoalan yang tidak berjawab jika kita tidak dalami dengan makna yang sebenar istiqamah yang dipelajari sepanjang Ramadhan. Ini kerana Syawal bukan sekadar bulan kemenangan, kemeriahan, bulan menyemai kasih sayang dengan saling menziarahi tetapi bulan kesinambungan ibadah dan amalan terpuji yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Justeru itu, Syawal yang sedang kita lalui kini perlu dihargai kerana ia mampu menjadi medan istiqamah amalan yang berpanjangan tidak kira dalam apa jua sudut agar setiap jiwa insan tidak mudah luntur dengan roh Ramadhan. Hati yang dibaluti dengan semangat Ramadhan yang tebal mampu menggamit Syawal yang penuh iltizam agar menjadi pemangkin untuk terus menjana amalan- amalan soleh.