Hanya tinggal beberapa hari sahaja Syawal akan menjelang tiba. Namun kali ini Syawal yang akan dirai begitu jauh berbeza. Tidak seperti tahun-tahun sebelum ini. Ia sebagaimana Ramadan yang sedang kita lalui sekarang, dan apa yang berlaku pada hari ini bakal menjadi sejarah yang akan kita dendangkan kepada anak cucu nanti.
Norma dan kelaziman baharu kerana wabak Covid-19 menyebabkan tiada budaya balik ke kampung secara besar-besaran pada tahun ini, tidak seperti kebiasaan sebelum ini yang ada ketikanya menuntut masa sehingga berbelas-belas jam berada di atas jalan raya. Pada hari raya kali ini, kita akan memakai pakaian yang terbaik tetapi dalam lingkungan yang amat terbatas. Ziarah-menziarahi hanya dihadkan kepada mereka yang berada dalam kawasan tertentu yang sama. Amalan berkumpul untuk mengeratkan silaturahim juga dalam jumlah yang tertentu dengan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard atau standard operating procedure (SOP) yang telah digariskan.
Tindakan-tindakan di luar kebiasaan ini perlu diterima dan menjadi budaya baharu sehinggalah vaksin yang ampuh dan benar-benar berdaya lawan ditemui bagi jangkitan ini. Dalam situasi ini, tiada seorang pun yang boleh mengagak bila masanya penawar tersebut mampu dihasilkan dan dapat disediakan kepada masyarakat. Barangkali 12 bulan atau mungkin mencecah hingga ke-18 bulan sebagaimana yang disebutkan oleh YAB Perdana Menteri dalam perutusan khas beliau. Selagi penghasilan vaksin masih dalam proses, maka perkara-perkara baharu ini harus diterima serta diamalkan demi kelangsungan hidup manusia yang sejahtera tanpa ancaman wabak.
Pihak pemerintah sudah tentu amat mengharapkan agar norma baharu ini benar-benar disambut oleh rakyat dengan penuh kesedaran. Hal yang demikian ini adalah kerana ia mampu membantu rakyat untuk berada dalam keadaan dan persekitaran yang sihat, dan akhirnya nanti kita dapat menjalani kehidupan seperti sedia kala.
Harapan ini sebenarnya boleh disambut dan ditunaikan dengan penuh tanggungjawab sekiranya wujud kesedaran yang jitu dalam jiwa individu rakyat negara ini. Di sinilah kedudukan fungsi ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan.
Bulan Ramadan boleh dianggap sebagai madrasah tarbiah kepada setiap individu Muslim. Dalam madrasah ini terdapat larangan tertentu yang berperanan untuk mendisiplinkan individu yang berpuasa. Selain peluang yang ditawarkan untuk membersihkan dosa sekali gus mengumpulkan pahala sebanyak-banyaknya dengan membaca al-Quran, menunaikan solat-solat sunat, bersedekah, tolong-menolong dan berbuat baik kepada sesiapa sahaja.
Ramadan juga adalah bulan yang seharusnya mampu memupuk sifat-sifat mahmudah dalam diri seseorang insan seperti mengasihani sesama manusia; prihatin terhadap mereka yang kurang bernasib baik; sabar dan bersyukur. Selain memelihara dan meninggalkan sifat-sifat mazmumah sebagaimana yang dinyatakan dalam sebuah Hadis Baginda Rasulullah SAW riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud, “Lima perkara yang menghapuskan puasa yakni dalam erti menghapuskan pahalanya ialah dusta, mengumpat, mengadu-domba, sumpah palsu dan melihat sesuatu dengan hawa nafsu.”
Bulan ini juga boleh dijadikan sebagai wadah untuk kemakmuran sosioekonomi masyarakat setempat dengan sumbangan sedekah yang kemuncaknya adalah dengan pembayaran zakat fitrah. Pada garisan penamatnya ialah kesempurnaan dalam penyucian jiwa yang selari dengan tiga fasa atau tahap Ramadan yang merangkumi tahap rahmat, tahap keampunan dan diakhiri dengan tahap pembebasan daripada api neraka.
Selanjutnya ia disambut oleh bulan Syawal yang mulia sebagai pengiktirafan kepada kejayaan dalam perjuangan melawan hawa nafsu, dan pembentukan insan salih yang bertakwa. Jika Ramadan merupakan medium untuk bermuhasabah diri dan penambahbaikan hubungan hamba dengan Penciptanya, maka Syawal pula menyediakan peluang terbaik bagi menyempurnakan urusan agama dari sudut hubungan sesama manusia.
Rasa tanggungjawab dengan penuh kesedaran adalah sebahagian daripada nilai takwa yang terhasil daripada didikan madrasah Ramadan yang dilalui. Akhlak dan tingkah laku yang terpuji ialah cerminan kepada ketakwaan seseorang. Inti pati dalam madrasah ini melalui ibadah puasa tidak lain tidak bukan adalah untuk menanam di lubuk hati insan tentang kewujudan dan kehadiran Allah SWT dalam setiap saat kehidupan manusia.
Bagi mereka yang beriman, Syawal akan dirayakan dengan penuh ketakwaan dan pengertian yang sebenar walau dalam keadaan yang sedang diuji begini. Masih banyak sunah yang boleh dilakukan sebagaimana yang telah diajari oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Kita masih boleh memanjatkan syukur dengan bertakbir; mandi sunat hari raya; bersolat sunat pada pagi hari raya; mendoakan sesama kita agar Allah menerima amalan kita; sehinggalah kepada berpuasa enam dalam bulan Syawal dan meneruskan ibadah-ibadah yang lain secara istiqamah.
Dalam hal ini kita perlu memahami bahawa budaya kunjung mengunjungi itu ialah hiasan dan manifestasi kepada silaturahim untuk kita saling bermaaf-maafan bagi menyempurnakan dimensi agama dari sudut hubungan sesama manusia yang sebenarnya boleh digantikan dengan pelbagai kreativiti.
Hasil tarbiah Ramadan akan menjadikan kita mampu melaksanakan tanggungjawab sosial dan kawalan kendiri dengan cemerlang, malah bersama-sama dan bersungguh-sungguh mengamalkan norma baharu demi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. Masyarakat Islam masih boleh bergembira walaupun perlu mengasimilasi norma baharu kerana Ramadan telah menjadikan kita sebagai jiwa yang bersyukur, masih mampu menghargai nikmat-nikmat lain yang Allah kurnia, dan ia menjadikan kita sebagai hamba yang tidak mementingkan diri sendiri. Ia adalah selari dengan sebuah syair Arab yang sebahagiannya bermaksud, “Bukanlah Aidilfitri untuk mereka yang berpakaian serba baharu, namun Hari Raya Aidilfitri adalah untuk mereka yang beriman dan ketaatan mereka yang bertambah-tambah.”
Akhir kata dengan seloka pendek daripada penulis, “Sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan; sayangkan anak, tangan-tangankan; sayangkan orang tua tidak pulang ke kampung halaman.”