Assalamu ‘alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.
Alhamdulillah, marilah kita menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan hidayah dan keizinan-Nya jua, maka pada tahun ini kita dapat menyempurnakan ibadah puasa, dan meraikan Aidilfitri yang mulia dalam suasana aman dan harmoni walaupun di dalam suasana pergelutan dengan pendemik COVID-19.
2. Hari ini kita menyambut kedatangan Aidilfitri setelah sebulan bermujahadah melaksanakan amalan wajib dan sunat menghambakan diri kepada Allah Subhanahu Wata’ala melalui ibadah puasa dan pelbagai bentuk ibadah lain, yang melatih kita menundukkan hawa nafsu.
3. Bersempena dengan hari raya ini, dalam suasana kita bergembira, maka kita hendaklah mematuhi beberapa adab yang diperintahkan oleh agama Islam, seperti tidak berhibur berlebih-lebihan di atas nama Aidilfiri dan juga mengelakkan daripada sebarang pembaziran. Kita hendaklah sentiasa menghiasi diri kita dengan akhlak mahmudah seperti jujur, amanah dan rendah diri. Marilah kita meneruskan kehidupan setelah membersihkan hati kita daripada sifat-sifat mazmumah, antaranya, sifat dendam kesumat, hasad dengki, takabbur, riak dan sombong.
4. Barang diingat, dalam suasana menyambut Aidilfitri ini dan mengambil kesempatan untuk kita mengeratkan lagi tali silaturrahim dan hubungan ukhuwah sesama keluarga, jiran tetangga dan sahabat handai kita hendaklah mematuhi sepenuhnya peraturan-peraturan dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) agar rantaian Covid-19 dapat diputuskan.
5. Saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wata’ala mengurniakan kesejahteraan kepada umat Islam dan khasnya ke atas seluruh warga dan rakan-rakan IKIM. Saya juga menaruh sepenuh harapan bahawa beberapa hikmah dan kelebihan bulan Ramadan seperti: perasaan bertimbang rasa serta mengasihani sesama umat Islam tanpa mengira golongan kaya atau miskin akan berterusan.
6. Pada kesempatan ini, saya dengan penuh rasa tawaduk, memohon kemaafan di atas kesilapan dan kekhilafan daripada semua pihak, dan saya dengan seikhlas hati memaafkan kesilapan terhadap saya.
Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.