Islam hadir dalam masyarakat Jahiliyah dengan membawa berita gembira buat wanita. Martabat wanita ditingkatkan dengan menghentikan amalan-amalan tradisi yang membelenggu wanita di samping memberi wanita hak-hak yang adil setanding lelaki seperti hak untuk menuntut ilmu, hak bersuara, hak untuk bergiat dalam masyarakat dan sebagainya. Dalam kata-kata lain, Islam tidak menghalang penglibatan wanita dalam bidang-bidang ini. Malah, usaha membangun, memaju dan memperkasa wanita sebagai modal insan sama seperti lelaki, dialu-alukan oleh Islam.
Salah satu tugas penulis selaku penyelidik ialah ke udara di radio IKIM untuk berkongsi hasil penyelidikan yang telah dijalankan dalam bidang pengkhususan penulis, iaitu keluarga dan wanita. Seringkali apabila penulis ke udara membicarakan tentang pembangunan wanita di Malaysia dan program ini diuar-uarkan melalui FB IKIMfm, akan ada satu atau dua komen yang mempersoalkan tentang pembangunan wanita di Malaysia ini. Menurut mereka, kita telah melakukan pelbagai perkara untuk membangunkan wanita. Apakah usaha-usaha ini masih belum mencukupi?
Betul, pelbagai perkara telah dilakukan untuk membangunkan wanita di negara ini agar mereka dapat menikmati hak-hak serta peluang-peluang yang sama seperti lelaki. Namun, berapa ramai yang tahu bahawa menurut Laporan Indeks Jurang Gender Global 2020 (Global Gender Gap Index 2020 Report), Malaysia berada di kedudukan 104 dari 153 negara dalam hal ini? Malah, negara-negara jiran kita lebih terkehadapan lagi dalam perkara ini seperti Filipina (16), Singapura (54), Thailand (75), Indonesia (85) dan Brunei (95).
Jika Islam mengalu-alukan usaha membangun, memaju dan memperkasa wanita sebagai modal insan sama seperti lelaki, kenapa Malaysia sebagai sebuah negara Islam menduduki tangga yang corot dalam hal merapatkan jurang gender ini?
Jurang gender merujuk kepada perbezaan pencapaian antara wanita dan lelaki, dalam bidang-bidang seperti sosial, politik, intelektual, budaya dan ekonomi. Indeks Jurang Gender Global mengukur jurang ini dalam empat bidang utama iaitu kesihatan, pendidikan, ekonomi dan politik. Secara mudah, skor kad Malaysia dalam Indeks Jurang Gender Global 2020 dapat diringkaskan seperti dalam Jadual 1.
Jadual 1 menunjukkan bahawa Malaysia berjaya merapatkan jurang gender dalam sub-indeks pendidikan dan kesihatan. Namun, masih banyak yang perlu dilakukan untuk merapatkan jurang gender dalam bidang ekonomi dan politik.
Jadual 1: Skor Kad Malaysia, Indeks Jurang Gender Global 2020
Skor | Kedudukan (dari 153 negara) | |
Indeks Jurang Gender Global 2020 | 0.677 | 104 |
Sub-indeks Penglibatan dan Peluang Ekonomi | 0.639 | 97 |
Sub-indeks Pencapaian Pendidikan | 0.989 | 86 |
Sub-indeks Kesihatan dan Kelangsungan Hidup | 0.974 | 84 |
Sub-indeks Pemerkasaan Politik | 0.108 | 117 |
Sumber: https://www.weforum.org/reports/gender-gap-2020-report-100-years-pay-equality (Diakses: 10 Feb 2020)
Data dari laporan tersebut menunjukkan bahawa dalam bidang pendidikan misalnya, enrolmen murid perempuan ke sekolah rendah telah mencapai 99.8 peratus. Enrolmen pelajar perempuan ke sekolah menengah pula telah mencapai 75.4 peratus, meninggalkan pelajar lelaki yang hanya 69.2 peratus. Enrolmen pelajar wanita ke pendidikan tertiari pula mencapai 49.9 peratus, juga meninggalkan pelajar lelaki yang hanya mencapai 40.7 peratus sahaja.
Dalam bidang kesihatan, jangka hayat wanita adalah 68.1 tahun, manakala jangka hayat lelaki adalah 65.3 tahun. Perkara ini mungkin ada kaitannya dengan kejayaan perkhidmatan kesihatan ibu dan kanak-kanak di seluruh negara.
Namun, dalam bidang penglibatan dan peluang ekonomi, hanya 55 peratus wanita dewasa (berusia antara 15-64 tahun) yang terlibat berbanding 80.8 peratus lelaki dewasa. Jadi, walaupun lebih ramai wanita yang mendapat pendidikan di sekolah menengah dan peringkat tertiari berbanding lelaki, namun bilangan wanita dewasa yang bekerja jauh lebih rendah berbanding lelaki. Begitu juga, didapati bahawa hanya 20.4 peratus wanita yang memegang jawatan-jawatan pembuat undang-undang, pegawai kanan dan pengurus berbanding 79.6 peratus lelaki yang memegang jawatan ini.
Dalam bidang pemerkasaan politik pula, hanya terdapat 14.4 peratus wakil rakyat wanita berbanding 85.6 peratus wakil rakyat lelaki. Selain itu, hanya terdapat 18.5 peratus menteri wanita, berbanding 81.5 peratus lelaki. Maka, tidak hairanlah skor pemerkasaan politik untuk Malaysia adalah 0.108 dan berada di kedudukan 117 dari 153 negara.
Dalam keadaan di mana ada yang berpendapat Malaysia telah melakukan pelbagai usaha untuk membangunkan wanita, ternyata bahawa pencapaian wanita Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding lelaki jika dibandingkan dengan usaha negara-negara lain dalam konteks global. Maka, pelbagai inisiatif perlu diambil untuk merapatkan jurang gender ini khususnya dalam bidang ekonomi dan politik.
Dalam bidang ekonomi, dasar-dasar mesra keluarga seperti penyediaan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja dan cuti paterniti akan banyak membantu.
Untuk meningkatkan bilangan wanita yang memegang jawatan-jawatan pembuat undang-undang, pegawai kanan dan pengurus pula memerlukan dasar-dasar seperti “30 peratus Wanita Pembuat Dasar” dan “30 peratus wanita dalam Lembaga Pengarah”.
Dalam bidang politik pula, selain menetapkan kuota-kuota tertentu, banyak lagi amalan pemimpin serta parti politik di luar negara yang boleh dijadikan iktibar untuk diamalkan di negara ini.
Secara keseluruhannya, untuk merapatkan jurang gender, pelbagai dasar serta inisiatif perlu diambil, khususnya di peringkat negara untuk memastikan pencapaian wanita dalam keempat-empat bidang tadi setanding dengan kaum lelaki. Pada masa yang sama, kaum wanita perlu ada ilmu, kemahiran, kemahuan dan keyakinan untuk terlibat dan memanfaatkan peluang yang ada agar mereka betul-betul layak untuk berada di situ dan bukan sekadar mengisi kuota semata-mata.
Untuk membincangkan tajuk ini dengan lebih mendalam lagi, IKIM akan menganjurkan Seminar Kebangsaan “Merapatkan Jurang Gender: Satu Perspektif Islam” pada 31 Mac 2020. Untuk keterangan lanjut, sila layari laman sesawang IKIM di www.ikim.gov.my