Prinsip-prinsip pembinaan negara yang diasaskan pemimpin terdahulu hendaklah senantiasa dijadikan rujukan dan pedoman, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah (Sinar Harian, 27 November 2015). Baginda bertitah bangsa yang berjaya membina tamadun agung harus memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh silam perintis perjuangan pembinaan negara bangsa.
Sesungguhnya, kita harus berani menempuh saujana lautan ilmu. Pemikiran universal yang terkandung dalam karya silam mengenai kepimpinan dan pengurusan masih banyak dimanfaatkan oleh masyarakat semasa.
Umpamanya, The Art of War oleh Sun Tzu, yang ditulis 2,000 tahun yang silam, masih giat dipelajari dalam sukatan mata-pelajaran tentera di negara-negara Asia Timur, seperti Jepun, China, dan Vietnam; di Barat, seperti di Amerika; dan di KGB, Rusia.
Begitu juga karya politik The Prince oleh Niccolò Macchiavelli yang ditulis lebih 500 tahun yang silam, dan buku taktikal The Book of Five Rings oleh Miyamoto Musashi yang dikarang hampir 400 tahun yang sudah, kedua-duanya masih ditekuni hinggalah ke hari ini.
Justeru kita harus menggali karya-karya model kegemilangan Islam mengenai kepimpinan, pentadbiran, dan pengurusan. Contohnya adalah Qabusnamah yang dikarang sendiri oleh oleh Kai Ka’us ibn Iskandar, Raja dinasti Ziyariyyah, atau Qutadhgu Bilig oleh Yusuf Khass Hajib yang merupakan Pujangga Istana empayar Uthmaniah dan Datuk Pengelola Bijaya Rahsia Di-Rajanya.
Begitu pula buku al-Fakhri fi al-Adab al-Sultaniyyah wa al-Duwal al-Islamiyyah oleh Ibn al-Tiqtaqa, sejarahwan Iraq dan Marshall atau Perwira Besar masyarakat berketurunan Saidina Ali di Iraq; Nasihatu s-Selatin oleh Mustafa ‘Ali, Ketua Pegawai Kewangan empayar Uthmaniah; Maw‘izah-yi Jahangiri oleh Muhammad Baqir Najm-i Thani, panglima tentera dan gabenor wilayah empayar Mughal; Thamarat al-Mahammah oleh Raja Ali Haji, sejarahwan serta pujangga Melayu; dan, Tajus-Salatin oleh Bukhari al-Jauhari, tokoh Pujangga di Istana Sultan Alauddin Riayat Syah.
Satu lagi karya hebat adalah Siyar al-Muluk atau Siyasat-namah oleh Nizam al-Mulk, yang merupakan Perdana Menteri merangkap panglima besar angkatan tentera kerajaan Saljuq.
Buku tersebut sangat menarik perhatian dunia hingga telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Perancis, Rusia, Turki, dan Jerman.
Karya asal ditulis pada tahun 1091-1092 sebagai rujukan untuk pemimpin, pentadbir dan pengurus. Selaku Perdana Menteri, pengarangnya Nizam al-Mulk amatlah berwawasan luas dalam penyegaran siasah, budaya dan pemikiran Sunni di wilayah tengah dan timur dunia Islam ketika itu.
Sepanjang lebih tiga puluh tahun pemerintahannya, kejayaan baginda sangat terserlah, termasuk dalam lima bidang yang berikut.
Pertama, penubuhan yayasan waqaf, universiti, kolej dan asrama siswa, yang tidak terhitung jumlahnya. Di sana dilatih secara sistematis para pegawai kerajaan, yang bakal diamanahkan untuk menjayakan kerajaan, dengan hala-tuju yang jelas untuk menghembuskan jiwa segar siasah dan pemikiran Sunni amnya—Asha’irah dan Shafi‘iyyah khasnya. Baginda menaungi ilmu dan persuratan, ilmuwan dan sasterawan.
Kedua, penghapusan cukai yang tidak selaras dengan kemaslahatan rakyat. Ketiga, pelaksanaan kerja raya (public works) semata-mata demi kepentingan masyarakat. Keempat, kesungguhan dalam memastikan keamanan dan keselamatan warga daripada para penjenayah, perompak dan penyamun.
Kelima, ketulusan dalam mengurangkan kos perbelanjaan masyarakat. Sedekad setelah inisiatif-inisiatif baginda dilaksanakan, sejarah merakamkan “keamanan yang luar biasa dan kos sara hidup yang sangat rendah”.
Kitab lain Nasihat al-Muluk pula mengungkapkan pemikiran mengenai kepimpinan oleh Hujjatul Islam al-Ghazali (m. 505/1111). Karya tersebut sangat berpengaruh di negara-negara berbahasa Farsi, di samping terjemahannya banyak dimanfaatkan di negara berbahasa Arab dan Turki, hinggalah ke Alam Melayu, iaitu di Acheh seawal tahun 1604. Karya al-Ghazali ini masih menarik para penterjemah untuk memindahkannya ke bahasa Inggeris dan Rusia.
Diceritakan dalam tiga tahun terakhir kehidupan Imam al-Ghazali, beliau mengarang karya tersebut buat Sultan Muhammad ibn Malik-shah, yang bergelar “Penguasa Timur dan Barat”, sebagai pemerintah selama lebih sedekad luasan negara Iraq dan negara Farsi.
Karya berjudul Nasihat al-Muluk itu merupakan bahagian-bahagian yang terpilih, khasnya dari satu bab karya lain beliau Kimiya-yi-Sa‘adat, iaitu bab ‘mengenai Kepimpinan dan Pengurusan’, yang dipersesuaikan untuk kegunaan Sultan.
Menurut rekod, Muhammad ibn Malik-shah adalah seorang Sultan yang amat agung, yang diakui oleh sejarahwan ‘Imad al-Din al-Isfahani sebagai “lelaki sempurna bangsa Saljuq, dan kuda jantannya yang hebat lagi perkasa, yang gagah lagi berani.”
Ini kerana baginda yang menjadi sultan pada umurnya lebih sedikit daripada 20 tahun, telah berjaya mengangkat martabat Ahli Sunnah, bertindak membendung puak sesat Batiniyyah, dan memperkukuh kuasa politik kerajaannya, sebelum mangkat dalam usia 36 tahun, iaitu pada tahun 511/1118.