Slogan syarikat Apple Inc. “The only thing that’s changed is everything” semasa pelancaran telefon pintar iPhone 6S dan iPhone 6S Plus baru-baru ini, perlu direnungi sedalam-dalamnya. Bukan kerana teknologi dan inovasi yang dibawa oleh telefon pintar ini, tetapi fenomena kegilaan dunia terhadap peranti pintar. Apa yang berlaku ialah pembeli sanggup beratur panjang dan ‘berkhemah’ beberapa hari di jalanan luar gedung jualan Apple sebelum hari peranti pintar tersebut tiba di gedung jualan. Kegilaan terhadap telefon pintar bukan sahaja terhenti di situ, tetapi peranti pintar kini sukar untuk dipisahkan dari kehidupan seharian. Lebih teruk lagi, peranti pintar mampu menghilangkan kewarasan penggunanya sehingga aspek keselamatan tergadai dan nilai manusiawi menjadi pertaruhan.
Rekod menunjukkan dalam tempoh 3 hari pertama, Apple Inc. berjaya menjual 13 juta iPhone 6S dan 6S Plus seluruh dunia. Bukan itu sahaja, syarikat lain seperti Samsung, Huawei, Xiaomi, Lenovo dan lain-lain juga berlumba-lumba memperkenalkan peranti mereka bagi merebut potongan kek ekonomi yang menggalakkan ini. Persaingan peranti (hardware) juga seiring dengan pembangunan perisian (software). Tinjauan statistik dan pemerhatian beberapa syarikat dan perantara sistem operasi mendapati berjuta-juta perisian dan aplikasi dibangunkan kepada pengguna peranti pintar yang meliputi telefon pintar, tablet dan komputer seluruh dunia dalam pelbagai bahasa dan kategori kegunaan. Google Play mendahului dengan 1.6 juta aplikasi, diikuti oleh Apple App Store sebanyak 1.5 juta aplikasi, Amazon Appstore; 400,000 aplikasi, Windows Phone Store; 340,000 dan BlackBerry World; 130,000 aplikasi. Kita bukan bercakap tentang betapa banyaknya tetapi jika kita ibaratkan sekali kita menjala di lautan maya, kita akan berjaya memukatkan beribu-ribu jenis dan spesis aplikasi yang boleh membuatkan kita keletihan mengkaji fungsi dan bahayanya.
Lazimnya, aplikasi yang menjuarai carta dan mempunyai banyak pemuatturun dan pengguna, lebih cepat menular kerana pelawaan memuat turun akan diperpanjangkan oleh sesama rakan pengguna. Aplikasi seperti Whatsapp, Facebook, WeChat, Twitter dalam kategori media sosial bukan saja menjuarai carta ini, malah mampu mengubah cara pengguna peranti berurusan dalam kehidupan seharian. Peranti pintar kini menjadi sebahagian dari gaya hidup baru malah sesetengahnya menganggap mereka tidak dapat hidup tanpa peranti pintar mereka.
Lihatlah betapa besarnya pengaruh peranti pintar. Fenomena ini bukan sekadar mengubah tabiat dan tingkahlaku malah memberi ancaman kesihatan dan keselamatan. Beberapa jenis penyakit dilaporkan berpunca dari perhubungan intim antara pengguna dan peranti pintarnya. Penyakit terbaru yang diberi nama nomophobia (no-mobile-phobia: kegelisahan ketika terpisah dari peranti pintar) merupakan penyakit yang sedang menular dengan rancaknya di kalangan pengguna di pelbagai peringkat umur. Maknanya, jika anda menoleh ke kiri atau kanan anda, kemungkinan besar, orang yang berada di sekeliling anda sama ada di rumah, pejabat atau kalangan masyarakat setempat juga mengalami simptom penyakit ini.
Pengguna tegar peranti pintar juga dilaporkan mengalami beberapa masalah kesihatan seperti ‘text claw’ (kekejangan cengkaman jari) , ‘iPosture’ atau ‘text neck’ (kakuan kedudukan badan) dan screen sightedness (rabun/silau skrin). Sejak tahun 1996, para saintis memantau kadar radiasi dalam pembuatan telefon bimbit. Radiasi berlebihan mampu memudaratkan kemampuan kognitif atau gangguan-gangguan kesihatan lain seperti halangan darah ke saraf otak, kemungkinan kanser, masalah kesuburan sperma, hipertensi elektromagnetik dan kejanggalan tingkahlaku. Namun, kerisauan ini kini perlahan-lahan terhakis oleh badai keseronokan dan keasyikan yang dinikmati dari peranti pintar. Secara langsung atau tidak, peranti pintar telah membawa kepada masalah psikologi pula. Sindrom-sindrom seperti ‘fomo’ (tabiat rasa tertinggal jika tidak melihat kemaskini di peranti), ‘phone phubbing’ (keasyikan peranti ketika berkomunikasi dengan orang lain), ‘selfie’ (mengambil gambar diri sendiri) dan ‘texting’ (menaip teks di peranti pintar). Dua sindrom psikologi terakhir ini nampaknya seperti tidak keterlaluan tetapi ternyata ‘selfie’ dan ‘texting’ berlebihan telah menjadi punca kemalangan kepada pengguna peranti pintar. Pertimbangan dan kewarasan pengguna peranti lenyap sementara dek kerana tenggelam tumpuan mereka terhadap peranti pintar.
Budaya selfieekstrim makin membimbangkan. Menurut laporan, terdapat peningkatan berganda jumlah kematian disebabkan oleh selfie ekstrim pada tahun 2014 (seramai 12 orang) dan 2015 (26 orang setakat September) di seluruh dunia. Keseronokan ‘riak’ (menunjuk-nunjuk kehebatan) dengan mengambil gambar diri sendiri di tempat-tempat berisiko atau ketika melakukan aktiviti berbahaya menggunakan peranti pintar telah meragut nyawa pengguna sendiri. Kejadian terbaru berlaku di Rusia apabila seorang remaja berumur 17 tahun terbunuh ketika mengambil gambar selfie di atas bumbung bangunan 9 tingkat untuk dipaparkan di aplikasi Instagram. Sukar untuk kita bayangkan kematian tragis peranti pintar kerana hilangnya kewarasan penggunanya. Gambar mereka berselfie menjadi gambar terakhir sebelum tertembak pistol sendiri, terjatuh dari celah tebing tinggi, bangunan dan jambatan 28 kaki, terkena renjatan elektrik, dilanggar keretapi dan kemalangan lain. Mengerikan jika dibayangkan. Namun, apa yang boleh dilakukan untuk mengundurkan sedetik masa ketika peranti pintar memancing nyawa mereka. Sepintas pemandu hilang tumpuan dengan ‘texting’ ketika memandu cukup untuk membawa mereka dan orang yang tersayang ke jurang derita.
Rentetan sejarah hidup juga telah berubah. Dosa lampau menggunakan teknologi komunikasi telah berubah dari antara ‘aku, Dia dan internet’ menjadi antara ‘aku, Dia, mereka dan media sosial’. Kalau dulunya fenomena kecelaruan adab dan kerosakan akhlak melibatkan aktiviti melayari laman maya terlarang umpamanya, kini melangkaui ancaman fitnah media siber. Fitnah di sini bukan hanya bermaksud menyampaikan sesuatu tidak benar tentang seseorang, tetapi melibat segala bentuk ujian dari media maya seperti pelanggaran hak dan privasi, pengabaian tanggungjawab, kecuaian, kelekaan terlampau, hilang tumpuan dan berpuluh jenis lagi yang kita sendiri pintar menyebutkannya. Sekali lagi, jika diamati, kita dapat lihat pengguna yang fana dengan peranti pintarnya mengabaikan kerja tugas dan tanggungjawab di rumah, pejabat dan masyarakat. Nilai-nilai akhlaki seperti amanah, menjaga maruah, hormat-menghormati, bertanggungjawab, menyeru kepada makruf dan mencegah munkar makin kikis kontang dari manusiawi.
Jodoh peranti pintar dengan pengguna yang kurang pintar agaknya akan serasi dan berpanjangan. Pepatah menyatakan; “orang bodoh akan menjadi makanan orang yang cerdik”. Selagi pengguna tidak membijakkan diri menggunakan peranti pintar, selagi itulah pengguna akan menjadi hamba dan teraniaya oleh kepintaran abdinya sendiri. Di sebalik tabir pengaturcaraan dan perisian aplikasi software yang mencandui pengguna, terdapat beberapa prinsip yang menjayakan pancingan terhadap hormon dopamine (ketagihan). Dengan gabungan prinsip utama pembangunan aplikasi iaitu mudah (easy to use) dan berguna (usefulness), aplikasi yang dibangunkan memasukkan ciri-ciri ketagihan seperti merasa bangga apabila tercapai dan rasa ingin meningkatkan tahap (level) seterusnya. Ketagihan juga boleh disebabkan oleh keseronokan yang timbul dari tindakbalas aplikasi/peranti secara maya atau tindakbalas pengguna lain di laman maya. Kebanyakan aplikasi media sosial dan permainan mempunyai ciri khusus ini. Ada sesetengah permainan mempertaruhkan habuan melihat gambar/video lucah apabila mencapai tahap-tahap tertentu. Anasir ini sangat berbahaya terutama terhadap pelajar sekolah dan remaja yang mendapat kemudahan peranti pintar dari ibubapa yang kurang memantau. Inilah ciri-ciri perisian dan pengaturcaraan yang hebat sehingga mampu mencorakkan bukan sekadar aplikasi tersebut tetapi pengguna yang berinteraksi dengannya. Perisian dan bahasa pengaturcaraan Al-Quran terus terbiar tidak diletakkan di platform operasi yang sebenar.
Sekali lagi pandangan hidup yang betul dan prinsip manusiawi tidak boleh diabaikan walaupun pintar mana peranti yang kita gunakan. Punca kegilaan ini adalah kerana pandangan hidup kita telah tercemar. Dengan semangat mengajak pengguna sekurang-kurangnya balik kepada naluri fikir yang asas iaitu ‘common sense’ (yakni berhenti memperbodohkan akal yang Allah berikan dengan tidak menggunakannya langsung) sehinggalah kepada menerapkan nilai-nilai Islami yang luhur seperti menggunakan peranti pintar untuk tujuan asal manusia iaitu ta’abbud, jihad diri, istiqamah di jalan Allah dan memanfaatkan peranti pintar untuk ummah.
Peranan kita sebagai manusia tetap sama seperti sebelum peranti pintar lahir ke dunia ini. Saat peranti pintar mencapai mumayyiz dan baligh sehingga perkembangan peranti pintar kini menjadi matang, peranan kita tetap sama. Bagi mengukuhkan peranan sebagai khalifah, manusia perlukan kewarasan yang tinggi selari dengan tuntutan wahyu. Imam Ghazali pernah menukilkan bahawa akal adalah wahyu dari dalam, manakala wahyu adalah akal dari luar. Jangan putuskan hubungan kita dengan wahyu dengan menghilangkan kewarasan akal. Jangan biarkan slogan “The only thing that’s changed is everything” mengubah sistem aqidah, prinsip muamalah dan nilai akhlaki manusia. InsyaAllah, belum ada qariah masjid mana-manapun di Malaysia atau di seluruh dunia mengkebumikan mayat orang Islam dengan peranti pintarnya. Oleh itu, selain dari menggunakan peranti pintar dengan waras dan pintar, bersedialah berpisah dengan peranti pintar anda sebelum peranti pintar anda dipisahkan dari anda. Berbekallah, sebaik-baik bekalan adalah taqwa.