ISLAM diutus Allah SWT untuk menyusun kehidupan manusia pada peringkat individu dan masyarakat bagi mencapai kemakmuran dan kecemerlangan hidup di dunia dan seterusnya di akhirat. Tumpuan kepada usaha mendidik individu dan menyusun masyarakat pada peringkat awal bertujuan melahirkan insan berguna dan mengatur sistem hidup masyarakat supaya dapat berfungsi dengan baik dan sekali gus mengurangkan segala bentuk permasalahan.
Pendekatan Islam bukan hanya dengan mencari penyelesaian kepada akibat daripada suatu permasalahan yang dihadapi manusia tetapi Allah dari awal lagi mengarahkan manusia supaya dididik dan disusun untuk kecemerlangan dengan berasaskan prinsip yang menepati fitrah kemanusiaan. Proses penyusunan yang baik mengikut Islam memerlukan suatu sistem pengurusan diri, keluarga, organisasi dan negara yang mantap demi membawa kepada wujudnya sebuah tamadun yang mulia dan progresif.
Pada peringkat pengurusan organisasi, Islam menganjurkan kepada satu metodologi pendekatan yang sesuai dan praktikal. Islam tidak mengesyorkan supaya bentuk, mekanisme dan kegiatan pengurusan organisasi yang sedang beroperasi secara cemerlang yang diamalkan oleh masyarakat bukan Islam dihapuskan, melainkan kegiatan itu jelas bertentangan dengan falsafah Islam.
Islam hanya mengutarakan garis panduan dan mengambil kira suasana dan budaya persekitaran. Justeru, proses perubahan ke arah mencapai kejayaan hendaklah melalui penerapan nilai tauhid kepada falsafah dan roh sistem yang sedia ada yang bukti berfungsi.
Dalam proses pengurusan, individu pekerja yang menganggotai sesebuah organisasi hendaklah diberi keutamaan. Manusia pada fitrahnya memiliki sifat makhluk individu dan makhluk sosial. Untuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam semua usaha, memahami hakikat ini adalah sangat perlu.
Sifat makhluk individu menonjolkan bahawa setiap individu berkeinginan untuk menjaga kepentingan dan kecapaian diri. Di samping itu, sebagai makhluk sosial pada lumrahnya manusia saling memerlukan antara satu sama lain dalam mengatur tugas dalam organisasi. Pendekatan Islam mengemukakan usaha dan tindakan yang mengharmonikan kepentingan individu dan bermuafakat melaksanakan tugas dalam organisasi demi mencapai matlamat organisasi.
Untuk menjayakan keharmonian ini dipertingkat individu, Islam mengutamakan kepada pembentukan pandangan hidup dan menghayati pendidikan akhlak semoga sahsiah individu dapat dibentuk dengan memiliki sikap yang positif serta progresif dan mengamalkan perilaku mulia. Usaha ini perlu kepada pendidikan yang dapat meningkat kefahaman dan berusaha menjalani latihan kerohanian supaya tindak-tanduk yang negatif dapat dikurangkan.
Akhlak dan perilaku individu sepatutnya mengarah kepada tanggungjawab dan prestasi kerja. Memahami suasana semasa juga menjadi keperluan penting. Justeru, menguasai ilmu sosiologi, ekonomi, politik, kebudayaan dan sebagainya adalah penting.
Di samping itu, Islam turut memberi penumpuan kepada peningkatan daya kemahiran dan kepakaran individu pekerja dalam sesebuah organisasi. Organisasi dengan itu mesti menganggap pekerja sebagai sumber yang terpenting dan sanggup melabur kepada peningkatan kepakaran mereka. Individu yang hendak dibangunkan mesti memiliki ciri-ciri ini, iaitu sikap yang positif dan progresif, akhlak yang murni, memahami realiti dan budaya masyarakat, dan daya kepakaran yang tinggi di peringkat tahap pekerjaan masing-masing. Tanpa ciri-ciri ini, kejayaan sesebuah organisasi akan berada pada tahap yang rendah. Bahkan dengan hanya memiliki salah satu daripada ciri-ciri itu tidak mungkin membawa kepada kejayaan yang membanggakan.
Sifat mementing diri ialah daya penggerak yang akan dapat memberi sumbangan positif kepada kemajuan sesebuah organisasi jika sifat itu dapat dididik dan diletakkan pada tempatnya. Tanpa sifat ini, tidak mungkin manusia akan berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan diri. Bahkan sifat itu pada fitrah ada dalam diri manusia. Justeru, bagi Islam daya usaha dan kreativiti seseorang individu memberikan ruang yang secukupnya kepada kebebasan usaha mereka.
Islam hanya memberi panduan melalui tanggungjawab keagamaan yang perlu dilaksanakan demi pencapaian matlamat organisasi. Di samping itu, Islam memberi penekanan kepada pendidikan dan latihan spiritual semoga sifat mementing diri dapat diletakkan di tempat yang sebenar. Dengan pendekatan ini, Islam berkeyakinan bahawa sikap serta perilaku individu akan berbentuk positif dan optimis.
Hasil keyakinan kepada fungsi individu dalam sistem penyusunan organisasi Islam yang memberi keutamaan kepada pembangunan sumber manusia secara menyeluruh akan dapat mempertingkatkan daya kemahiran dan kepakaran dengan disertai nilai akhlak yang mulai. Dalam sistem penyusunan organisasi, ruang untuk individu berusaha serta membuat keputusan perlulah diluaskan. Struktur membuat keputusan organisasi, dengan itu akan diagihkan ke bahagian dan unit tertentu mengikut keperluan dan bidang tugas yang relevan.
Semangat tolong-menolong dan budaya bekerja secara berpasukan perlu diwujudkan dalam sesebuah organisasi. Semangat kerja berpasukan dengan sekali gus dapat memupuk pengamalan syura dan perbincangan dalam menangani sesuatu tugas dan di samping itu dapat mengurangkan kerenah pekerja dalam menjalani tugas organisasi. Kecemerlangan dalam menghasilkan produktiviti dan kualiti tugas ialah natijah daripada memiliki pandangan hidup itu yang dapat diterjemahkan dalam prinsip pengurusan dan penyusunan organisasi.
Hasil daripada menerajui pengurusan mengikut perspektif itu, semangat keadilan akan dapat diterapkan dalam pengurusan organisasi. Pelaksanaan roh keadilan dalam pengurusan akan memperkukuhkan suasana dan budaya muafakat dalam segala bentuk urusan tugas dan tanggungjawab. Bahkan kemuncak kepada wujudkan prinsip keadilan bagi sesebuah organisasi akan menghasilkan kejayaan yang cemerlang dalam bentuk produktiviti dan kualiti kerja pekerja.