TUA adalah ‘penyakit’ yang tidak dapat dielakkan oleh sesiapa pun. Ia mungkin dapat dilambatkan, misalnya dengan menggunakan ubatan tertentu agar wajah dan tubuh kekal cantik dan sihat. Malahan, kita digalakkan berdoa kepada Ilahi agar dipanjangkan usia.
Apa pun, usia tua pasti datang. Dalam proses penuaan yang semula jadi ini, sedikit demi sedikit wajah dan tubuh badan menunjukkan tanda penuaan itu. Kedut pada tepi mata, kulit yang menggeleber, sendi yang sakit-sakit, badan berasa lenguh dan nafas yang mudah semput adalah antara tanda penuaan. Pada masa sama, cara berfikir seseorang juga boleh dan akan berubah dalam meniti usia yang semakin meningkat.
Apa pun, manusia secara semula jadinya tidak begitu risau dengan perubahan corak berfikir apabila usia meningkat. Apa yang selalunya paling ditakutkan oleh manusia adalah perubahan fizikal yang berlaku apabila semakin tua. Pada masa sama, keberkesanan organ dalaman badan untuk berfungsi dengan penuh berkesan juga akan menurun dengan peningkatan usia.
Oleh itu, kita dapat lihat bagaimana manusia cuba mengekalkan ciri usia mudanya. Misalnya, nenek-moyang kita menggalakkan pemakanan ulam-ulaman agar nampak awet muda.
Pada zaman ini pula penggunaan ubat-ubatan dan alat kosmetik untuk kembali kelihatan muda banyak digunakan. Lebih canggih lagi apabila ada yang sanggup melalui kesakitan semata-mata ingin kelihatan muda.
Penjelasan di atas menyebabkan penulis tertanya-tanya ‘adakah menjadi tua itu begitu buruk sekali?’ Atau adakah ia hanya ilusi semata-mata? Jika benar menjadi tua itu begitu menyusahkan dan menyedihkan, kenapakah pula sebahagian besar daripada pemimpin negara, malahan pemimpin dunia sekalipun adalah golongan tua belaka.
Mereka walaupun tua, masih gagah malah berjaya membawa negara ke mercu kejayaan. Jadi, adakah benar menjadi tua itu begitu membebankan dan tidak akan membawa apa-apa kebaikan atau faedah kepada diri sendiri atau masyarakat di sekeliling kita?
Di Malaysia, orang tua mempunyai gelaran lain seperti warga emas, golongan veteran atau ‘senior’. Takrifan warga emas adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas. Pada usia ini, orang selalu beranggapan bahawa mereka sepatutnya berehat saja dan tidak perlu menyumbang ke arah pembangunan diri dan masyarakat sekeliling.
Ini adalah anggapan yang salah. Walaupun tua, mereka sepatutnya bergiat aktif dalam pelbagai aktiviti agar dapat menabur bakti ke arah pembangunan negara dan bangsa.
Pada 6 Oktober setiap tahun, sambutan Hari Warga Tua peringkat kebangsaan diadakan. Ia adalah pengiktirafan kepada golongan itu agar mereka tidak lagi dilihat sebagai satu golongan yang membawa beban. Tanggapan sebegini haruslah dikikis, malahan golongan muda harus menghargai jasa mereka selama ini.
Islam sendiri mewajibkan agar golongan muda menghormati dan menghargai segala jasa baik golongan tua. Kita perlu sentiasa beringat bahawa kita juga akan menjadi tua dan pada ketika itu, kita juga mahu agar orang lain menghormati dan menyayangi diri kita.
Apakah sumbangan yang boleh diberikan oleh warga emas ini? Sebenarnya banyak perkara boleh dilakukan oleh mereka ke arah pembangunan bangsa, agama dan negara. Golongan ini boleh terus membabitkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dengan menyumbang idea bernas berdasarkan pengalaman mereka.
Samuel Ullman memberikan satu pesan bestari “Nobody grows old merely by living a number of years. We grow old by deserting our ideals. Years may wrinkle the skin, but to give up enthusiasm wrinkles the soul”. Apa yang dapat difahami dari kata-kata ini adalah bahawa jumlah angka pada usia kita tidak penting. Apa yang penting adalah semangat untuk hidup dan memberikan sumbangan berguna kepada manusia di sekeliling kita.
Bagi generasi muda, mereka masih bergantung harap kepada golongan tua dalam memberikan nasihat dan tunjuk ajar dalam mengharungi liku kehidupan yang penuh mencabar ini. Tanpa tunjuk ajar dan nasihat dari mereka, generasi muda akan mudah goyah dan diperalatkan oleh anasir luar yang mempunyai niat jahat. Jika ini berlaku, keharmonian sebuah negara boleh tergugat.
Oleh itu, golongan tua hendaklah terus membimbing golongan muda berdasarkan pengalaman mereka agar hala tuju hidup golongan muda ini terjamin dan lebih bermakna.
Warga tua sebenarnya boleh menyumbang tenaga dengan melakukan kerja yang bersesuaian dengan kemampuan mereka. Contohnya, seorang bekas guru boleh mengajar kelas tambahan kepada pelajar di kawasan kejirannannya atau seorang profesor boleh menulis artikel ilmiah bersesuaian dengan bidangnya. Ini agar tulisan beliau dapat dijadikan bahan rujukan oleh masyarakat umum. Bukan itu saja, bekas guru agama boleh juga mengajar bacaan al-Quran kepada anak-anak di sekitar rumahnya. Bagi yang mempunyai kemahiran, misalnya, mahir bertukang, melukis atau menjahit, boleh menggunakan kemahiran itu untuk menambah sumber rezeki.
Contoh di atas hanya beberapa saranan yang boleh dijadikan panduan bagi warga emas untuk terus memberikan sumbangan kepada negara, bangsa dan agama. Penulis yakin golongan ini lebih bijaksana dalam menentukan apa yang ingin mereka sumbangkan kepada masyarakat sekeliling dalam menelusuri hari tua mereka.
Sumbangan yang diberikan itu, walaupun kelihatan kecil, namun golongan ini tidak perlulah berasa rendah diri atau merasakan usahanya sia-sia kerana semua yang besar dan hebat itu bermula dari yang kecil. Sikit-sikit lama-lama menjadi bukit, insya-Allah, sumbangan yang diberikan itu akan mempunyai impak yang besar pada hari kemudian.
Begitu pun, mungkin sesetengah warga tua berpendapat bahawa masa tua adalah waktu untuk berehat setelah sekian lama bekerja atau membesarkan anak-anak. Namun begitu pendapat sebegini tidak tepat kerana ia akan hanya mensia-siakan kebolehan dan ilmu yang mereka ada. Sedangkan ilmu di dada mereka itu amat berguna dan diperlukan dalam membantu membangunkan negara. Lagipun, ramai yang berpendapat bahawa jika golongan warga emas ini hanya mahu berehat, mereka akan lebih mudah ‘sakit’.
Untuk menjamin sumbangan yang lebih berkesan, kesihatan warga tua ini perlulah diberikan perhatian. Di samping itu, penjagaan makanan dan pengambilan makanan tambahan digalakkan.
Nabi Muhammad sendiri amat prihatin dengan apa yang Baginda makan kerana sesuatu yang dimakan itu akan menjadi darah daging dan seterusnya mempengaruhi tingkah laku dan pemikiran seseorang. Pada masa yang sama, warga emas ini perlu sentiasa bersikap terbuka, senang didekati dan bersedia bertukar-tukar idea dengan golongan muda agar percambahan ilmu antara mereka dan golongan muda dapat berjalan dengan lancar dan berkesan.
Kesimpulannya, proses penuaan adalah perkara semula jadi. Tidak ada sesiapa pun yang dapat lari daripada proses ini. Jadi, elakkan diri daripada sedih atau sensitif jika orang lain mengatakan yang anda kelihatan tua kerana semua orang akan melalui proses penuaan itu.
Usia walaupun meningkat, namun sebenarnya kita masih mam-pu memberikan sumbangan berguna kepada bangsa, agama dan negara. Oleh itu, hadapilah usia emas anda dengan penuh gemilang.