KUALA LUMPUR 31 Okt. – Pengaruh cara hidup ahli kumpulan bermotosikal dari Amerika Syarikat (AS) yang dikenali sebagai Hell-Angel di kalangan mat rempit amat membimbangkan masyarakat terutamanya polis kerana dilihat mampu memesongkan akidah dan meruntuhkan akhlak rakyat di negara ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu, pegangan hidup kumpulan tersebut yang mementingkan kebebasan serta bergelumang dengan jenayah dikhuatiri akan meruntuhkan akhlak rakyat terutamanya remaja di negara ini kerana ia mula menjadi ikutan mat rempit.
‘‘Mat rempit di negara ini mula terikut-ikut cara hidup kumpulan tersebut dan sedang menyebarkannya di kalangan ahli kumpulan yang lain.
‘‘Penularan ini amat membimbangkan kerana kumpulan Hell-Angel banyak terlibat dengan jenayah, penyalahgunaan dadah seperti ganja, syabu dan heroin serta menjalinkan hubungan seks bebas.
‘‘Jika mereka berpaksikan kepada kumpulan itu maka gejala sosial dan jenayah di kalangan remaja di negara ini akan menjadi semakin teruk,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Gejala Sosial: Hakikat Masa Kini pada Konvensyen Pendekatan Islam Hadhari Peringkat Kebangsaan di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.
Menurut Musa, sehubungan dengan itu beliau menggesa orang ramai terutama ibu bapa supaya memandang berat perkara ini dan memantau kegiatan anak mereka supaya budaya kuning yang dibawa oleh mat rempit ini tidak menjadi ikutan anak mereka.
Selain itu, Musa ketika membentangkan kertas kerjanya berkata, ketidakstabilan ekonomi di kalangan rakyat Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini dikesan antara pendorong utama kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini.
Beliau memberitahu, daripada penilaian terhadap jenayah yang berlaku di negara ini setiap hari mendapati tahap ekonomi yang tidak stabil mendorong seseorang untuk melakukan jenayah.
‘‘Kebanyakan mereka yang terlibat dalam kegiatan jenayah di negara ini terdesak melakukannya kerana mempunyai masalah ekonomi.
‘‘Bila terdesak, mereka akan terdorong untuk melakukan jenayah bagi memastikan dapat meneruskan hidup di negara ini terutamanya bagi mereka yang tinggal di kota-kota besar,” katanya
Musa berkata, penghijrahan masyarakat luar bandar ke bandar bagi mencari pekerjaan juga dilihat sebagai salah satu punca mendorong kepada peningkatan kadar jenayah.
‘‘Mereka datang ke sini untuk mencari pekerjaan tetapi bila tak dapat kerja mereka menganggur dan mula terlibat dengan jenayah seperti merompak kerana desakan hidup,” ujarnya.
Beliau berkata selain penghijrahan penduduk luar bandar, kebanjiran pendatang asing ke sini turut dilihat mendorong kepada peningkatan kadar jenayah di negara ini.
‘‘Rakyat asing yang datang ke sini juga banyak terlibat dengan jenayah rompak, duit palsu dan gaduh sesama sendiri.
‘‘Ini amat membimbangkan kerana ia bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah di negara ini tetapi turut memberi kesan negatif terhadap masyarakat,” katanya.
Tambah Musa, walaupun indeks jenayah semakin meningkat di negara ini tetapi peningkatan itu sejajar dengan pertambahan penduduk di sini.
‘‘Kadar jenayah di negara ini bagi tempoh Januari hingga September lepas meningkat 12.57 peratus iaitu 170, 481 kes berbanding 151, 444 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.
‘‘Curi motosikal sahaja sebanyak 47,163 kes dan ini menunjukkan mereka yang menjalankan kegiatan ini amat terdesak untuk mendapatkan wang,” ujarnya.
Sumber Utusan Malaysia 1/11/06