Segelintir masyarakat kita akan bersikap skeptikal pada sebarang isu jika dibincangkan dari sudut hukum-hakam. Termasuklah dalam isu nikah Mut’ah. Serta menganggap orang-orang yang berlatarbelakangkan agama lebih memilih untuk bersikap ofensif atau suka menghukum. Tidak ada empati dan miskin dengan sifat ihsan dalam menangani sebarang permasalahan masyarakat yang berlaku. Hanya mereka yang benar-benar takutkan Allah. Takut pada azab Allah yang maha pedih–kerana sesungguhnya janji Allah itu benar–yang akan menyambut perbincangan dari sudut hukum-hakam.
Dalam isu nikah Mut’ah, soal dosa ataupun pahala akan diketepikan apabila keseronokan menjadi matlamat utama. Malah bagi individu yang tidak mahu melepaskan ruang yang berada di hadapannya, akan mencari dan mencipta pelbagai alasan untuk melaksanakan nikah Mut’ah tanpa rasa bersalah dan berdosa. Di kesempatan pada kali ini, saya ingin mengajak pembaca untuk berfikir bersama-sama sekiranya amalan nikah Mut’ah diamalkan secara berleluasa.
Sebagai seorang wanita Islam sekali gus seorang ibu, juga ibu saudara malah seorang nenek saudara yang memiliki anak perempuan, anak saudara perempuan, cucu-cucu saudara perempuan, saya melihat nikah Mut’ah ini sebenarnya mempunyai daya untuk merosakkan bangsa dan negara keseluruhannya.
Bangsa Islam Melayu di Nusantara, ialah bangsa yang mempunyai budaya turun-menurun yang amat istimewa dan tersendiri. Terutamanya dalam kita melindungi dan menjaga anak-anak perempuan dan wanita Melayu, yang tentunya dalam kemelayuan itu agamanya Islam.
Sama ada kita beradat Temenggung atau Perpatih yang kemudiannya diasimilasikan dengan agama Islam sejurus kedatangan Islam, kita begitu utuh menjaga anak-anak perempuan kita. Kalau tidak ada perasaan “malu” di kalangan mana-mana perempuan Melayu, maka keluarga dan masyarakat akan mengajar supaya perasaan itu dimiliki. Ia perlu untuk menjadi pelindung dan menyelamatkan maruah wanita. Tetapi ajaran Syiah, melalui nikah Mut’ah begitu mudah menghancurkan nilai jati diri yang turun-temurun diwarisi. Perasaan malu menjadi pelindung diri dan rantaiannya menjadi pelindung keharmonian keluarga, serta ketenangan dan keamanan hidup bermasyarakat. Tidak adanya sifat malu, menjadi antara faktor gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat. Sedangkan sifat malu itu sebahagian daripada iman yang memberi maksud takut pada Allah SWT.
Hancur hati keibuan saya apabila mengetahui sebahagian amalan nikah mut’ah di Iran digunakan untuk menambah pendapatan keluarga. Mana-mana anak gadis sunti dalam keluarga mereka, kalau sudah boleh melayan nafsu serakah lelaki yang sempit otaknya, maka akan ditawarkan dalam “pasaran” nikah Mut’ah. Ibu bapa dan keluarga apakah mereka yang menggelapkan masa hadapan anak sendiri? Jika ini situasinya, adakah nikah Mut’ah masih bersifat lebih mulia berbanding dengan aktiviti pelacuran jika kita melihat hampir tiada perbezaan antara kedua-duanya?
Oleh sebab dalam nikah Mut’ah tiada rukun yang mengatakan bahawa wanita yang dinikahi itu mesti dari kalangan beragama Islam, maka wanita-wanita dari kalangan bukan Islam juga boleh mengambil bahagian dalam nikah Mut’ah.
Jika inilah sikap ajaran Syiah, maka agama Islam melalui nikah Mut’ah telah menempah untuk dihina oleh agama-agama lain di dunia ini. Sikap terbuka yang tidak bertempat dan mengajak wanita-wanita bukan Islam untuk sama-sama berseronok atas nama agama sebenarnya suatu penghinaan terhadap agama Islam itu sendiri. Juga meletakkan agama Islam di kedudukan yang amat rendah. Kalau wanita bukan Islam mempunyai pegangan dan prinsip kepatuhan yang tersendiri dalam perkahwinan menurut agama mereka, bagaimana pula agama Islam mempunyai laluan yang amat mudah untuk dicemari. Sedangkan agama Islam memang amat dikenali sebagai agama yang memiliki tatacara hidup yang terperinci, kemas dan memiliki disiplin yang tinggi. Di mana rasa malu dan maruah umat Islam untuk mengajak wanita bukan Islam ke kancah ini? Tentunya hanya wanita-wanita tanpa harga diri dan rasa malu (walau apa pun agama mereka) yang akan mengisi ruang ini.
Selama ini ajaran dari mazhab-mazhab Ahli Sunah Wal Jama’ah sudah menjadi darah daging umat Islam di Malaysia. Antaranya kita difahamkan bahawa pernikahan atau perkahwinan itu adalah perkara yang amat suci. Konsepnya disamakan dengan pembinaan sebuah masjid. Analoginya “masjid” kerana di dalamnya penuh dengan elemen ibadah. Konsep sakinah, mawaddah dan rahmah (tenang, cinta juga harapan dan kasih sayang) dalam rumah tangga Muslim datangnya dari firman-firman Allah. Umpamanya dari Surah ar-Rum, ayat ke-21 yang antaranya bermaksud; “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.
Cinta suci adalah cinta yang di dalamnya terkandung kalimah Allah dan ia bersifat abadi (mu’abbad). Pertalian ini diikat oleh hak dan tanggungjawab yang ada justifikasi ukhrawi. Berlakunya ijab dan kabul yang dimeterai oleh kedua-dua pengantin lahir daripada harapan bahawa perkahwinan yang dibina adalah untuk selama-lamanya. Perceraian atau talak yang berlaku dalam perkahwinan Sunni bukannya harapan pada mana-mana pasangan. Majlis pernikahan perlu diurus oleh wali yang antara peranannya melindungi kebajikan wanita yang berada di bawah bidang kuasanya. Ada saksi yang hadir dalam pernikahan berkenaan supaya terjamin kehormatan hubungan tersebut. Akhirnya, unit keluarga yang baharu terbina itu perlu diuar-uarkan supaya ia mempunyai tempat secara rasmi dalam masyarakat setempat.
Dalam satu “Hadis” ajaran Syiah menyebut; “Seseorang yang terlibat dalam nikah Mut’ah sekali sepanjang hayatnya mencapai status Imam Al-Hussain. (Manakala), seseorang yang terlibat sebanyak dua kali menjadi sama dalam status Imam Al-Hasan. Seterusnya, seseorang yang melakukannya sebanyak tiga kali, akan mencapai kedudukan Imam Ali. Dan barang siapa yang mengamalkannya sebanyak empat kali, akan memperoleh tahap dan kedudukan Nabi Muhammad.”
Persoalannya di sini, di manakah rasionalnya untuk disamakan kedudukan pengamal nikah Mut’ah dengan kedudukan Baginda Nabi Muhammad SAW jika Baginda SAW sendiri memansuhkan pernikahan ini?
Walaupun perkahwinan dan amalan poligami Baginda SAW, menjadi bahan kritikan sesetengah golongan, contohnya golongan Orientalis, tetapi setiap pernikahan Baginda dengan wanita yang dinikahi adalah secara bermaruah.
Sebagai kesimpulan, tidak ada bezanya antara nikah Mut’ah dengan pelacuran. Malah mungkin kedudukannya lebih rendah berbanding dengan pelacuran jika kadar mas kahwin yang dipersetujui oleh pasangan jauh lebih kecil dengan bayaran untuk seorang pelacur. Dalam maqasid al-Shariah yang ada antaranya ialah maruah, bukan nikmat atau keseronokan. Ini kerana syariat Islam adalah bermatlamatkan kemaslahatan umat Islam. Jika keseronokan menjadi tujuan utama, nescaya masyarakat akan menjadi rosak kerana implikasi yang berlaku sama sahaja dengan kesan yang timbul disebabkan aktiviti pelacuran. Apabila masyarakat rosak, maka rosaklah negara. Tentunya setiap dari kita boleh membayangkan situasinya jika negara kita rosak dan hancur.