Hampir dua minggu yang lepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesan terdapatnya warganegara asing yang mengambil kesempatan mengahwini wanita tempatan yang bukan sahaja hendak tinggal lebih lama, tetapi sebenarnya mempunyai tujuan-tujuan tertentu seperti menjalankan perniagaan. Berita seumpama ini sebenarnya pernah didedahkan hampir setahun yang lalu yang menjadikan wanita berusia, kurang berpelajaran dan tidak mempunyai kewangan yang kukuh sebagai calon yang mudah untuk diperisterikan warga asing yang mempunyai agenda tertentu.
Dengan pendedahan pihak JIM yang setakat ini mendapati 400 pasangan warga asing yang muda belia mengahwini wanita tempatan berusia, ia mungkin dilihat sebagai trend. Walau bagaimanapun, apabila pasangan ini tidak tinggal bersama sebagaimana pasangan biasa, atau isteri tidak mendapat nafkah, ataupun berlakunya sebarang perkara yang tidak normal bagi kehidupan berumah tangga, fenomena ini lebih tepat dianggap sebagai gejala sosial yang boleh memberi kesan kepada kesejahteraan hidup.
Walaupun pernikahan antara kedua-dua pasangan itu sempurna dari segi rukun, dan tidak terdapat sebarang perkara yang membolehkan pernikahan itu terbatal, tetapi seolah-olahnya perkahwinan itu tiada nilai jika selepas itu si suami pergi membawa haluan sendiri. Dengan membawa gelaran “suami kepada si polan si polan,” dia bebas bergerak ke mana-mana sahaja di negara ini, atau bebas melakukan sebarang aktiviti demi meraih manfaat atau keuntungan. Jika ini berlaku, “perkahwinan bersebab” sebegini hakikatnya bertentangan dengan falsafah perkahwinan, tidak mengandungi maslahah, malah boleh mengundang mudarat kepada pihak isteri yang diabaikan. Sudahlah isteri-isteri ini dalam kalangan mereka yang berusia, yang sewajarnya mendapat pembelaan dan sokongan, tetapi perkara yang berlaku seperti sudah jatuh ditimpa tangga.
Dalam buku bertajuk Perkahwinan Menurut Islam, Mustafa Haji Daud telah menyenaraikan sekurang-kurangnya terdapat 19 perkara sebagai tujuan atau fungsi sesebuah perkahwinan itu didirikan. Sama ada pasangan suami isteri itu hidup sebumbung; terpisah; hidup sebumbung dengan mertua atau ipar duai; atau terpaksa berhadapan dengan cabaran-cabaran tertentu yang getir dan kritikal, sesebuah perkahwinan itu akan tetap berada dalam lingkungan falsafah perkahwinan dalam Islam. Selanjutnya setiap perkara yang berlaku dalam rumah tangga tersebut tidak dapat tidak, akan melibatkan kedua-dua belah pasangan sama ada secara langsung, ataupun tidak secara langsung.
Sesebuah perkahwinan, bukan sekadar melibatkan persetujuan kedua-dua belah untuk dinikahkan tetapi pernikahan yang disempurnakan kemudiannya melibatkan pelbagai perkara. Melaksanakan tanggungjawab seperti nafkah dan keperluan lain, serta saling menunaikan hak pasangan adalah sebahagian daripada kesan ijab dan kabul. Selain itu, menjaga maruah pasangan, juga melindungi pasangan adalah peranan yang perlu dilaksanakan dalam berumah tangga. Perkara-perkara yang disebutkan ini tentu sekali tidak akan terlaksana jika tujuan perkahwinan hanya menjadi taktik individu tertentu. Seperkara lagi yang mungkin kurang disedari ialah isu-isu yang berkaitan dengan hak-hak pewarisan dan harta pusaka apabila sesebuah perkahwinan didirikan.
Sehubungan dengan perkara ini apabila Pengarah JIM menyebut bahawa fenomena ini sebagai sesuatu yang “agak tidak wajar,” pada hemat penulis, ia adalah rasa tidak senang dengan alasan serta pertimbangan yang munasabah. Wanita dikahwini tetapi kemudiannya dibiarkan tanpa nafkah, perhatian, juga pembelaan tentunya tidak akan merasai kebahagiaan, sedangkan manusia berkahwin untuk menikmati kasih sayang yang memberi kebahagiaan. Daripadanya akan menerbitkan kesejahteraan dan kedamaian jiwa.
Penulis amat bersetuju jika dasar tertentu cuba diwujudkan dan dilaksanakan bagi membendung gejala yang tidak sihat sebegini. Apatah lagi warga asing tidak diwajibkan untuk mengikuti kursus perkahwinan. Seolah-olahnya warga asing yang ingin menikahi orang tempatan sudah lebih alim berbanding orang tempatan sendiri. Sebagaimana yang penulis sebutkan sebelum ini, walaupun kita tidak meragui kesahan satu-satu ijab kabul yang dilaksanakan, tetapi jika perkara tersebut lebih tepat sebagai eksploitasi, ia perlulah dibanteras. Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa tindakan pemerintah dalam membendung gejala sosial seperti ini adalah sebahagian daripada siasah syar’iyyah. Sifat siasah syar’iyyah adalah memelihara agama dan menjaga kebajikan rakyat secara menyeluruh. Kesejahteraan rakyat harus diambil perhatian supaya kehidupan rakyat di setiap lapisan akan sentiasa aman dan harmoni dan selari dengan fitrah kehidupan.
Untuk akhirnya, wanita berusia boleh sahaja meneruskan kehidupan dengan tenang jika tidak diganggu sesiapa. Tanggungjawab masyarakat adalah dengan memberi perhatian kepada golongan ini, bersama-sama menjaga diri mereka, dan menunaikan keperluan mereka dalam kalangan yang tidak bernasib baik. Bukan hanya membiarkan mereka terdedah daripada dieksploitasi oleh individu atau pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.