Malaysia dan bencana banjir begitu sinonim. Bencana banjir kini telah menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Namun, sejak kebelakangan ini, banjir yang melanda negara sedikit berbeza kerana lebih kerap berlaku, lebih lama, dan melibatkan kawasan yang lebih luas. Perubahan ini sememangnya telah dijangka dan tidak dapat dielakkan terutamanya jika kita masih ingin mengekalkan keadaan “business as usual.”
Kerap kali masalah banjir dikaitkan dengan faktor semula jadi seperti perubahan monsun, tiupan angin dan perubahan iklim. Dari satu sudut, peranan faktor-faktor ini tidak dapat dinafikan namun sampai bilakah kita hendak “mendiamkan” peranan manusia dalam masalah ini?
Antara peranan manusia dalam isu bencana banjir melibatkan pembukaan kawasan petempatan yang tidak terancang, proses pembandaran yang tinggi, kegagalan membina dan menyelenggara sistem saliran yang baik, penebangan hutan dan perubahan iklim. Antara pelbagai masalah ini, makalah ini akan memberikan tumpuan kepada penebangan hutan.
Dalam konteks banjir, peranan hutan sangat penting. Hutan bertindak sebagai span yang memerangkap air dan kemudian melepaskannya secara perlahan-lahan ke saliran air seperti sungai. Proses ini sebenarnya menghalang masalah banjir daripada menjadi teruk dan mengekalkan aliran air sungai ketika musim kemarau. Hutan juga meningkatkan kebolehtelapan (permeability) tanah serta mengeluarkan wap air ke atmosfera melalui proses sejatan dan transpirasi, dan ini seterusnya mengurangkan larian air hujan. Pengurangan aliran air hujan juga penting untuk membendung masalah banjir. Jadi, hutan sangat penting dalam usaha untuk menangani masalah banjir.
Prof. Corey J.A. Bradshaw daripada Universiti Flinders, Australia bersama sekumpulan pengkaji yang lain telah menjalankan satu kajian simulasi statistik berkaitan kehilangan hutan tropika dan kejadian banjir. Hasil kajian ini menunjukkan bahawa jika satu per sepuluh daripada hutan tropika kini ditebang, kekerapan berlakunya banjir akan meningkat antara empat hingga 28 peratus dan jangka masa berlakunya banjir juga bertambah sebanyak empat hingga lapan peratus. Hal yang demikian ini bermakna kehilangan hutan tropika menyebabkan banjir lebih kerap berlaku untuk satu tempoh masa yang lebih lama.
Walaupun Prof. Bradshaw mengakui bahawa kajian penilaian risiko banjir bersifat “kompleks dan melibatkan banyak faktor mengelirukan” namun ini tidak menolak hakikat bahawa hutan tropika diperlukan bagi mengawal masalah banjir. Dengan itu, pengekalan hutan dan penghutanan semula (reforestation) diperlukan bagi mengurangkan kekerapan dan jangka masa berlakunya banjir. Kajian Prof. Bradshaw ini khusus untuk hutan tropika kerana hutan ini sangat penting dalan usaha menangani kesan daripada perubahan iklim. Hutan tropika mempunyai kemampuan yang tinggi untuk menyimpan karbon dan berkeupayaan untuk menggalakkan pembentukan awan melalui proses penyejatan-transpirasi berskala besar. Awan ini pula penting dalam proses pemantulan cahaya matahari. Maknanya, hutan tropika berperanan mengurangkan kesan perubahan iklim dan ini secara tidak langsung, turut memberi kesan kepada pengurangan masalah banjir.
Daripada penjelasan di atas, jelas bahawa hutan berperanan penting dalam usaha menangani masalah banjir. Walaupun terdapatnya faktor semulajadi sebagai penyebab masalah banjir, namun dengan adanya hutan, maka masalah ini mungkin tidak menjadi sebesar yang dialami sekarang. Oleh itu, sumber hutan negara mesti dikekalkan.
Namun, malangnya bagi negara kita hutan dimusnahkan tanpa memikirkan kesan tindakan tersebut. Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Global Forest Watch, pada tahun 2010, Malaysia mempunyai 20.3Mha hutan semula jadi, iaitu meliputi lebih 87 peratus daripada keluasan tanahnya. Pada tahun 2020, Malaysia kehilangan 122kha hutan semula jadi. Dari segi kadar kehilangan hutan pula, daripada 2002-2020, Malaysia kehilangan 2.70Mha hutan primer lembapnya dan ini merupakan 34 peratus daripada jumlah kehilangan litupan pokoknya dalam tempoh masa yang sama. Jumlah kawasan hutan primer lembap di Malaysia menurun sebanyak 17 peratus dalam tempoh masa ini. Lima buah negeri dengan kadar kehilangan hutan yang tinggi ialah Sarawak, Sabah, Pahang, Johor dan Perak. Malaysia pernah mencatatkan kadar kehilangan hutan tertinggi di dunia antara 2000-2012. Bagi sebuah negara kecil, kehilangan hutan pada kadar yang tinggi tidak seharusnya berlaku. Apatah lagi hutan tersebut merupakan khazanah negara dan diakui dimata dunia sebagai kaya dengan kepelbagaian biodiversiti.
Berdasarkan penjelasan di atas, jelas bahawa kita perlu menyemak semula sikap kita terhadap pemeliharaan hutan. Pemerintah mempunyai tanggungjawab yang besar dalam hal ini kerana untung nasib hutan negara adalah tanggungjawab mereka. Sampai bilakah kita hendak melihat hutan sebagai sumber pendapatan negara semata-mata? Hakikatnya, hutan merupakan nadi kehidupan dan perlu dijaga dengan sebaik mungkin.
Apa lagi yang kita tunggu? Adakah kehilangan nyawa, kerugian harta benda dan tekanan emosi yang dihadapi oleh mangsa-mangsa banjir saban tahun tidak cukup untuk menjentik hati kita untuk melakukan perubahan? Apakah alasan-alasan lain yang perlu ada untuk kita mengubah sikap dan memulakan perancangan yang teratur bagi menangani masalah ini?
Di dalam al-Quran, ayat 41, surah ar-Rum dan ayat 30, surah Al-Shura, sering kali dirujuk bagi mengingatkan kita tentang balasan yang akan diterima oleh manusia akibat daripada perbuatan “tangan” mereka sendiri. Setiap tindakan manusia itu ada balasan baik-buruknya. Kesan kemusnahan alam yang dilakukan oleh manusia akan kembali kepada mereka jua. Oleh itu, sudah tiba masanya kita memperbetul kesilapan-kesilapan yang telah dilakukan dan semoga usaha ini akan tercatat sebagai amalan mulia dan mendapat balasan yang setimpal.