“Sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan pada tahun 2023,” demikian ujar Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader pada awal tahun lalu (data 2024 belum diperoleh lagi ketika makalah ini ditulis). Kajian CAP menunjukkan pembaziran makanan meningkat antara 15 hingga 20 peratus semasa Ramadan berbanding purata pada bulan-bulan lain. Kita sedang menghampiri bulan Ramadan yang penuh barakah namun persoalannya adakah puasa kita pada tahun ini seperti mana puasa-puasa kita sejak berpuluh tahun yang lalu, tanpa kualiti hanya sekadar berlapar dan berdahaga sahaja. Hanya jasad yang “berpuasa” namun jiwa rohani jauh sekali untuk turut sama berpuasa.
Kadangkala kita lupa bahawa kemuliaan kita yang sebenarnya adalah kerana kualiti roh kita, dan bukannya jasad kita. Dalam masyarakat dunia yang hidup dengan penuh kepalsuan, manusia mencari kemuliaan melalui kecantikan rupa paras dan jasadiah melalui pelbagai cara dan kaedah daripada menggunakan bahan-bahan kosmetik, ubat-ubatan hinggalah kepada pembedahan-pembedahan plastik, implan silikon dan bermacam-macam lagi. Namun itu semua hanyalah kecantikan atau “kemuliaan” luaran semata-mata yang mungkin “mulia” pada pandangan manusia, namun tidak semesti pada pandangan Allah SWT. Kemuliaan manusia yang sebenar adalah pada rohnya berdasarkan banyak dalil-dalil termasuk ayat-ayat al-Qur’an yang menceritakan tentang asal kejadian manusia lagi di mana dalam sekurangnya dua ayat iaitu Surah Al-Hijr ayat 29 dan begitu juga Surah Sad ayat 72, Allah SWT menceritakan: “Maka apabila Aku (Allah) telah menyempurnakannya dan telah meniupkan roh (ciptaan)-Ku ke dalamnya, maka tunduklah kamu (para malaikat) kepadanya (Adam a.s.) dengan bersujud.” Perintah terhadap malaikat untuk bersujud kepada Nabi Adam a.s. hanya diberikan selepas manusia ditiupkan roh ke dalam jasadnya, dan tidak sebelum itu. Itu menjadi antara petunjuk bahawa kemuliaan manusia adalah pada rohnya dan kemuliaan diri jasadiahnya itu hanya bermula apabila roh dimasukkan ke dalam tubuhnya oleh Allah SWT.
Begitu juga dalam banyak hadis-hadis misalnya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim hadith no.2564 di mana Nabi SAW bersadba, mafhumnya: “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras-mu dan tidak juga kepada harta benda-mu, tetapi sebaliknya kepada hati-hati-mu dan amalan-mu”. Begitu juga dalam Surah al-Hujurat ayat 13 di mana Allah SWT menyebut, mafhumnya: “…orang yang paling mulia di sisi Allah SWT adalah orang yang paling bertaqwa dalam kalangan kamu“, manakala hadis Baginda pula mengisyaratkan bahawa “taqwa itu di sini” sambil menunjukkan ke dadanya sebagai isyarat terhadap roh manusia. Banyak lagi ayat-ayat al-Qur’an dan hadis-hadis lain yang menjadi dalil bahawa manusia itu mulia kerana rohnya, dan bukan jasadnya.
Setelah menginsafi bahawa kemuliaan manusia yang hakiki itu terletak kepada kualiti rohnya atau dalam bahasa harian kita sering menyebut sebagai “jiwa” atau “diri” atau “hati rohani” manusia, maka sewajarnyalah kita mengambil kesempatan sepanjang bulan Ramadan yang akan datang ini untuk meningkatkan kualiti jiwa kita itu dengan benar-benar berpuasa seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Allah SWT mewajibkan kita berpuasa di bulan Ramadan agar kita mengambil kesempatan membersihkan rohani kita daripada segala kekotoran syirik dan dosa-dosa, dan juga penyakit-penyakit keji (mazmumah) hati rohani agar dengan itu kita menjadi insan yang bertaqwa kepada-Nya. Sesetengah para ulama menyebut bahawa andaikata Allah SWT itu tidak mewajibkan berpuasa di bulan Ramadan, nescaya tiada manusia yang akan berusaha untuk menyucikan hati rohaninya yang kotor. Mereka juga menyebut bahawa kewajiban berpuasa di bulan Ramadan itu adalah kerana kasih dan cintanya Allah SWT terhadap kita semua agar kita boleh dimasukkan ke dalam Syurga-Nya yang penuh dengan segala kenikmatan. Berpuasa di bulan Ramadan itu adalah suatu bentuk “paksaan” agar manusia menjadi hamba yang bersih rohaninya dan sekiranya manusia tidak “dipaksa” mungkin tiada dalam kalangan mereka yang merasa keperluan untuk membersihkan hati rohaninya.
Namun amat malang sekali tidak ramai dalam kalangan kita yang menyedari bahawa Ramadan itu adalah bulan menyucikan hati rohaninya, sebaliknya mereka melihat bulan Ramadan itu adalah bulan “pesta makanan”, “bazar Ramadan”, “buffet Ramadan” dan seumpamanya sehingga matlamat utama kewajiban Ramadan itu hilang dan berlalu begitu sahaja. Selama kita masih mempunyai mentaliti atau mindset lama ini, maka selama itulah hakikat berpuasa di bulan Ramadan yang sebenarnya tidak akan terhasil dan diri kita juga akan tetap berada pada takuk lama tanpa menjadi lebih baik lebih bertaqwa walaupun sudah berpuluh tahun melakukan ibadat berpuasa di bulan Ramadan. Untuk mencapai hakikat berpuasa yang sebenar, kita perlu berubah agar benar-benar kembali menghayati hakikat puasa dengan memberikan sepenuh tumpuan dan fokus kita kepada peningkatan kualiti roh atau jiwa kita dan bukannya jasad. Tidak bermakna untuk kita berlapar selama dua belas jam, namun kembali menjadi pelahap dan gelojoh dengan makanan apabila tiba waktu berbuka seolah-olah makanan yang biasanya dimakan untuk sarapan, tengahari dan malam itu dilonggokkan dan dikumpulkan sekaligus untuk dimakan pada waktu berbuka puasa. Itu bukan matlamat puasa! Kita perlu sedar bahawa setiap apa yang dilakukan oleh anggota jasad kita akan memberi kesan dan bekas kepada kualiti rohani kita.
Berlapar melalui berpuasa di bulan Ramadan itu jika dihayati dengan sepenuhnya akan mampu meningkatkan kualiti jiwa kita. Para ulama telah banyak menulis tentang kelebihan-kelebihan berlapar (fadha’il al-ju’). Setiap kali bulan Ramadan, apabila kita berpuasa dengan jiwa mencari keredhaan Allah, kita tidak akan berbelanja berlebihan untuk makanan yang hanya akan menghilangkan hakikat puasa yang sebenar. Kita sewajarnya kurangkan makan, dan lebihkan beribadat agar dengan itu nafsu jahat dapat ditunduk dan dijinakkan, jiwa kotor dapat dibersihkan dan taqwa akan bertambah.