Setiap komuniti atau masyarakat sesuatu tempat mempunyai identiti dan keistimewaan tersendiri. Identiti dan keunikan mereka terbina melalui adunan corak pemikiran, sistem kepercayaan, budaya dan kefahaman tentang alam persekitaran. Identiti ini antaranya terzahir melalui tatacara dan gaya hidup khusus yang diwarisi dan diamalkan turun temurun sehingga menjadi satu bentuk kebijaksanaan yang dipanggil kearifan tempatan.
“Kearifan tempatan” merupakan suatu istilah yang menggambarkan kebijaksanaan masyarakat sesuatu tempat dalam mengurus kehidupan kehidupan mereka sesuai dengan keperluan setempat. Kearifan tempatan dalam masyarakat Melayu di Malaysia merupakan ilmu yang terhasil dan berkembang melalui pengalaman dan kefahaman mereka tentang realiti alam sekeliling beserta pengaruh nilai budaya Kemelayuan dan sistem kepercayaan agama Islam.
Kearifan tempatan dalam masyarakat Melayu boleh dilihat dalam pelbagai bentuk seperti seni bina rumah tradisional, perubatan tradisional, kaedah pertanian, seni kreatif, cara berpakaian, pemakanan, serta upacara kebudayaan dan keagamaan. Kearifan tempatan seperti seni bina rumah Melayu tradisional, perubatan tradisional dan kaedah pertanian selain keunikan identitinya, ia turut kaya dengan nilai saintifik tersendiri kerana dibangunkan hasil daripada pencerapan dan masyarakat tempatan tentang tabii alam persekitaran setempat. Tambahan pula, kebolehgunaan dan kebolehpercayaan kearifan tempatan ini diuji zaman berzaman dan ditambah baik oleh cerdik pandai setempat terdahulu untuk diwarisi oleh generasi berikutnya dan mencerminkan identiti diri mereka.
Terdapat pelbagai usaha oleh ahli akademik pada masa ini dalam merekodkan dan mengkaji kearifan tempatan dari sudut saintifik. Antaranya termasuklah Kamarul Syahril Kamal, Lilawati Abdul Wahab dan Asmalia Che Ahmad dalam artikel bertajuk “Climatic Design of Tthe Traditional Malay House to Meet the Requirements of Modern Living.” Artikel tersebut memperincikan bahawa sifat rumah tradisional Melayu yang dibina dengan reka bentuk khusus bumbung, ruang dalam, tingkap dan tiang memberikan kesan pengaliran udara yang baik sesuai dengan keadaan iklim khatulistiwa yang panas dan lembap. Seni bina ini turut memberikan keselesaan kepada masyarakat Melayu.
Dalam konteks perubatan tradisional pula, nukilan oleh Harun Mat Piah dalam Kitab Tib: Ilmu Perubatan Melayu menjelaskan bahawa pengetahuan dan pengalaman masyarakat Melayu berkenaan tumbuhan tempatan telah menghasilkan pelbagai kaedah rawatan tradisional yang diwarisi turun temurun. Perkara ini sekiranya diteliti dengan lebih lanjut menerusi disiplin pengkajian ubatan herba seperti farmakognosi dan fitokimia pasti dapat mengembangkan khazanah perubatan tempatan.
Dalam aspek pertanian pula, Muhamad Faiz Aiman Mohd Sohaimin, Azahan Awang, dan Azlan Abas dalam penulisan bertajuk “Kearifan Tempatan dalam Pertanian Sara Diri: Satu Sorotan” menjelaskan bahawa kearifan masyarakat tempatan dalam memahami jenis dan ciri-ciri tanah membolehkan mereka menyesuaikan gaya penanaman padi bagi bekalan makanan ruji di Tanah Melayu. Dengan kearifan mereka, padi kering ditanam di tanah ladang atau huma, manakala padi basah ditanam di kawasan lembah sungai. Kefahaman tentang tanah merupakan satu bentuk penguasaan sains tabii.
Sains tabii merupakan ilmu yang bersifat sejagat dan universal kerana menyimpulkan hukum dan sifat alam. Oleh sebab itu, hukum alam seperti formula pemalar dalam bidang kimia, fizik, dan matematik bersifat konsisten. Namun, dalam proses mengaplikasikan hukum alam tabii dalam bentuk yang boleh digunakan mengikut keperluan sesuatu komuniti khusus memerlukan jati diri serta kefahaman budaya dan persekitaran tempatan. Aplikasi tentang hukum dan tabii tersebut dalam konteks sesuatu masyarakat merupakan satu bentuk manifestasi kearifan tempatan.
Jelas di sini bahawa masyarakat Melayu mempunyai kebijaksanaan etnosains yang mempunyai nilai saintifik tersendiri. Malangnya, pada zaman penjajahan, kearifan tempatan menjadi terpinggir kerana ilmu dan budaya yang dibawa masuk oleh penjajah mendominasi masyarakat tempatan. Meskipun kearifan tempatan cuba dipelihara dan dipulihara, suasana era globalisasi dan dunia tanpa sempadan pada masa ini menyebabkan kelangsungan kearifan tempatan terus terjejas dengan pengaruh daripada luar.
Tidak dapat dinafikan bahawa pada masa ini kemajuan sains dan teknologi dikuasai oleh dunia Barat. Penemuan dan pembangunan sains dan teknologi terkini banyak didominasi oleh cendekiawan dari sana. Diakui bahawa penemuan dan pembangunan ini juga sebenarnya banyak menyumbang kepada pembangunan tempatan. Namun, dalam langkah membawa masuk dan mengaplikasikan penemuan sains dan teknologi oleh Barat, perlu ada proses penyesuaian dan penambahbaikan supaya bersesuaian dengan norma budaya dan kepercayaan serta keperluan persekitaran tempatan.
Malaysia pada tahun 2022 ini menyambut ulang tahun ke-59 semenjak penubuhan persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Tempoh 59 tahun merupakan satu jangka masa yang lumayan bagi Malaysia untuk membangunkan dan memperkukuh ilmu berdasarkan identiti tempatan. Malaysia cukup bertuah kerana sarat dengan kekayaan sumber asli dan kepelbagaian budaya. Selain bangsa Melayu, terdapat banyak etnik lain seperti Cina, India, serta etnik peribumi yang turut mempunyai kearifan tempatan yang tersendiri. Setiap satunya perlu diteliti dan dikaji melalui kaedah terkini sebagai langkah mengukuhkan keilmuan berteraskan identiti Malaysia.