“Harga ikan naik. Harga sayur naik. Harga buah naik. Harga sabun basuh baju naik. Harga minyak masak naik. Harga Teh Tarik naik. Harga Tom Yam Campur naik. Tak ada yang tak naik. Dengan wang RM50, tidak banyak barang yang dapat dibeli!”
Inilah keluhan yang sering didengar, bukan sahaja dari golongan B40 tetapi juga M40. Kita pergi ke pasar atau kedai dan mendapati bahawa jumlah wang yang sama diperuntukkan untuk membeli barang mentah atau barangan dapur dahulu, kini tidak lagi dapat membeli semua barangan yang ada dalam senarai itu. Dalam kata-kata lain, jumlah wang yang sama sudah tidak dapat membeli barang sebanyak dahulu. Kuasa beli kita semakin mengecil. Itulah antara kesan inflasi yang perlu kita hadapi.
Pada hujung Ogos 2022, dilaporkan bahawa inflasi Malaysia meningkat 4.4 peratus kepada 127.9 pada Julai 2022 berbanding 122.5 pada bulan yang sama tahun sebelumnya, didorong oleh kenaikan harga makanan. Inflasi bukan sahaja melanda Malaysia. Analisis Pew Research Center mendapati bahawa kadar inflasi telah meningkat dua kali ganda di 37 daripada 44 ekonomi maju dalam masa dua tahun. Dalam tempoh yang sama, kadar inflasi Amerika Syarikat meningkat hampir empat kali ganda.
Peningkatan kadar inflasi menjadikan pengguna semakin berkira dengan duit. Bagi memenuhi keperluan asas diri dan keluarga, mereka membuat perubahan ke atas corak perbelanjaan.
Antara perubahan corak perbelanjaan yang dilakukan oleh pengguna di Amerika Syarikat ialah: lebih banyak membeli “hot dog”, tuna dalam tin dan ayam; semakin kurang menggunakan kenderaan sendiri; membeli makanan yang lebih murah; membeli barangan yang kurang berjenama; kurang makan di luar; kurang membeli pakaian; memilih untuk membeli barangan keperluan di kedai-kedai yang menawarkan harga yang lebih murah; menangguhkan pembelian untuk barang-barang yang besar seperti perabot; semakin kurang membeli; dan, sekiranya membeli, pembayaran yang dibuat pada setiap transaksi adalah lebih rendah berbanding dahulu.
Menurut Walmart, pengguna memilih untuk memberi barang-barang yang mampu milik dan mengisi troli mereka dengan barang-barang yang lebih murah. Mereka juga lebih berhati-hati untuk berbelanja di lorong-lorong barangan lain selain barangan makanan. Malah, Walmart mendapati bahawa sudah semakin ramai golongan yang berpendapatan tinggi pergi ke hipermarket mereka untuk membeli barangan keperluan pada harga yang lebih murah.
Inflasi bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna, tetapi juga peniaga. Perubahan corak perbelanjaan pengguna ini memberi tekanan kepada para peniaga, kecil dan besar. Pasaraya besar seperti Walmart pun terkena tempiasnya, inikan pula kedai-kedai yang lebih kecil. Maka, para peniaga ini perlu membuat penyesuaian supaya mereka kekal relevan dan pengguna masih mengunjungi kedai mereka dan membuat pembelian.
Tom Charley, pemilik Charley Family Shop N Save, melihat sendiri bagaimana kedainya yang dahulu menjadi tempat pengguna membeli daging “steak” premium, kini hanya menjadi tempat pengguna membeli barangan keperluan asas. Bagi memastikan kedainya terus relevan, Tom berusaha menawarkan barangan keperluan pada harga yang mampu milik beserta perkhidmatan tertentu seperti sayur yang siap dipotong dan dicuci untuk menarik pelanggan.
Victor Garcia yang menjual ais-kerim Mexico juga terkena tempiasnya. Pelanggan telah mula mengurangkan pembelian. Jika biasa mereka memberi dua kon ais kerim, kini satu sahaja. Maka, untuk memastikan pelanggan masih membeli ais-kerimnya, Victor menawarkan ais kerim pada saiz yang lebih kecil pada harga yang lebih murah; menggunakan mangkuk-mangkuk ais kerim yang lebih murah; dan, memproses ais kerim di rumah bagi mengurangkan kos.
Dalam keadaan peniaga di Amerika Syarikat mengambil langkah untuk mengurangkan kesan inflasi kepada pelanggan-pelanggan mereka, kerap kali dibaca di media kita seruan agar para peniaga di Malaysia tidak menjadikan inflasi sebagai alasan untuk menaikkan harga barang. Sebaliknya, para peniaga diseru untuk mengamalkan etika perniagaan yang baik dalam berhadapan dengan keadaan ini.
Pihak kerajaan pula telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menangani isu inflasi ini baik dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif; menstabilkan harga barang; memantau harga barang; dan, Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia.
Dalam berhadapan dengan inflasi, kita boleh mengeluh dan mengecam banyak pihak. Namun, cara yang lebih berkesan ialah dengan mengubah corak perbelanjaan.
Ketua keluarga perlu mengubah ubah corak perbelanjaan supaya pendapatan yang ada itu dapat memenuhi keperluan ahli keluarga yang nafkahnya menjadi tanggungjawab kita.
Bincang dengan ahli keluarga kerana masalah inflasi ini perlu dihadapi bersama. Jelaskan kepada mereka mengapa kini kita perlu lebih kerap makan di rumah; mengapa ikan atau bahan mentah yang dibeli kuantiti dan kualitinya kurang berbanding dahulu; dan, mengapa siaran TV berbayar itu perlu dihentikan sementara waktu.
Anak remaja perlu dimaklumkan bahawa mereka tidak lagi boleh mendapat duit poket semewah dahulu. Anak-anak kecil perlu difahamkan mengapa mereka tidak lagi boleh mendapat “Happy Meal” mereka pada setiap hujung minggu seperti dahulu. Malah, mereka juga tidak boleh lagi mendapat coklat, ais kerim dan mainan seperti biasa apabila mereka mengikut ibu atau ayah ke kedai.
Para peniaga juga boleh berperanan, Ini bukan masanya untuk mengaut untung besar. Untuk terus relevan, fikirkan cara untuk menawarkan barang-barang sesuai dengan bajet pelanggan.
Inflasi adalah cabaran untuk kita semua. Jika semua pihak memainkan peranan masing-masing untuk mengurangkan kesan inflasi ini, kita akan dapat menyesuaikan diri sehingga keadaan pulih kembali.