Pemilihan Donald John Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-45 yang mengundang pelbagai tindak balas negatif tidak mengejutkan. Ini khususnya disebabkan sikap ahli politik yang juga ahli perniagaan serta personaliti realiti TV itu yang berbaur kebencian, perkauman dan anti agama, khususnya Islam. Slogan kempen beliau yang berbunyi “Make America Great Again” juga dikatakan merujuk kepada kekuasaan warga kulit putih (‘white supremacy’). Dakwaan tersebut dikukuhkan lagi dengan pemilihan Stephen Bannon sebagai ketua ahli strategi dan kaunselor kanan Rumah Putih yang dilabel sebagai juara penguasaan kulit putih. Bannon juga dilaporkan menzahirkan pandangan anti-Yahudi, membenci kaum wanita, dan Islamofobia.
Malang sekali bagi negara yang terkenal dengan undang-undang yang menentang diskriminasi dan menegakkan kesetaraan itu kerana akhirnya pemimpin yang jelas tidak berperikemanusiaan dan tidak menghormati apatah lagi menghargai maruah diri insan terutamanya wanita akhirnya dipilih untuk memimpin negara yang jumlah penduduknya melebihi 325 juta juta orang itu. Justeru, tepat jika dikatakan bahawa Trump tidak lain melainkan merupakan gambaran sebenar rakyat Amerika. Dengan kata-kata lain, bagaimana pemimpin begitulah rakyatnya! Rakyat yang memilih pemimpin seperti Trump sudah pasti memiliki ciri-ciri, sifat, dan kecenderungan yang sama seperti dirinya.
Adil dan ihsan merupakan antara sifat dan nilai terpenting yang mesti dimiliki serta diamalkan oleh insan beriman, terutama pemimpin. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan melakukan kebaikan serta memberikan bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman….” (Surah al-Nahl 16 : 90). Sifat adillah yang akan mendorong setiap pemimpin memelihara hak dan kepentingan setiap rakyatnya tanpa mengira agama, bangsa, rasa atau warna kulit. Sebaliknya, ketaksuban terhadap bangsa atau warna kulit (asabiah) akan mendorong berlakunya penindasan dan kezaliman. Nabi S.A.W. memberikan amaran tentang asabiah dalam Hadith Baginda, “Bukan daripada golongan kami orang yang menyeru kepada asabiah. Bukan daripada golongan kami, orang yang berperang atas semangat asabiah dan bukan daripada golongan kami orang yang mati atas (sebab) asabiah.” (Abu Daud)
Kejayaan Trump menduduki kerusi Presiden disambut bantahan, tangisan, dan keluhan, khususnya oleh golongan minoriti, bukan berkulit putih dan penghijrah dari negara-negara asing, terutama negara Islam. Walau bagaimanapun, umat Islam, tidak wajar sama sekali berputus asa daripada rahmat Allah S.W.T. Sebagaimana diajar oleh agama Islam, mereka seharusnya sentiasa bersangka baik dan menanggapi ujian besar ini sebagai peluang terbaik. Peluang yang membuka ruang untuk mereka terus berusaha keras menyatukan seluruh penganut agama, bangsa, dan warna kulit untuk menolak diskriminasi dan kezaliman. Pada masa yang sama pula, mereka harus gigih menggerakkan usaha insan sejagat untuk membina kehidupan yang sejahtera berasaskan kasih sayang, kepercayaan, keadilan, dan keamanan. Sungguhlah kelak kesan baiknya akan kembali jua kepada agama dan ummah seluruhnya.