Di tengah kehangatan dunia memperkatakan tentang ancaman kepada planet bumi, ramai yang lupa atau enggan melihat semula kepada perkara asas dalam pemuliharaan alam sekitar iaitu “pengurusan alam sekitar.”
Semenjak Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam Sekitar Manusia di Stockholm pada tahun 1972 hinggalah ke Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Alam sekitar dan Pembangunan di Rio De Janerio pada Jun 1992, dua dekad telah berlalu dan isu alam sekitar masih terus hangat diperkatakan.
Pembangunan dan peningkatan teknologi yang berterusan sahaja telah terbukti tidak dapat menyelesaikan masalah alam sekitar. Kepentingan memelihara alam sekitar adalah tanggungjawab sejagat dan memerlukan penglibatan bersama. Ianya merangkumi semua aspek alam sekitar bukan sahaja mengenai bidang program dan asas untuk bertindak tetapi juga langkah-langkah pelaksanaan, termasuk keperluan pembiayaan serta anggaran penilaian kos untuk menjalankan sesuatu aktiviti dan program.
Di Malaysia, usaha untuk melaksanakan ekonomi dan pembangunannya, haruslah mampu untuk memelihara alam sekitarnya menerusi kaedah pengurusan yang terbaik agar bumi kita ini sentiasa berada di tahap yang memuaskan. Isu alam sekitar bukan lagi perkara yang boleh dipandang remeh. Kemusnahan alam sekitar tidak lagi boleh dibiarkan, sebaliknya penyelesaian ke arah masalah tersebut hendaklah ditangani segera secara bersepadu dan berkesan oleh semua pihak.
Pada masa kini, Malaysia adalah sebuah negara yang sedang membangun. Kita berkeupayaan untuk menyelenggarakan barangan buatan sendiri dengan lebih jauh dari apa yang diperlukan. Ini adalah kerana Malaysia mempunyai lebih kurang 60% tanahnya dipenuhi dengan “self regenerating” hutan hujan tropika, dengan penambahan lebih dari 10% yang dipenuhi dengan penanaman ladang-ladang pokok. Oleh itu, di Malaysia, apa jua pengeluaran karbon dioksida dapat diserap. Namun kelebihan yang kita miliki ini tidak akan kekal lama sekiranya kita tidak mempunyai pengurusan yang baik untuk memeliharanya.
Kita juga menyedari hakikat bahawa dalam mengejar pembangunan, manusia adalah punca pencemaran dan kemerosotan alam sekitar. Hal ini telah dijelaskan kepada kita oleh Allah s.w.t. di dalam al Quran, dalam surah ar Ruum, ayat ke-41, yang bermaksud:
“Telah nampak kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).”
Di samping itu, sejarah Islam juga telah menunjukkan bahawa ajaran Islam itu sendiri memberi penekanan terhadap pemuliharaan alam sekitar, di mana pada peperangan-peperangan yang berlaku antara orang Islam dan orang bukan Islam, Nabi Muhammad s.a.w. sering menasihatkan para perajuritnya supaya tidak memusnahkan haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Walau bagaimanapun itu bukanlah bererti kita mesti menghentikan segala bentuk pembangunan yang melibatkan alam sekitar, kerana ini hanya akan mengakibakan umat Islam akan bertambah mundur ke belakang. Kita tidak boleh menghentikan pembangunan sepenuhnya tetapi sekurang-kurangnya kita boleh mengurangkan pencemaran yang disebabkan oleh pembangunan tersebut menerusi program-program pengurusan yang bijaksana dan terancang.
Kita juga semua telah maklum bahawa negara kita Malaysia telah melalui proses pembangunan yang pesat. Masyarakat kita pula terkenal dengan nilai-nilai murninya serta cara hidup yang bertolak ansur, progresif, penyayang, dan mampu pula berdaya saing dengan masyarakat antarabangsa. Negara kita juga sering diiktiraf sebagai sebuah negara contoh yang sedang membangun hampir dari segala aspek terutamanya aspek pentadbiran dan urusan pembangunannya. Oleh hal yang demikian kita perlu meyakinkan kepada masyarakat luar bahawa kita juga mampu untuk menjadi sebuah negara yang boleh dicontohi di dalam komitmennya terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Kita juga menyedari bahawa sebarang langkah saintifik dan pengurusan alam sekitar yang dibuat hanya dapat memberi makna setelah masyarakat memahami dan menghayati nilai kualiti umum persekitaran. Oleh itu segala usaha yang dibuat, hendaklah menjurus kepada memberi kefahaman dan kehendak-kehendak sebenar yang dapat melindungi alam sekitar. Adalah menjadi tanggungjawab dan kesedaran kita bersama untuk memastikan alam sekitar Malaysia khususnya dan dunia amnya terpelihara supaya manusia dapat hidup dengan selesa dan sihat.