Kajian tentang jenayah rogol menunjukkan beberapa trend yang membimbangkan. Dari segi bilangan kes, didapati kes rogol bertambah sejak tahun 1990. Bilangan kes yang dilaporkan didapati tinggi di kawasan-kawasan perindustrian utama. Misalnya, bagi tahun 1996, kes rogol banyak berlaku di Selangor (167 kes), Johor (133 kes), Perak (102 kes) dan Wilayah Persekutuan (84 kes). Dari segi umur mangsa, dalam tahun 1995, 60 peratus kes melibatkan mangsa yang berusia 16 tahun ke bawah. Bagi tahun berikutnya pula, peratusan ini bertambah kepada 67.1 peratus. Apa yang lebih membimbangkan ialah kebanyakan perogol merupakan orang yang dikenali oleh mangsa (83.2 peratus bagi tahun 1995). Mereka termasuklah kenalan biasa, kenalan baru, bapa kandung, bapa tiri, pakcik, jiran, teman lelaki, majikan dan lain-lain. Ini menunjukkan anggapan bahawa rogol dilakukan oleh mereka yang tidak dikenali adalah tidak benar.
Memandangkan trend jenayah rogol yang semakin serius dan membimbangkan ini, kajian mengenainya sangatlah dialu-alukan. Oleh itu, usaha Women’s Crisis Centre untuk mengadakan kajian ini pada tahun 1995 serta menerbitkan hasilnya dalam tahun 1997 perlu diberi pujian. Buku Shame Secrecy and Silence : Study of Rape in Penang ini memberikan kita satu bahan bacaan dan rujukan tentang kejadian rogol di negara ini, khususnya bagi kes-kes yang berlaku di Pulau Pinang. Buku ini merangkumi berbagai topik am seperti definisi rogol, teori tentang rogol, salahtanggapan tentang rogol, bentuk-bentuk rogol hinggalah ke topik-topik yang lebih terperinci seperti agensi-agensi lain yang berkaitan dengan jenayah ini seperti kehakiman, kesihatan dan Jabatan Kebajikan, juga pengalaman mangsa rogol dan perspektif perogol itu sendiri. Saya merasakan buku ini begitu menarik untuk dibaca terutamanya bagi meningkatkan kefahaman kita mengenai jenayah rogol di Malaysia.
Dalam banyak-banyak trend yang ditunjukkan oleh kes rogol ini, saya amat tertarik untuk membincangkan tentang hakikat bahawa dalam kebanyakan kes, mangsa telah dirogol oleh orang-orang yang mereka kenali, baik di luar keluarga, mahupun di dalam keluarga mereka sendiri. Sebelum saya terus membincangkan perkara ini, mungkin ada baiknya jika saya membezakan kedua-dua jenis rogol ini. Rogol yang dilakukan oleh orang yang tidak dikenali (Stranger rape), seperti namanya, dilakukan oleh orang yang tidak dikenali langsung oleh mangsa. Mereka tidak pernah berhubung sama sekali sebelum ini. Dalam kes seperti ini mangsa diserang dan diganggu secara seksual dengan tiba-tiba. Kes seperti ini memang sukar diselesaikan kerana mangsa tidak boleh mengenalpasti perogol tersebut.
Rogol yang dilakukan oleh orang yang dikenali (Acquaintance rape/date rape), seperti namanya, merujuk kepada kes di mana mangsa mengenali perogolnya, baik untuk satu jangkamasa yang lama, mahupun untuk masa beberapa jam sebelum kejadian tersebut.
Rogol jenis kedua ini seringkali dipandang serong oleh polis dan masyarakat. Dalam kebanyakan kes didapati bahawa mangsa – tidak banyak, sedikit – bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut. Oleh kerana mangsa telah meletakkan dirinya dalam kedudukan yang ‘merelakan’, seperti setuju untuk berjumpa, bermalam di hotel, pergi minum-minum atau mengikut pemangsa ke tempat yang sunyi, ia dipertanggungjawabkan atas kejadian rogol itu. Dalam kes seperti ini, mangsa dituduh ‘sengaja mencari nahas’, ‘mendakwa dirogol setelah mengandung’ atau ‘ingin membalas dendam setelah ditinggalkan oleh lelaki tersebut’.
Dikatakan bahawa sejak akhir-akhir ini, mangsa rogol dalam kes rogol oleh orang yang dikenali ini (termasuk sumbang mahram) terdiri dari mereka yang berusia 16 tahun ke bawah. Ini menunjukkan bahawa dalam kes seperti ini, lelaki dewasa mengambil kesempatan di atas gadis-gadis di bawah umur.
Saya tidak terkejut jika dikatakan ramai yang memandang serong terjadap kes rogol oleh orang yang dikenali. Ini kerana, bagi kes rogol yang dilakukan oleh orang-orang yang tidak dikenali agak mudah untuk kita fahami. Wanita-wanita malang itu, secara tiba-tiba dirogol oleh lelaki yang menceroboh masuk ke rumahnya ketika ia tidur atau wanita itu diculik ketika dalam lif dan dirogol di salah sebuah unit apartmen yang berhampiran. Tetapi, kes rogol yang melibatkan orang yang dikenali (kita ketepikan kes sumbang mahram atau incest, juga kes yang melibatkan mangsa kanak-kanak), tidak boleh tidak, kita akan bertanya, tidakkah kejadian itu boleh dielakkan?
Jika kita lihat kepada statistik yang ada, bagi tahun 1995, 83.4 peratus kes rogol dilakukan oleh orang yang dikenali manakala 16.6 peratus sahaja yang dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Bagi tahun 1998 pula, 84 peratus kes dilakukan oleh orang yang dikenali manakala 16 peratus sahaja yang dilakukan oleh orang yang tidak dikenali. Berikut adalah perinciannya:
JENIS ROGOL | TAHUN 1995 (%) | TAHUN 1998 (%) |
Rogol yang dilakukan oleh orang yang dikenali | (Bil. 838 = 83.4%) | (Bil. 1251 = 84%) |
Kenalan biasa, jiran/sekampung | 39.0 | 41.6 |
Kenalan baru | 13.6 | 9.5 |
Keluarga dan saudara-mara(Termasuk bapa kandung, bapa tiri dan pakcik) | 15.1 | 23.8 |
Teman lelaki | 16.0 | 22.6 |
Majikan | 2.5 | 2.4 |
Lain-lain | 13.8 | – |
Jumlah | 100.0 | 100.0 |
Jadual 1: Hubungan perogol dengan mangsa dalam kes rogol yang dilakukan oleh orang yang dikenali.
Sumber: Diubahsuai dari buku Shame Secrecy and Silence: Study of Rape in Penang (untuk statistik bagi tahun 1995) dan dari artikel “Betrayal of the Worst Kind” oleh Ong Ju Lynn, The Star, 24 January, 2000 (untuk statistik bagi tahun 1998).
Melihat kepada statistik dan trend jenayah rogol di atas, tentulah kita ingin melihat supaya jenayah ini dapat dikurangkan, jikapun tidak dihapuskan terus. Kajian di atas berpendapat bahawa untuk menghentikan kejadian rogol, masyarakat perlu berhenti menyalahkan wanita dan berhenti meletakkan tanggungjawab untuk mengelakkan kejadian itu di bahu wanita. Kajian itu juga berpendapat wanita tidak perlu dituntut untuk menjaga tingkahlaku mereka bagi mengelakkan rogol kerana jika kita berbuat demikian kita hanya menerima hakikat bahawa lelaki boleh melakukan apa sahaja dan wanitalah yang perlu menjaga dirinya.
Kajian itu juga merasakan nasihat-nasihat seperti “Jangan keluar malam bersendirian”, “Kunci pintu rumah anda sepanjang masa”, “Jangan menumpang kereta orang-orang yang tidak dikenali” dan seumpamanya dikatakan tidak akan dapat menyelesaikan masalah. Anggapan masyarakat bahawasanya jika semua wanita menutup aurat, berada di rumah di waktu malam dan tidak bercampur dengan orang-orang yang tidak dikenali – lelaki tidak akan ada peluang untu merogol dan akhirnya kejadian rogol akan berhenti – dianggap sebagai satu anggapan yang mudah dan naïf.
Sebaliknya, kajian tersebut berpendapat rogol dilakukan oleh lelaki dan merekalah yang bertanggungjawab terhadapnya. Oleh itu, untuk menghentikan kejadian rogol ini, kaum lelaki perlu terima hakikat bahawa merekalah punca jenayah tersebut dan mereka perlu memainkan peranan untuk menghentikannya. Kesedaran perlu diberikan kepada kaum lelaki, begitu juga proses sosialisasi mereka yang perlu diperbetulkan.
Walaupun saya merasakan kajian di atas perlu dihargai, namun saya tidak bersetuju dengan pendekatan mereka untuk membanteras jenayah rogol ini. Saya merasakan kedua-dua lelaki dan wanita perlu bertanggungjawab. Kaum lelaki tidak sepatutnya mengambil kesempatan di atas kelemahan wanita, di masa yang sama, wanita tidak sepatutnya memberi kesempatan ke atas lelaki untuk bertindak terhadap mereka. Oleh itu, lelaki dan wanita perlu sama-sama menjaga diri dan tingkah laku mereka agar tidak mengundang perkara-perkara yang tidak diingini.
Bagi saya, jika berlaku kes rogol, lelaki tetap bersalah, baik dalam kes rogol yang dilakukan oleh orang yang tidak dikenali (atas dasar apa dia merasa berhak menceroboh kehormatan seorang wanita?) mahupun dalam kes yang dilakukan oleh orang yang dikenali (atas dasar apa dia berhak mengambil kesempatan ke atas wanita?) Walau bagaimanapun, dalam sesetengah kes rogol oleh orang yang dikenali, tidak dapat tidak, saya merasakan wanita juga bertanggungjawab mengundang malapetaka itu, baik melalui tingkahlaku yang menggoda, pakaian yang seksi, kesudian bertandang ke rumah lelaki lewat tengah malam, bermalam di hotel dan sebagainya. Andai sahaja wanita dapat mengawal dirinya dari melakukan perkara-perkara seperti ini, tentu sahaja kejadian tersebut dapat dielakkan.
Oleh kerana ramai mangsa terdiri dari orang Melayu (Islam) – 64.2 peratus bagi tahun 1995 – maka mungkin ada baiknya untuk melihat garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam berhubung dengan pemeliharaan diri, baik oleh lelaki mahupun wanita, juga bagaimana kedua-dua jantina ini perlu berhubung.
Dalam Islam, lelaki dan wanita dituntut untuk memelihara diri mereka dari perkara-perkara yang berbentuk maksiat, juga dari perkara-perkara yang tidak diingini (rogol, misalnya). Dalam surah an-Nur, ayat 30-31 misalnya, lelaki dan wanita dituntut untuk menyekat pandangan dari melihat yang haram dan memelihara kehormatan mereka. Jadi, jelas bahawa bukan lelaki sahaja yang perlu menahan nafsu, tetapi wanita juga perlu menjaga kehormatan, baik dari segi berpakaian, mahupun bertingkahlaku. Dalam kata lain, kedua-dua pihak perlu mengambil inisiatif untuk menjaga diri dan bukan satu pihak sahaja. Pendekatan Islam bukan menyekat satu jantina dan membenarkan yang lain berbuat sesuaka hati. Dalam Islam, ada peraturan-peraturan tertentu yang mengawal tingkahlaku kedua-dua jantina itu.
Mungkin atas sifat kelembutan dan kelemahan wanita, dalam ayat 31 di atas, Allah memerintahkan agar wanita melakukan lebih dari apa yang diperintahkan ke atas lelaki. Tidak kisahlah jika ada yang ingin mempertikaikan Islam sebagai agama yang bersifat patriaki, tetapi, itulah yang diperintahkan, yakni wanita dilarang mendedahkan tubuhnya kepada lelaki yang bukan mahramnya kecuali anggota tubuhnya yang zahir iaitu bulatan muka dan tapak tangan. Wanita juga diminta mengawal tutur katanya (al-Ahzab: 32) agar tidak berkata-kata dengan lembut dan manja (semasa bercakap dengan lelaki asing).
Segala perintah ini, baik bagi lelaki mahupun wanita menunjukkan kedua-duanya bertanggungjawab untuk memelihara diri mereka. Bagi wanita, dengan melaksanakan perintah-perintah ini adalah diharapkan mereka tidak “menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya” (al-Ahzab: 32).
Bagi saya, hakikat bahawa majoriti kes rogol merupakan kes yang dilakukan oleh orang-orang yang dikenali merupakan kunci kepada usaha membanteras dan mengurangkan kes rogol ini. Ini adalah kerana dengan mengetahui bahawa orang-orang yang dikenali sanggup melakukan jenayah itu ia boleh dijadikan dorongan untuk para wanita berhati-hati dengan sesiapa sahaja yang bersama mereka. Memastikan keselamatan diri baik dengan cara memastikan pintu bilik berkunci walaupun hanya ada abang kandung di bilik sebelah ataupun memastikan kita berada di rumah pada pukul 8 malam, adalah langkah-langkah yang wajar untuk mengelakkan rogol jenis ini. Lagipun, dalam hidup ini, kita dituntut supaya berikhtiar. Untuk berjaya perlu berikhtiar, begitu juga untuk mengelakkan diri dari perkara-perkara yang tidak diingini. Pandangan ini tentunya bertentangan dengan kajian di atas tetapi saya yakin ini lebih berkesan dari mengharapkan orang lain untuk berubah.
Realiti hidup berkehendakkan kita mengubah apa yang boleh kita ubah dan bukannya cuba mengubah sesuatu yang kita tiada kuasa untuk mengubahnya. Sebagai wanita, kita boleh mengubah cara kita berpakaian, bertingkahlaku dan cara hidup kita. Sebaliknya, kita tidak boleh mengubah tingkahlaku rakan sekerja, sifat biang majikan, mahupun nafsu teman lelaki yang bergelora secara tiba-tiba. Apakah kita ingin membiarkan diri kira menjadi mangsa sementara menunggu kaum lelaki berubah atau kita mahu terus berubah tanpa mengira perubahan di pihak yang satu lagi? Tepuk dada, tanya selera.
Saya pasti jika kaum wanita tidak membuka peluang kepada teman lelaki, tidak mudah percaya kepada orang yang baru dikenali dan lebih berwaspada dengan setiap lelaki, statistik rogol ini akan dapat dikurangkan, jika tidakpun dihapuskan. Saya juga percaya bahawa jika kita lebih mementingkan tanggungjawab kita berbanding hak kita, dunia ini akan lebih aman dan sejahtera.
Ya, kita bersimpati dengan setiap mangsa rogol, walau siapapun yang merogolnya. Dan sebagai ahli masyarakat, kita perlu membantu mereka dalam segala segi. Namun, bagi saya, untuk tidak meletakkan tanggungjawab mengelakkan diri dari dirogol kepada bahu wanita adalah seolah-olah membenarkan mereka bermain api tanpa mengingatkan mereka bahawa api itu boleh membakar. Sesungguhnya, kita berhak bermain api, tetapi jika kita ingin bermain api, ingatlah ia boleh membakar!
——————————————————————————–
Rujukan:
1. Shame Secrecy and Silence: Study of Rape in Penang (1997). Edited by: Rohana Ariffin. Women’s Crisis Centre. Pulau Pinang.
2. Ong Ju Lynn, “Betrayal of the Worst Kind”, dalam The Star, 24 Januari 2000.
3. Rosniza Mohamad dan Ahmad Syahir Kassim, “Rogol – Dilakukan oleh kekasih sendiri” dalam Utusan Malaysia, 17 Januari 2000.