Perkataan ‘conflict of interest’ atau percanggahan kepentingan secara umumnya merupakan satu keadaan apabila seseorang atau sesebuah badan mempergunakan kepakaran, kerjaya atau kedudukan tertentu bertindak untuk kepentingan yang bercanggah dengan kepentingan sebenar. Masalah ini merupakan punca asas kepada hampir keseluruhan salahlaku terutamanya dalam amanah yang melibatkan masyarakat. Kegagalan dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan adalah berpunca dari ketidakselarasan penumpuan kepentingan.
Tidak dapat dinafikan bahawa kebelakangan ini berlaku berbagai masalah dalam perkhidmatan samada dalam pentadbiran kerajaan, syarikat korporat atau syarikat yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan. Hampir kesemua permasalahan yang berlaku berpunca dari percanggahan kepentingan. Mungkin semua perkara penting telah diambil kira dalam setiap kerangka dan aturan sesuatu badan tetapi masih timbul permasalahan ketidakseimbangan kepentingan yang boleh menjejaskan keseluruhan aturan sedia ada.
Baru-baru ini dilaporkan tentang kemasukan warga asing dalam negara ke tahap yang amat membimbangkan. Kadang-kadang kita merasakan seolah-olah berada di suatu bandar pendatang asing apabila menoleh ke kiri dan kanan di bandar-bandar tertentu di hari minggu. Lambakan ini mengakibatkan berlakunya longgokan gejala tidak sihat seperti meningkatnya kes-kes jenayah, penyakit berjangkit, pertikaian tentang permintaan tenaga kerja serta warganegara dianaktirikan dalam peluang mendapatkan pekerjaan dan sebagainya. Jika kita amati, jelas kepada kita bahawa aturan sedia ada tidak seimbang dari segi keutamaan kepentingan. Mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan mandat dan kelonggaran telah mengambil kesempatan dengan mengaut imbuhan peribadi dari kegiatan atau fungsi sesebuah badan tanpa menghiraukan ketetapan tertentu. Kepincangan ini pasti melibatkan rangkaian urusan tertentu kerana keterlibatannya tidak boleh dinafikan. Bermula dari adanya permintaan sehinggalah usaha penawaran dibuat untuk mendapatkan pendatang asing secara tidak sah.
Walaupun telah banyak perangkaan dibentang di dalam berbagai persidangan, sekiranya soal percanggahan kepentingan tidak diselesaikan, maka perangkaan hanya menjadi satu data yang tidak bermanafaat. Sebagai manusia, kita tidak dapat lari dari berhubung dan mempunyai wadah perhubungan dengan persekitaran. Walaupun seseorang memegang jawatan tertentu, penjawat awam atau perseorangan di syarikat persendirian, pasti mereka tidak tersendiri dan khusus semata-mata hidup untuk tujuan menjalankan tanggungjawab kerjayanya semata-mata. Mereka juga tertakluk kepada tanggungjawab kepada diri sendiri atau keluarga. Apabila terdapat percanggahan mengutamakan kepentingan, atau lebih-lebih lagi bertindak dalam ketamakan, maka akan berlakulah kesan ketidakseimbangan terutama dari segi mutu perkhidmatan yang ditawarkan. Hasilnya, kemungkinan kerja yang diamanahkan tidak terjamin dan akan berlaku kerosakan, kebocoran dan sebagainya.
Keperluan penunaian tanggungjawab persendirian boleh mendesak seseorang menggunakan peruntukan, kuasa dan masa kerja untuk dilaksanakan. Kelonggaran yang disalahgunakan akan menjadi punca berlakunya rasuah, pecah amanah dan salahguna kuasa melibatkan tindakan mempergunakan mandat secara batil untuk kepentingan persendirian, malah lebih buruk lagi terbukti tindakan tersebut boleh menjejaskan matlamat badan tertentu. Bagi memenuhi kehendak peribadi, maka akan terdapat pengurangan atau penukaran bahan yang sewajarnya kepada bahan yang lebih murah dan kurang mutu.
Secara asasnya, kelonggaran melaksanakan hak persendirian diiktiraf samada melalui peruntukan dasar tatacara perkhidmatan atau peruntukan undang-undang pekerjaan tetapi mestilah mempunyai tahap-tahap tertentu. Hak pemilikan harta, bercuti, pelepasan tertentu dan sebagainya merupakan antara contoh. Islam menyeru umatnya menunaikan hak kepada tiga perkara asas di dalam satu hadith Rasulullah iaitu hak kepada tuhan, hak kepada diri sendiri dan hak kepada ahli (samada ahli keluarga atau ahli bagi badan tertentu). Di dalam maksud hadith ini juga, penegasan ditekankan supaya umat manusia menunaikan kesemua hak-hak tersebut tanpa terkecuali atau dipinggirkan hak-hak tertentu. Dengan kata lain, setiap hak perlu dipenuhi tanpa mengabaikan mana-mana hak kepentingan yang lain.
Perkara pertama yang perlu ditanam dalam jiwa ialah sudut pandangan siapa pelanggan sebenar kita. Maksud pelanggan di sini ialah orang yang akan menerima tindaktanduk kita dan memberi makna kepada tindakan kita. Mungkin ramai yang menganggap bahawa sekiranya kita berkhidmat di sebuah syarikat atau badan tertentu, pelanggan syarikat itulah pelanggan kita. Mungkin juga anak dianggap sebagai pelanggan kepada seorang yang berperanan sebagai bapa dalam perhubungan kekeluargaan dari satu sudut. Sesetengah berpandangan bahawa masyarakat setempat adalah pelanggan kepada pihak berkuasa tempatan.
Sebenarnya kefahaman ini tersasar kepada kehendak agama sebenar. Setiap manusia perlu mengambil faham bahawa walau siapa di sekeliling kita yang dianggap pelanggan, tuhan adalah sebenarnya yang akan menilai setiap perbuatan kita. Dengan meletakkan bahawa setiap tindakan kita tertakluk kepada keredhaan Allah, maka perkara ini menjadi keutamaan melebihi keutamaan lain. Oleh itu, unsur pegangan atau aqidah tidak boleh diasingkan dalam kerjaya kerana kepentingan inilah yang satu-satunya dapat menyelesaikan banyak permasalahan percanggahan kepentingan. Masyarakat Malaysia yang kuat memegang kepada agama sewajarnya tidak dihadapkan dengan berbagai masalah kecacatan atau kerosakan nyata tugasan di bawah tanggungjawab mereka.
Di dalam huraian kepada sebuah hadith berkenaan niat, dijelaskan bahawa ikhlas yang sebenar adalah perkaitan tindakan manusia hanya dilakukan kerana Allah. Tidak boleh seseorang melakukan sesuatu kerana Allah dan manusia secara bersesama kerana jelas perkara ini menyekutukan Allah. Manakala sekiranya sesuatu tindakan dilakukan kerana manusia maka jatuh tahap tindakan kita kepada riya’ (syirik halus).
Oleh itu, setiap penjawat jawatan perlulah melaksanakan tugasannya mengikut matlamat penubuhan sesuatu badan, dalam masa yang sama meletakkan keutamaan kepada pengabdian kepada tuhan. Permasalahan sistem penyampaian perkhidmatan dalam kerajaan atau syarikat persendirian bergantung kepada perkara asas ini. Pelanggan datang dengan berbagai kerenah. Tidak semua akan berpuas hati terhadap sesuatu perkara. Pendapat yang pelbagai tentang mutu perkhidmatan yang diberikan berbeza-beza mengikut harapan dan jangkaan perseorangan. Sekiranya sandaran kepada tindakan digantungkan kepada keredhaan daripada Allah, maka keseluruhan tindakan kita samada selari atau tidak dengan pelanggan syarikat pasti akan sesuai dengan kehendak ad-dien.
Dari sudut tatatertib pekerjaan, percanggahan kepentingan dianggap sebagai salah satu kesalahan oleh majikan apabila seseorang melakukan sesuatu perbuatan semasa bertugas atau memegang jawatan tertentu untuk kepentingan sendiri. Walaupun begitu, bagi memastikan keadilan dilaksanakan, kita perlu melihat sejauh mana sebarang pertuduhan atau sabitan kepada tahap menyalahi kepentingan sebelum memutuskan bahawa seseorang telah melakukan satu kesalahan. Islam tidak membenarkan sama sekali hukuman dikenakan tanpa pembuktian kukuh. Selain dari membuktikan sabitan tuduhan, perkara penting yang sering diabaikan ialah seberat mana tindakan tersebut berbanding salahguna yang dilakukan.
Maksud yang diberikan kepada perkataan percanggahan kepentingan jelas menunjukkan bahawa adanya unsur penggunaan kuasa, mandat atau kedudukan untuk mempengaruhi sesuatu perolehan yang berbentuk persendirian atau peribadi tidak kira dalam bentuk wang ringgit, harta benda atau kelebihan tertentu. Ujian bagi mengetahui samada berlaku atau tidak percanggahan kepentingan ialah dengan melihat perolehan dan prestasi kerja. Sekiranya apa yang dibincangkan ini tidak berlaku, tetapi berlaku kerosakan yang tidak wajar kepada sesuatu kerja atau bangunan, maka persoalan ini perlu disingkap dari segi kecuaian melaksanakan kepentingan.
Memang tidak dinafikan bahawa dalam amalan perundangan pekerjaan, melakukan sesuatu perbuatan yang mempunyai percanggahan kepentingan dianggap sebagai satu kesalahan kerana pekerja tersebut telah memungkiri maksud tersirat aqad pekerjaan. Malah hampir keseluruhan salahlaku dalam tugasan seperti amalan rasuah, pecah amanah dan salahguna kuasa melibatkan terdapat percanggahan kepentingan.
Pihak majikan bagaimanapun perlu membuktikan bahawa telah berlaku satu unsur perbuatan yang telah menjejaskan maksud tersirat aqad pekerjaan dan tindakan tersebut yang menyebabkan pengabaian kepada kepentingan syarikat. Persoalan memutuskan samada seseorang telah melakukan sesuatu yang bercanggah dengan akhlak perjawatan, masih tinggal samar sekiranya kesan tindakannya dibiarkan tanpa diperhalusi.
Langkah kerajaan dalam menyemai unsur kerohanian dalam dasar perkhidmatan samada melalui Rukunegara, pendekatan Hadhari atau wawasan 2057 Malaysia sebagai negara yang tinggi nilai kerohaniannya perlu diperkukuhkan dengan ketegasan. Tindakan yang wajar perlu diambil bagi kes-kes kerosakan, penyalahgunaan dan kecuaian yang berlaku kebelakangan ini. Semua ini bukan sahaja perlu diketahui tetapi juga disaksikan.