Imam Shafi’i pernah berkata: “Aku tidak akan berdebat dengan seseorang melainkan aku mengharapkan Allah SWT menzahirkan kebenaran di atas lidahnya berbanding diriku”. Sementara Joseph Joubert, seorang ahli falsafah Perancis pula mengatakan, “It is better to debate a question without settling it than to settle a question without debating it.”
Dalam perhubungan dua hala sesama manusia perkara yang kadangkala tidak dapat dielakkan terutama dalam usaha mencapai persetujuan berkaitan sesuatu isu ialah perdebatan. Ia berlaku di pelbagai peringkat kehidupan. Di rumah, perdebatan berlaku antara suami dan isteri mengenai pelbagai perkara yang berkait kehidupan berkeluarga. Di luar rumah pula, perdebatan berlangsung di kedai kopi dalam kalangan para ‘pendebat amatur’ menyangkut pelbagai isu dari siyasah hinggalah ke isu harga durian. Ahli siyasah sendiri hangat berdebat di parlimen mengenai pelbagai isu melibatkan rakyat sehingga ada yang diminta oleh Tuan Speaker untuk keluar dari dewan. Apapun, perdebatan yang pastinya berjalan secara berterusan ialah yang berlaku dalam kalangan para ‘pahlawan papan kekunci’ (keyboard warriors) di ruang media sosial seperti di whatsapp, facebook dan twitter.
Mengapa perdebatan berlaku? Ia berlaku kerana perbezaan yang wujud dalam kalangan manusia sama ada dari segi jantina, ras, kabilah dan kelompok yang semuanya dijadikan Tuhan dengan hikmah untuk saling kenal-mengenali. “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya” (Surah al-Hujurat, ayat 13).
Namun disebabkan manusia juga cenderung mempertahankan pandangan peribadi dan kelompok masing-masing atas pelbagai sebab, maka berlakulah perdebatan sebagai usaha mencari jalan keluar menuju pesetujuan atau sekurang-kurangnya bersetuju untuk tidak bersetuju.
Malangnya, tidak kurang juga perdebatan yang diiringi dengan emosi yang tidak terkawal dan akhirnya membawa kepada perpecahan dan permusuhan. Tidak hairanlah Nabi menyarankan agar manusia meninggalkan perdebatan walaupun kita berada di dalam kebenaran. Dari Abu Umamah, Rasulullah saw. bersabda, “Aku akan menjamin rumah di tepi syurga bagi seseorang yang meninggalkan perdebatan meskipun benar. Aku juga menjamin rumah di tengah syurga bagi seseorang yang meninggalkan pendustaan meskipun dalam keadaan bergurau. Dan aku juga menjamin rumah di syurga yang paling tinggi bagi seseorang yang berakhlak baik.” (H.R. Abu Daud).
Namun, adakah perdebatan semestinya bersifat buruk? Ia sebenarnya amat bergantung kepada matlamat sesuatu perdebatan dilakukan. Sekiranya ia dijalankan atas matlamat mencari kebenaran, maka ia merupakan satu jalan yang harus, malah ada ketikanya boleh menjadi sesuatu yang dituntut.
Al-Qur’an sendiri menjadikan perdebatan sebagai salah satu jalan untuk melakukan dakwah. Surah al-Nahl:125 menyarankan perdebatan yang terbaik sebagai cara untuk memanggil golongan tertentu ke jalan Tuhan. “Panggillah mereka ke jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan (al-hikmah), nasihat yang baik (al-maw’izah al-hasanah) dan berdebatlah dengan perdebatan yang terbaik.” Mufassir Islam terkenal, Imam Fakhr al-Din al-Razi dalam menghuraikan ayat ini mengatakan bahawa perdebatan menjadi salah satu pilihan kerana di dalam masyarakat ada kelompok yang bersifat antagonistik terhadap pendakwah. Mereka hanya boleh didiamkan (dipatahkan hujahnya) melalui perdebatan.
Al-Qur’an juga ketika mencabar orang-orang Nasrani dan Yahudi agar memberikan hujah-hujah mereka sekiranya mereka berada pada tempat yang benar. “Katakan Wahai Muhammad ‘Datangkanlah hujah-hujah kamu sekiranya kamu benar.’ ” (Surah al-Baqarah, ayat 111)
Dalam konteks tradisi keilmuwan, perdebatan berlaku dalam kalangan ilmuwan mengenai mauduk-mauduk besar yang menyangkut hal-ehwal agama dan peradaban. Tokoh ulama Islam Nusantara, Shaikh Zainal Abidin Muhammad al-Fatani dalam kitabnya ‘Aqidat al-Najin menceritakan kisah Imam Abu Hanifah ketika kecil yang telah berdebat dengan seorang ateis (al-dahri) dan berjaya mendiamkan ateis tersebut dengan hujah-hujahnya yang mantap dan kukuh tentang kewujudan Tuhan.
Sejarah Islam juga telah merakamkan perdebatan penting antara Abu Sa’id al-Sirafi dengan Abu Bishr Matta bin Yunus tentang keutamaan antara dan nahu bahasa dan logik di hadapan Wazir di Baghdad pada tahun 932M.
Para penguasa Muslim juga sering menjemput tokoh-tokuh ilmuwan yang berbeza pandangan untuk berdebat tentang perkara-perkara ilmiah yang penting termasuk isu-isu berkaitan perbandingan agama. Dalam pemerintahan Mu’awiyah (661-769), beliau kerap menjemput pihak Kristian Jacobite dan Maronite ke istana untuk berdebat. Begitu juga St. John of Damascus (m.748) dari Syria sering ke istana baginda untuk berdebat di hadapan Khalifah mengenai ketuhanan Isa, sifat Kalam Tuhan serta isu kebebasan manusia dengan kehadiran Khalifah.
Tradisi perdebatan ilmiah yang sihat dalam kalangan ilmuwan ini juga telah melahirkan satu disiplin ilmu yang bernama Adab Perbahasan dan Perdebatan (Adab al-Bahth wa al-Munazarah). Ilmu ini mengajar pendebat cara sesuatu perdebatan seharusnya berjalan bermula dari pentakrifan sesuatu konsep dengan betul sehinggalah cara dan menyusun dan berbalas hujah sehingga sampai kepada kesimpulan dan kebenaran yang dicari.
Ternyata sekiranya sesuatu perdebatan mempunyai matlamat yang baik iaitu bagi mencari kebenaran dan ia diikuti dengan cara dan adab yang betul, pasti ia akan membawa kepada kesimpulan-kesimpulan baru yang bermanfaat dan seterusnya memperkaya khazanah keilmuan dan memperkukuh peradaban. Inilah perdebatan yang disebut oleh al-Qur’an sebagai mujadalah yang terbaik.