ISLAM adalah agama yang membawa rahmat dan menyeru umatnya supaya membuat kebajikan dan bersikap sederhana dalam sebarang tindakan. Matlamat ini seharusnya dihayati setiap umat Islam.
Malangnya umat Islam hanya bersatu dari segi pendapat tetapi dari segi tindakan, mereka berpecah, menyebabkan perselisihan di kalangan umat Islam begitu ketara.
Umat Islam mengutuk keganasan yang berlaku di arena antarabangsa, tetapi malangnya di kalangan umat Islam sendiri, berlaku sikap mengadu domba dan menyemai benih kebencian sesama sendiri. Amalan ini akhirnya membawa kepada tercetusnya keganasan.
Banyak usaha yang dibuat untuk menafikan kaitan Islam dengan keganasan. Namun, pandangan ini tidak pernah diterima golongan yang tidak mahu menerima kebenaran yang dibawa oleh agama Islam.
Dua tragedi besar yang berlaku berturut-turut dalam bulan Oktober lalu, iaitu pengeboman di Bali pada 12 Oktober dan penawanan tebusan di Moscow oleh pejuang Chechnya pada 26 Oktober, menguatkan lagi tanggapan bahawa ada hubung kait keganasan dengan Islam. Ini kerana kedua-dua kes itu membabitkan ‘pengganas’ yang beragama Islam.
Kejadian itu tidak termasuk beberapa pengeboman berani mati di Israel dan Palestin, yang dibalas dengan kerakusan pengganas Israel.
Berikutan peristiwa itu, golongan anti-Islam mengambil kesempatan bagi menyemarakkan lagi api kemarahan dunia terhadap Islam.
Umat Islam kini menjadi mangsa pandangan berat sebelah golongan anti-Islam ini, mengakibatkan umat Islam minoriti di beberapa negara bukan Islam, hidup dalam keadaan ketakutan dan kebimbangan.
Keadaan menjadi lebih buruk apabila perpaduan di kalangan umat Islam sendiri amat rapuh dan tidak mampu mempertahankan diri.
Pada masa yang sama, sementara dunia Barat dan sekutunya bersatu padu, umat Islam pula berpecah menjadi kelompok-kelompok kecil.
Dalam senario ini, kita dapat melihat dunia seolah-olah menuju ke arah polarisasi ketamadunan, seperti yang diramalkan Huntington dalam tulisannya, The Clash of Civilizations and the Remaking of the New World Order.
Persoalannya sekarang adalah, apakah tindakan yang perlu diambil umat Islam untuk menangani isu pertentangan tamadun ini?
Umat Islam mesti melakukan sesuatu secara bersama untuk membanteras salah tanggap ini.
Sekiranya tidak, mereka akan terus dianiayai dan sentiasa berada dalam keadaan serba kekurangan, malahan akan tewas kepada bangsa lain dan berhadapan dengan masa depan yang gelap.
Menyalahkan satu pihak lain adalah satu perkara mudah dilakukan oleh sesiapa saja, tetapi jalan terbaik adalah dengan bersatu dalam memberi kefahaman mengenai nilai-nilai ajaran Islam sebenar kepada dunia.
Islam mesti dipromosikan sebagai agama yang sederhana, adil dan damai berasaskan kepada prinsip tolak ansur, berbaik-baik, saling hormat menghormati dan toleransi. Kefahaman ini bukan saja perlu ditujukan kepada penganut bukan Islam, tetapi harus dilakukan secara ‘dalaman’, iaitu di kalangan umat Islam itu sendiri.
Setiap lapisan umat Islam – sama ada individu, kumpulan, sarjana, barisan kepemimpinan dan ulama – harus melihat langkah ini sebagai satu tanggungjawab besar, satu jihad utama, yang wajib didahulukan.
Dalam memberikan kefahaman itu, perkara pertama yang harus dibuat ialah mengasingkan keganasan sebagai sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Islam.
Tindakan pengganas adalah bukan kerana kehendak Islam tetapi atas desakan dan tekanan kekejaman, ketidakadilan dan penindasan yang dihadapi mereka berasaskan kepada naluri kemanusiaan sejagat secara semula jadi.
Dalam lain perkataan, keganasan tidak ada kaitan langsung dengan agama anutan seseorang itu.
Di kalangan umat Islam sendiri, jihad tidak seharusnya dijadikan alasan mudah untuk melakukan keganasan. Jihad sepatutnya digunakan unetuk memperbaiki kedudukan ekonomi sendiri, memperolehi kekuatan dan pertahanan diri, serta bersatu menghadapi ancaman musuh.
Dalam perkara inilah, perpaduan menjadi amat penting sebagai teras pembangunan dan kejayaan umat Islam.
Seandainya kekuatan dan pertahanan diri umat Islam ini dapat disatu padukan, sudah pasti usaha ke arah memberi kefahaman kepada orang lain dapat dilaksanakan dengan berkesan dan jayanya.
Umat Islam boleh mengambil iktibar daripada bagaimana Amerika Syarikat dan negara-negara di benua Eropah membina kekuatan ekonomi melalui perpaduan.
Di kalangan negara Barat, mereka bergerak ke arah menguasai dunia luar hanya setelah selesai memperkuatkan kekuatan diri. Mereka membina kekuatan ekonomi, membentuk perpaduan dalaman, menguasai ilmu dan teknologi, sehingga berhasil memindahkan kiblat ketamadunan dari dunia Islam ke dunia Barat.
Amerika Syarikat, contohnya, melalui keperitan menyatupadukan negara mereka yang dilanda peperangan saudara. Sebaik saja penyatuan dibuat, langkah-langkah ke arah penguasaan ekonomi, teknologi dan ilmu dilaksanakan, sehingga membawa mereka menjadi kuasa dunia mulai sekitar 1940-an.
Di kalangan negara-negara benua Eropah pula, persepakatan negara-negara itu membentuk Kesatuan Ekonomi Eropah (EC) membolehkan satu intergrasi ekonomi dijalankan dengan pengenalan mata wang Euro. Pengenalan mata wang ini menjadi asas yang mampu memberikan mereka kekuatan dan kepimpinan kukuh untuk terus kekal berkuasa dan berpengaruh di arena antarabangsa.
Jika kita melihat sejarah Islam pula, jelas bahawa keruntuhan kerajaan Islam sejak dahulu adalah disebabkan kerapuhan perpaduan dan pertelagahan sesama sendiri. Perselisihan faham antara ketua-ketua negara Islam menyebabkan empayar Islam yang dulunya bersatu, berpecah kepada berpuluh-puluh negara kecil yang lemah dan terpaksa bergantung kepada ihsan kuasa Barat.
Pemerintah di negara-negara ini merelakan diri dijajah secara tidak langsung oleh Barat, yang kemudiannya mengambil kesempatan untuk terus menguasai ekonomi dan mencatur peta politik Islam.
Dalam keadaan inilah, tanah Palestin diberikan kepada Yahudi yang membawa kepada penubuhan negara Israel.