Assalamu’alaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh dan Salam Sejahtera.
2. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanu Wata’ala oleh kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih lagi dikurniakan dengan pelbagai nikmat. Di antara nikmat yang besar sebagai umat Islam ialah sifat cintakan ilmu.
3. Pada tanggal 6 Julai 2001, Radio IKIM telah dilancarkan, iaitu pada 20 tahun yang lalu.
4. Bermula sebagai satu-satunya radio Islam tanah air yang beroperasi menggunakan sistem digital sepenuhnya, maka Radio IKIM telah berkhidmat kepada masyarakat Malaysia dan dunia amnya, dengan bersiaran 24 jam, dan sekarang dapat didengari di seluruh dunia dengan wujudnya aplikasi radio secara online.
5. Sepanjang 20 tahun ini, Radio IKIM telah berusaha meningkatkan kefahaman Islam menerusi rancangan-rancangan yang menyampaikan ilmu, fakta-fakta dan juga menerusi hiburan berpandukan kepada nilai-nilai Islami. Untuk menjayakan rancangan-rancangannya, Radio IKIM telah mengundang para ilmuwan Islam, seperti Mufti, profesor-profesor, dan wakil-wakil daripada saudara-saudara baru. Radio IKIM banyak mempersembahkan pentafsiran ayat-ayat suci Al-Quran, dan menjelaskan hadith-hadith. Semoga usaha ini mendapat mardhatillah, dan memberi manfaat kepada umat Islam.
6. Sebagai usaha untuk bersama untuk berkongsi ilmu, maka hasil-hasil penyelidikan, penerbitan dan juga program-program muzakarah pakar IKIM turut disiarkan melalui program-program seperti Resolusi, Sains dan Islam, Dunia Ekonomi dan lain-lain.
7. Satu daripada amanah yang diberi kepada Radio IKIM adalah untuk membincangkan isu-isu semasa. Dalam hubungan ini, Radio IKIM menerbitkan program berkaitan dengan COVID-19, dengan disertai oleh pakar-pakar perubatan untuk bersama-sama menggarap ilmu mengenai, antaranya, pandemik COVID-19; Bahaya COVID-19 ke atas Warga Emas; Kenapa Perlu Vaksin? Kepentingan Pematuhan SOP; Wanita Kehamilan dan COVID-19.
8. Pada tahun 2021 ini, pelbagai program akan diadakan dengan pengamalan kebiasaan baharu (norma baharu) antaranya; (i)program “IKIM Bermunajat”, sebagai usaha mendoakan keselamatan rakyat Malaysia daripada pandemik COVID-19; (ii) program “Forum Bicara Ad-Din” dengan tajuk “Cabaran Penyiaran Radio Islami Di Era Kemajuan Digital”, dan; (iii) siaran ucapan-ucapan ulang tahun oleh rakan-rakan kerjasama, pengiklan dan pendengar Radio IKIM, untuk mendapat pandangan mengenai penambahbaikan siaran-siaran Radio IKIM.
9. Pada tahun 2021 ini juga, Radio IKIM telah berjaya meningkatkan jumlah pendengarnya kepada 1.56 juta seminggu, berdasarkan kaji selidik radio GfK Siri 1, 2021. Ini adalah merupakan kadar peningkatan sebanyak 20.4%, dan merupakan jumlah pendengar tertinggi yang pernah dicapai sejak penubuhan Radio IKIM. Sayugia dimaklumkan bahawa antara kumpulan yang tertinggi di kalangan pendengar Radio IKIM adalah kumpulan umur 35 tahun ke atas serta kumpulan pekerjaan professional, pengurusan tinggi, eksekutif, dan usahawan-usahawan. Antara program yang menjadi pilihan kumpulan umur ini ialah segmen Warna Pagi, yang ke udara pada pukul 6 hingga 10 pagi. Segmen ini memberi fokus kepada rancangan-rancangan yang berbentuk inspirasi insan-insan yang berjaya dan membawa pengajaran kehidupan yang boleh dimanfaatkan oleh pendengar. Segmen ini dimanfaatkan dengan penyertaan oleh pakar-pakar dalam bidang-bidang yang tertentu, dan dengan membincangkan isu-isu semasa menerusi media sosial. Rancangan yang paling digemari di dalam segmen Warna Pagi ini antaranya, ialah rancangan Tafsir Al-Quran, Motivasi Pagi, Hayya Bil Arabiah, Bicara Mufti, Minda Islam dan Kesihatan.
10. Radio IKIM akan menyiarkan program Anugerah Pencinta Nasyid (APNI) siri ke-dua, yang akan diadakan pada hujung tahun ini. Penganjuran APNI ini sebagai usaha murni untuk menggalakkan penciptaan irama lagu dan lirik nasyid terbaharu, menerusi tiga tema terpilih, iaitu Ilmu, Amanah, dan Benar.
11. Saya berharap bahawa dengan sokongan para pendengar, dengan kemahiran warga kerja Radio IKIM, dan penyertaan para ilmuwan Islam, maka Radio IKIM akan terus menunaikan amanat penubuhan IKIM untuk memahami Islam dan pembentukan sahsiah Islamiah dan pembinaan tamadun ummah. Semoga usaha Radio IKIM ini ditimbang oleh Allah Subhanahu Wata’ala di atas mizan kebaikan dan kebajikan di akhirat kelak.
12. Sekian, wa billahi taufiq wa al-hidayah wassalamualaikum wa Rahmatullahi wa Barakatuh.