Piala Dunia FIFA Qatar 2022 yang baru melabuhkan tirainya pastinya mencatat pelbagai kenangan serta teladan terbaik buat peminat sukan umumnya dan umat Islam khususnya. Bagi umat Islam, kejohanan sukan paling berprestij begitu bermakna kerana buat pertama kalinya dianjurkan oleh negara Islam. Acara pembukaannya yang gilang-gemilang masih terpahat dalam ingatan. Dialog amat menarik antara Ghanim al-Muftah dengan Morgan Freeman berhubung dengan keperluan untuk saling mengenali antara pelbagai bangsa berasaskan gesaan al-Quran begitu menyentuh jiwa. Keberkesanan dialog antara Ghanim, Duta Piala Dunia Qatar dan juga pempengaruh dengan Freeman, bintang terkenal Hollywood itu membuatkan detik menarik berkenaan tersebar luas di media sosial. Jawapan yang diberikan Ghanim bagi soalan kritis Freeman tentang penyelesaian bagi realiti dunia yang semakin terpecah dan berbeza juga membuka mata hati. Perbezaan dan ketidaksamaan hakikatnya bertujuan untuk masyarakat dunia berusaha mencapai kesatuan. Ternyata perbualan berkesan antara kedua-dua mereka juga menunjukkan bahawa perbezaan dan pertentangan sebaiknya ditangani melalui dialog.
Qatar ternyata berjaya memanfaatkan Piala Dunia yang dianjurkan untuk mengetengahkan prinsip Islam, menyampaikan dakwah dan menzahirkan wajah sebenar Islam. Sejak sekian lama, nama baik Islam tercemar; sama ada disebabkan kecuaian umat Islam sendiri atau juga agenda Islamofobia yang terancang. Keteguhan pendirian negara berkenaan untuk berpegang pada ajaran Islam terserlah melalui penegasan Qatar’s Supreme Committee (SC). Jawatankuasa berkenaan menegaskan bahawa sebarang bentuk penzahiran kasih sayang tanpa mengira orientasi seksual tidak dapat diterima dan memohon agar masyarakat dunia menghormati adat serta tradisi negara berkenaan. Ia berikutan tindakan pasukan England, Wales, Jerman, Belgium, Belanda, Switzerland dan Denmark yang mahu memakai lilitan lengan OneLove bagi memperomosikan kepelbagaian dan LGBT. Langkah berkenaan sebagai protes kepada undang-undang Qatar yang mengharamkan homoseksualiti, namun mereka menarik balik inisiatif tersebut selepas diberikan amaran oleh FIFA. Selain itu, meskipun larangan pengambilan alkohol di lapan buah stadium dipertikaikan oleh media barat, namun ternyata ia disambut baik oleh pengunjung, khususnya wanita. Larangan tersebut bukan sahaja mewujudkan suasana mesra keluarga tetapi juga membolehkan peminat menonton perlawanan dengan tenang dan selamat.
Di samping keteguhan prinsip, kebijaksanaan negara teluk berkenaan memanfaatkan segenap ruang untuk menyampaikan dakwah serta maklumat yang tepat tentang Islam turut dibicarakan dalam pelbagai wadah. Bermula dengan QR Code di setiap bilik hotel dan dalam bas penumpang untuk ke stadium, penjelasan oleh petugas di beberapa buah masjid terutama Masjid Great Katara Blue, Kartaka Cultural Village dan papan elektronik di pintu masjid dalam 30 buah bahasa yang boleh dihubungkan dengan telefon, pengedaran al-Quran dan risalah dalam pelbagai bahasa sehinggalah lambakan maklumat yang disajikan untuk pengunjung di Muzium Kesenian Islam selain pembinaan astaka oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar. Pemberhentian acara pada setiap waktu solat juga membolehkan peminat menunaikan solat di ruangan berdinding kaca dan menimbulkan minat pengunjung bukan Islam untuk mengetahui ibadah yang dilaksanakan Muslim. Wadah yang sebegitu banyak dan pelbagai bertujuan memberikan peluang kepada pengunjung khususnya bukan Islam untuk mengenali Islam dengan lebih baik dan tanpa prejudis selain melalui sumber yang tepat.
Dakwah Islam itu juga lebih ketara melalui paparan Hadis Nabi SAW sebagai mural di serata tempat di Doha yang menggalakkan manusia melakukan perbuatan terpuji. Kandungan Hadis Nabi SAW misalnya, “Setiap kebaikan merupakan sedekah,” malah diterjemahkan dalam amalan penduduk tempatan. Antaranya termasuklah hidangan makanan dan minuman untuk pengunjung saban ketika serta mengundang peminat negara luar bukan sahaja untuk menikmati hidangan tetapi juga menjadi tetamu di rumah mereka. Ribuan pengunjung barat jelas menyatakan kekaguman dan penghargaan mereka kepada kedermawanan serta kebaikan rakyat Qatar. Rasa kagum mendorong mereka misalnya peminat bolasepak dari Florida Amerika Syarikat mengakui bahawa apa yang diperkatakan selama ini di media sosial ternyata amat jauh berbeza dengan apa yang disaksikan sendiri di bumi Qatar. Begitu juga penyokong pasukan Argentina, Gato Scheinaizen yang dijemput menjadi tetamu di rumah penduduk Qatar, Ahmed Pato disebabkan tidak lagi berkemampuan untuk menginap di hotel. Sebagaimana dinyatakan Ahmed, beliau meyakini kemampuan Argentina untuk menjuarai Piala Dunia dan tidak mahu sahabatnya itu pulang serta terlepas peluang meraikannya.
Sebagaimana dikongsikan di akaun Instagram al-Jazeera, kemurahan hati dan keluhuran budi Ahmed benar-benar menyentuh hati nurani Gato lalu menghadiahkan jersi pasukan Argentina sebagai penghargaan serta simbol persahabatan. Jelas masyarakat Islam di Qatar menzahirkan nilai berasaskan kemasyarakatan dan menyuburkan kasih sayang, hormat-menghormati dan suka membantu. Amalan terpuji yang dilakukan bukan sahaja menterjemahkan layanan baik kepada tetamu sebagaimana ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. bahkan juga menghidupkan Sunnah Nabi SAW. Kebijaksanaan Qatar menggunakan pendekatan kasih sayang dan terbuka dalam dakwah berjaya menawan hati sebahagian pengunjung untuk memeluk Islam.
Selain kepimpinan, jawatankuasa dan rakyat Qatar, pasukan yang bertanding seperti Maghribi juga turut membanggakan 1.5 bilion umat Islam. Kejayaan mereka sebagai negara Islam pertama yang berjaya sampai ke separuh akhir, diraikan dengan penuh kesyukuran kepada Allah SWT. Demikian pula setelah tertewas dalam perlawanan menentang Perancis untuk menempah tiket ke perlawanan akhir. Kesyukuran kepada Allah dalam semua keadaan sebagaimana diajar oleh Nabi SAW dizahirkan melalui tindakan bersujud di padang sebagaimana sebelumnya. Sifat dan amalan terpuji pasukan Maghribi juga mendapat perhatian dunia melalui hubungan yang erat antara pemain dengan keluarga mereka. Sebagaimana dinyatakan jurulatihnya, Walid Regragui, berdasarkan pengalaman menyertai Piala Dunia pada tahun 2018, keputusan dibuat untuk membawa anggota keluarga bagi mengukuhkan semangat pasukan dan mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Sokongan dan pelukan kasih sayang antara pemain dengan ibu bapa mereka serta penghargaan besar yang dizahirkan kepada ibu setelah mencapai kemenangan jelas menzahirkan rahsia kejayaan mereka. Tindakan Sofiane Boufal yang meraikan kejayaan menumpaskan Portugal dengan menari bersama-sama ibunya dan Achraf Hakimi yang memeluk serta mencium dahi ibunya, tular di media sosial dan menyentuh hati jutaan peminat yang menyaksikan detik manis berkenaan. Ia bahkan mengundang komen di Twitter bahawa pasukan Morocco menempatkan ibu mereka di tempat paling tinggi lagi utama sepanjang Piala Dunia. Tidak dinafikan sama ada Morocco mahupun Qatar khususnya sebagai penganjur, bukan sahaja menerima penghargaan dan komen membina tetapi juga kecaman berbaur rasis dan Islamofobik terutama daripada media barat sehingga ke Majlis Penutup. Walau bagaimanapun, ia tidak menafikan bahawa banyak perkara yang wajar dipelajari terutama daripada kejayaan penganjuran Piala Dunia oleh Qatar. Penyediaan pelbagai mekanisme dan wadah untuk memperkenalkan Islam serta budaya tempatan tidak akan berjaya dilaksanakan tanpa perancangan teliti. Selain itu, keutuhan pendirian Qatar untuk tidak mengorbankan prinsip dan ajaran Islam demi semata-mata memenuhi kehendak barat, ternyata mengundang rasa hormat yang tiada sempadan. Sebagaimana ditegaskan al-Quran, kaum Yahudi dan Nasrani tidak pernah sekali-kali menyukai apa juga yang dilaksanakan umat Islam melainkan setelah agama dan gaya hidup mereka dituruti. Al-Qur’an juga seterusnya mengingatkan, “Wahai orang yang beriman, sekiranya kamu membela (agama Allah) nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan pendirian kamu.” (Muhammad 47:7)