Dewasa ini tidak dapat dinafikan “impak” kalau pun tidak dikatakan “kuasa” teknologi informasi dan komunikasi (ICT) dalam bentuk facebook dan media-media sosial lainnya ke atas pemikiran masyarakat. Saban hari pelayar-pelayar laman sesawang dan empunya-empunya facebook akan tersentuh dan disentuh oleh/dengan berbagai berita, dan, maklumat tentang fenomena yang menyentuh keagamaan tidak terkecuali di dalam stok bahan-bahan yang diedarkongsi melalui laman-laman sosial tersebut.
Sebuah contoh berita/maklumat yang telah menarik perhatian ramai khalayak facebook adalah yang bertajuk “15 rahsia keajaiban Kaabah”. Di antara Ciri-ciri Keajaiban Kaabah [CKK] tersebut termasuklah: 1. Mekah berada di kawasan graviti yang paling tinggi; 2) Graviti yang tinggi menarik bunyi-bunyi (dalam bentuk gelombang/tenaga) yang tidak dapat didengar tetapi mempunyai kesan positif kepada manusia; 3) Graviti tinggi mempunyai kesan ke atas sistem imun badan; 4) Graviti tinggi “berinteraksi” dengan niat yang dibuat di dalam hati untuk memberi kekuatan dalaman; 5) Pergerakan mengelilingi Kaabah mengikut arah yang berlawanan dengan gerakan jarum jam (anti-clock wise) memberikan tenaga hayat secara semula jadi daripada alam semesta.
Yang nyata daripada senarai CKK ini ialah ciri-ciri tersebut digambarkan melalui konsep-konsep saintifik seperti daya tarikan graviti yang amat tinggi dan ciri ini berkaitan pula dengan gelombang bunyi yang di luar julat pendengaran manusia. Dari sudut sainsnya, manusia memang mempunyai keupayaan mendengar bunyi yang gelombang bunyinya terletak di dalam bahagian tertentu di dalam keseluruahn julat gelombang bunyi yang ada di dunia ini. Ini bererti ada berbagai bunyi yang tidak dapat ditangkap oleh telinga manusia kerana Allah menjadikan keadaan yang sedemikian. Namun di antara bunyi-bunyi yang tidak dapat didengar oleh manusia ini ada yang dapat didengar oleh haiwan-haiwan tertentu dan juga bahagian/anggota badan manusia yang tertentu tanpa kita menyedarinya misalnya.
Maklumat CKK ini seterusnya menjelaskan bagaimana di antara bunyi-bunyian ini ada yang mempunyai impak positif kepada perasaan dan pemikiran manusia. Seterusnyanya CKK menjelaskan kesan graviti tinggi terhadap sistem imun badan serta bagaimana pergerakan melawan arah jarum jam (anti-clock wise) semasa aktiviti bertawaf mempunyai kesan baik terhadap kesihatan fizikal dan mental (psiko-emosi) manusia.
Begitu menakjubkan CKK sehingga ada penerima maklumat yang inginkan pengesahan tentang kebenarannya dari sudut saintifik. Malangnya tidak banyak para saintis yang memberi maklumbalas yang diharapkan. Bagi mereka yang sedia selesa dengan berita-berita kemukjizatan Nabi Muhammad SAW dan Al-Quran itu sendiri seperti yang dihuraikan oleh golongan yang arif di dalam bidang agama, ciri-ciri keajaiban Kaabah akan diterima dengan keraguan minima kerana di dalam pandangan jagat (worldview) Islami mereka, perkara yang “luar biasa” seperti pelbagai mukjizat Nabi-Nabi sememangnya sebahagian daripada lanskap keimanan orang-orang Islam dan hal-hal tersebut diceritakan di dalam Al-Quran. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj yang juga satu keajaiban Rasulullah SAW misalnya menjadi sebahagian ilmu asas (pernah dihuraikan secara saintifik) umat Islam.
Namun bagi mereka yang mungkin lebih prihatin atau berminat kepada aspek “kesaintifikan” (dapat dijelaskan secara rasional berdasarkan fakta empirikal/yang dapat dideriai) fenomena-fenomena berkaitan CKK tersebut, penjelasan hasil penelitian yang menggunakan alat-alat dan bahasa saintifik yang boleh diukur amat dialu-alukan. Secara mudahnya sains cuba memahami alam melalui bidang-bidang seperti fizik (yang mengkaji graviti dan gelombang cahaya dan bunyi misalnya), kimia (yang menjelaskan sifat dan zat-zat jirim seperti kandungan mineral yang luar biasa di dalam air zamzam sebagai contoh) dan biologi (yang menjelaskan tentang fenomena pengaliran darah dan kesannya pada kesihatan fizikal dan psiko-emosi manusia misalnya). Bukti-bukti saintifik boleh dilihat melalui penggunaan alat-alat (teknologi) dan kaedah uji kaji yang boleh dikongsi/saksi oleh semua yang berminat.
Kenapakah golongan yang inginkan pengesahan saintifik kepada ciri-ciri keajaiban Kaabah berbuat demikian? Mungkin dua sebab yang boleh kita lontarkan atau terokai:
•a) Jiwa yang mengimani Maha Pencipta dan Rasulnya akan sentiasa/merindui “penyaksian” apa yang dipercayainya. Dalam konteks berita CKK, Kaabah dan Kota Mekah berkait erat dengan ibadat yang asas umat Islam, iaitu Rukun Islam yang kelima. Pihak ulama dengan kearifannya tentang Quran dan Sunnah sudah pasti menjelaskan kepada kita nas-nas Quran dan Hadith/Sirah tentang ‘apa’, ‘bila’, ‘bagaimana’, ‘kenapa’ serta signifikan/makna ibadat haji di Mekah dan Kaabah di samping elemen-elemen penting yang lain ibadat tersebut yang juga mempunyai keajaibannya sendiri seperti mencium Batu Hajar Aswad, meminum air zamzam, saei, melontar dan lain-lain. Pertemuan semula Nabi Adam dan isterinya di Padang Arafah setelah sekian lama terpisah akibat hasutan syaitan semasa di syurga, semestinya merupakan satu peristiwa yang ada analogi-anologinya dengan keadaan dan jiwa para jemaah haji yang melaksanakan uquf di Arafah tersebut. Begitulah seterusnya orang-orang Islam memahami makna dan kesan segala ibadat yang dilakukannya di mana boleh, kerana setiap ibadat itu ada aspek teori dan praktiknya dan ilmu sains berguna dalam proses penjelasan-penjelasan tersebut.
Berbalik kepada CKK, walaupun deskripsi butir-butir ibadat haji secara teorinya diketahui umum, namun penjelasan empirikal tentang kelebihan-kelebihan perilaku (tawaf, niat, doa) Muslim semasa di Kaabah itu akan dapat menghidupkan lagi kepercayaan seseorang Muslim itu terhadap Maha Pencipta, manusia dan alam.
•b) Dari sudut saintifiknya, apabila muncul bahan-bahan seperti CKK, perlulah ada inisiatif oleh umat Islam sendiri untuk menyiasat samada pernyataan-pernyataan yang dibuat tersebut jelas dari segi sumber maklumatnya dan kesahihan fakta yang dikemukakan. Perlulah ada situasi di mana saintis Muslim dan para ulama bergabung tenaga dan saling membantu bagi membolehkan proses pengukuran ciri-ciri graviti istimewa yang disebut itu boleh dijalankan. Janganlah umat Islam terbelenggu dengan worldview saintifik yang tidak mempercayai alam yang spiritual dan yang ghaib, yang membuatkan usaha memahami terbengkalai dan tidak ada penghujungnya.
Bagi mereka yang masih tertanya-tanya, analisis umum yang dilakukan terhadap laporan-laporan CKK menunjukkan plunsibiliti/kebarangkalian yang baik, memandangkan ada rujukan-rujukan yang boleh dijejaki untuk data sokongan. Di masa yang sama dan sehubungan dengan CKK ini umat Islam juga perlu sedar bahawa ilmu tentang perkara-perkara yang disentuh di dalam ciri-ciri keajaiban (graviti, radiasi tenaga dan lain-lain) tersebut amat luas dan banyak kajian-kajian saintifik yang dilakukan oleh saintis-saintis yang bukan Islam (tetapi yang tidak semestinya prejudis terhadap Islam) wujud dan boleh dirujuk dalam korpus saintifik dunia hari ini. Hakikatnya kita tidak dapat lari dari mendapatkan kerjasama dari segi peralatan dan kepakaran orang lain, sekiranya kita benar-benar ikhlas ingin menyatakan kesahihan “keajaiban-keajaiban” yang kita terima itu. Dengan cara ini kita juga berkemungkinan membantu para saintis bukan Islam Muslim (dan yang Muslim) itu dari aspek metafizikal fenomena graviti Kaabah yang mereka bantu siasat nanti. Mungkinkah hal ini akan serba sedikit membantu umat Islam melaksanakan apa yang ditegaskan oleh ayat 5-6 di dalam Surah Yaasin misalnya?
“Al-Quran itu diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani – supaya Engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk nenek mereka telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran’ sebab itulah mereka lalai.”
Mungkinkah bahasa dan data saintifik (dan juga ilmu-ilmu lain) boleh dilihat sebagai bukan sahaja wahana umat Islam berpeluang menyaksikan kebesaran syariat dan perintah Allah SWT dengan lebih dekat lagi tetapi juga sebagai satu mekanisme yang boleh menyatakan kebenaran Risalah Rasulullah SAW agar apa yang kita baca di dalam Surah Al-Fath (ayat 1, 8-9) menjadi sesuatu yang dapat kita saksikan juga?
“Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata. Seseungguhnya Kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan, supaya kamu sekalian beriman kepada Allah dan Rasulnya menguatkan agamaNya, membesarkanNya. Bertasbihlah kepadaNya di waktu pagi dan petang.”