Pada bulan Mac setiap tahun, terdapat dua sambutan istimewa bertemakan pemuliharaan alam sekitar yang diisytiharkan di peringkat global iaitu Hari Hutan Sedunia (21 Mac) dan Hari Air Sedunia (22 Mac). Dalam menterjemahkan rasa cinta kepada alam, kebiasaannya hari-hari istimewa ini disambut atau diraikan dengan pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan dan kesedaran alam sekitar oleh masyarakat di seluruh dunia. Kedua-dua sambutan ini merupakan antara sebahagian daripada usaha untuk menarik perhatian masyarakat tentang kepentingan memulihara ekosistem hutan dan juga sumber air bersih kepada seluruh hidupan di atas muka bumi.
Sambutan Hari Hutan Sedunia yang akan diraikan sehari lebih awal daripada sambutan Hari Air Sedunia dilihat sangat molek percaturannya memandangkan kedua-dua sumber ini saling berkait rapat antara satu sama lain. Mungkin timbul persoalan kepada segelintir daripada kita, bagaimanakah kedua-dua sumber ini dikatakan mempunyai kesinambungan yang erat antara satu sama lain? Bagi menjawab persoalan ini, eloklah kiranya kita kembali menghayati hikmah dan fungsi kejadian alam itu sendiri serta komponen-komponen hidupan yang ada di dalamnya yang secara fitrahnya saling melengkapi antara satu sama lain.
Dalam erti kata lain, setiap kejadian di atas muka bumi ini mempunyai peranan yang tersendiri dalam membantu proses keseimbangan semulajadi alam. Hal ini telah dinyatakan dengan jelas di dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan)” (Surah al-Qamar, ayat 49), “…dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya kadar yang tertentu” (Surah ar-Ra’ad, ayat 8).
Begitu juga dalam konteks kewujudan ekosistem hutan menghijau yang tidak terkecuali mempunyai fungsi penting bukan sahaja terhadap komponen-komponen alam yang lain, tetapi juga memainkan peranan yang cukup besar dalam menjamin bekalan sumber air bersih kepada kehidupan manusia. Dalam mengaitkan hubungan ini, mungkin timbul lagi kemusykilan kepada sesetengah daripada kita mengenai bagaimanakah pula hutan dikatakan berfungsi dan turut terlibat secara langsung dalam mempengaruhi mutu sumber air yang dibekalkan secara semulajadi di atas muka bumi?
Sebenarnya, selain bertindak sebagai kawasan tadahan air hujan bagi mencegah berlakunya hakisan tanah, ekosistem hutan juga merupakan pengawal aliran air yang sangat cekap dan berkesan. Melalui fungsi ini, ekosistem hutan bertindak sebagai span berongga yang besar yang menyerap air hujan dan mengalirkannya secara perlahan-lahan ke dalam anak sungai, empangan, kolam dan juga tasik. Air yang diserap ke dalam tanah di kawasan yang masih dilitupi oleh hutan akan ditapis dan dituras secara semulajadi yang seterusnya menghasilkan bekalan air bersih dan jernih yang keluar ke permukaan tanah sebagai mata air untuk digunakan oleh manusia dalam aktiviti seharian.
Begitulah besarnya hikmah yang tersirat di sebalik keindahan ekosistem hutan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Namun sayangnya, masih ramai dalam kalangan kita yang tidak menyedari tentang peranan- peranan penting yang tersirat yang dimainkan oleh ekosistem hutan kepada kehidupan kita. Sedangkan, begitu banyak ayat yang telah dinukilkan dengan jelas di dalam al-Quran berhubung saranan-saranan agar manusia sentiasa merenung dan berfikir tentang setiap kejadian di atas muka bumi agar lebih memahami hikmah di sebaliknya.
Antaranya, sebagaimana yang terkandung di dalam firman Allah SWT di dalam surah ar-Raad, ayat 3 dan 4 yang bermaksud: “Dan Dialah yang menjadikan bumi terbentang luas, dan menjadikan padanya gunung-ganang (terdiri kukuh) serta sungai-sungai (yang mengalir). Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, ia dijadikan padanya pasangan: dua-dua. Ia juga melindungi siang dengan malam silih berganti. Sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang (mahu) berfikir. Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa dan baunya). Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.”
Dalam usaha melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai nilai kecintaan yang tinggi terhadap alam sekitar dan juga komponen-komponen yang melengkapinya, maka pemahaman yang lebih jelas terhadap fungsi dan peranan setiap kejadian di atas muka bumi adalah penting. Ini kerana, tanpa pemahaman yang mendalam berhubung perkara-perkara berkenaan pastinya tidak akan terbit kesedaran dalam diri seseorang individu untuk lebih mencintai dan menghargai alam sekitar serta segala komponen yang ada di dalamnya.
Justeru, dalam menjelmakan sebuah masyarakat yang celik alam sekitar, maka sambutan-sambutan yang bertemakan pemuliharaan alam sekitar perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin agar setiap aktiviti yang dilaksanakan dapat memberi kesedaran yang maksimum kepada setiap anggota masyarakat. Misalnya, sambutan Hari Hutan Sedunia dan Hari Air Sedunia yang bakal disambut dalam tempoh lebih kurang seminggu sahaja lagi perlu dirancang dengan lebih teliti agar kedua-dua sambutan tersebut dapat memberikan impak yang berganda kepada usaha pemuliharaan kedua-dua sumber berkenaan.
Malah, ia dilihat sebagai satu bonus kerana sambutannya kelak boleh dijelmakan kepada kempen “Dua Dalam Satu” yakni dua manfaat dapat diperolehi dalam satu-satu program memandangkan kesinambungan rapat antara kedua-dua sumber tersebut (hutan dan air) yang ternyata cukup penting terhadap kelangsungan seluruh kehidupan sejagat. Program yang berorientasikan praktikal dan juga pengisian rohani yang mengetengahkan pendekatan agama juga sewajarnya diterapkan dalam kedua-dua program berkenaan kelak agar pendidikan secara teknikal dan rohani adalah selari dan seimbang bagi menyuntik kesedaran yang lebih menyeluruh dalam diri setiap anggota masyarakat. Mudah-mudahan transformasi dan ‘wajah baru’ sambutan Hari Hutan Sedunia dan Hari Air Sedunia itu nanti lebih terkesan kepada masyarakat dalam usaha menyelamatkan sumber hutan dan air yang kian kritikal pada hari ini.