Ramadan, makan dan makanan sangat sinonim. Pada bulan ini umat Islam diwajibkan menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa termasuk makan dan minum. Ketika ini jugalah, masyarakat Muslim mengambil peluang meraikan hubungan kekeluargaan dan persahabatan dengan menyediakan dan menjamu pelbagai jenis makanan dan minuman semasa berbuka. Bulan Ramadan juga sangat rapat dengan kegiatan di bazar dan bufet Ramadan. Dalam bulan ini juga, kegiatan berkongsi makanan dengan jiran dan golongan yang tidak berkemampuan giat dilakukan. Di samping itu, pada bulan ini juga pelbagai juadah kuih raya mula disediakan.
Dengan itu, hal-hal yang berkaitan dengan kegiatan makan dan makanan dalam bulan Ramadan sangat diberikan perhatian. Pun begitu, hakikatnya, hal tersebut bukanlah keutamaan paling tinggi ketika ini kerana sepatutnya tumpuan diberikan kepada pelaksanaan ibadah wajib dan sunat, misalnya solat berjemaah, melaksanakan pelbagai solat sunat seperti tarawih, bersedekah, berzikir, menjaga lisan dan perbuatan serta banyak lagi.
Oleh sebab rapatnya hubungan kegiatan makan, makanan dan bulan Ramadan, maka pada bulan inilah selalunya berlaku peningkatan jumlah sisa makanan. SWCorp pernah melaporkan bahawa sepanjang 30 hari Ramadan 2015, sisa makanan yang terbuang ialah sebanyak 270,000 tan atau lebih kurang 9000 tan sehari. Manakala, Alam Flora melaporkan pada Ramadan 2017, empat kategori makanan yang dibuang atau sering dikutip ialah sayur-sayuran, makanan di dalam tin yang luput tarikh, sisa makanan yang dihasilkan pengguna dan peniaga serta pembungkusan (plastik) yang digunakan untuk membungkus makanan.
Inilah situasi yang selalu berlaku semasa Ramadan. Peningkatan sisa makanan, yang juga bermakna pembaziran makanan, berlaku secara berleluasa mengatasi bulan-bulan lain. Ini satu kenyataan yang menyedihkan untuk umat Islam kerana ajaran Islam tidak mengizinkan amalan pembaziran. Surah al-A’raf, ayat 31 dengan jelas menunjukkan bahawa manusia dibenarkan untuk makan dan minum tetapi hendaklah mengelakkan amalan pembaziran. Manakala surah al-Israa’, ayat 27 pula mengaitkan orang yang suka membazir sebagai saudara syaitan, makhluk yang sangat kufur kepada Allah SWT.
Namun begitu, tahun ini Ramadan sangat berbeza. Akibat daripada cabaran wabak virus Covid-19, bazar dan bufet Ramadan tidak dibenarkan beroperasi. Ini memaksa keluarga atau isi rumah menyediakan makanan sendiri atau jika ingin kelainan, boleh juga menempah makanan tertentu secara dalam talian. Semua keadaan ini mungkin boleh memberi kesan kepada penghasilan sisa makanan. Kemungkinan besar, jumlah sisa makanan yang dihasilkan Ramadan kali ini tidak sebanyak tahun-tahun sebelumnya. Ini merupakan satu berita gembira kerana sisa makanan dapat dikurangkan.
Walaupun begitu, tidak bermakna kita boleh berlepas tangan. Dalam mana-mana keadaan, usaha untuk mengurangkan sisa makanan hendaklah terus diberi perhatian terutamanya dalam kalangan isi rumah atau keluarga. Ini kerana, data daripada SWCorp. menunjukkan bahawa penghasilan sisa makanan tertinggi semasa Ramadan adalah dalam kalangan isi rumah, iaitu 38% berbanding pasar basah (25%), restoran (23%) dan hotel (7%). Dengan ini, tumpuan untuk mengurangkan sisa makanan dalam kalangan isi rumah perlu terus diberi perhatian.
Masalah utama pembaziran makanan dalam kalangan isi rumah bukan kerana nafsu semata-mata. Menjadi hamba kepada nafsu dalam pembelian dan penyediaan makanan sememangnya cenderung membawa kepada pembaziran atau pembuangan makanan. Pun begitu, faktor-faktor lain yang mempengaruhi pembaziran makanan juga perlu diberi perhatian. Faktor-faktor yang dimaksudkan di sini merangkumi kemahiran isi rumah mengurus makanan dan sisa makanan di kediaman.
Kemahiran adalah penting dalam pengurusan makanan di rumah. Kemahiran yang dimaksudkan ialah kemahiran dalam perancangan, pembelian dan penyimpanan makanan. Perancangan meliputi penyusunan menu dan masakan. Dalam hal ini, keluarga yang menyusun menu untuk satu jangka masa tertentu, misalnya secara mingguan atau bulanan, boleh merancang pembelian makanan dengan lebih teratur. Perancangan menu seterusnya mempengaruhi urusan pembelian makanan. Satu senarai pembelian barang makanan boleh dibuat berdasarkan menu yang telah disusun. Senarai pembelian membantu memudahkan urusan pembelian, mengelakkan pembelian berlebihan dan pastinya ini lebih menjimatkan. Apabila makanan telah dibeli, aspek penyimpanan makanan juga perlu diberi perhatian. Makanan dengan tarikh luput yang lebih pendek seharusnya disimpan di bahagian hadapan tempat penyimpanan agar mudah dilihat. Dalam masa yang sama, penyimpanan makanan yang telah dimasak dengan baik juga merupakan faktor kritikal untuk menjamin jangka hayat makanan. Makanan yang tidak disimpan dengan baik mudah basi atau rosak dan akhirnya akan dibuang. Selain itu, pengurusan sisa atau lebihan makanan yang merangkumi pengasingan sisa dan pembuatan baja kompos juga penting.
Kemahiran yang dinyatakan di sini merupakan sebahagian kemahiran yang diperlukan oleh isi rumah untuk mengatasi masalah pembaziran dan pembuangan makanan di kediaman. Kemahiran ini tidak diajar secara formal di sekolah tetapi boleh dipelajari secara informal melalui pembacaan, pemerhatian dan sebagainya. Namun begitu, berdasarkan kepentingan kemahiran ini dalam usaha pengurangan sisa makanan, maka wajarlah seluruh isi masyarakat menperoleh ilmu ini daripada saluran yang betul. Dalam hal ini, pendidikan dalam komuniti boleh menjadi salah satu saluran yang dimaksudkan. Pendidikan dalam komuniti, bagi masyarakat Islam, boleh difokuskan di tempat-tempat seperti masjid, surau, sekolah-sekolah agama mahupun dalam kalangan NGO berasaskan Islam. Bagi masjid dan surau misalnya, terdapat lebih kurang 6,352 buah masjid dan 18,337 buah surau di seluruh Malaysia. Jika pendidikan dalam komuniti berkaitan pengurangan sisa makanan dapat dilaksanakan di seluruh tempat tersebut, maka impaknya mungkin lebih luas.
Oleh itu, ilmu dan kemahiran penting untuk mengurangkan pembaziran makanan. Usaha ini boleh diperkemas lagi dengan melihat makanan dari sudut nilainya kepada kehidupan manusia agar masyarakat lebih menghargai makanan. Asasnya mudah iaitu makanan penting, semua orang perlu makan namun berpada-padalah, jangan membazir.