Hari ini, 17 Jun 2019 bersamaan 13 Syawal 1440H. Rata-rata ramai warga kota telah meninggalkan kampung halaman dan kembali ke tempat kediaman masing-masing. Kampung telah kembali sunyi, manakala kemeriahan berhari raya di bandar mula dirasai. Warga kota akan mengambil giliran untuk mengadakan rumah terbuka pada hujung minggu sebagai medan untuk berhari raya dengan jiran, handai taulan dan kaum kerabat lainnya.
Mengadakan rumah terbuka sememangnya sesuatu yang baik apatah lagi jika penganjurannya diasaskan kepada tuntutan-tuntutan Islam seperti menyambung silaturahim dengan kaum kerabat; merapatkan hubungan dengan jiran, kawan dan handai taulan; serta memberi makan kepada mereka. Dari segi itu, mengadakan rumah terbuka boleh menjadi lubuk pahala bagi tuan rumah. Namun, jika tidak berhati-hati, ia juga boleh mendatangkan dosa, baik kepada tuan rumah, mahupun tetamu yang hadir.
Terdapat banyak ruang dan peluang untuk tuan rumah mendapatkan pahala. Pertama, mulakan dengan niat yang betul. Seeloknya penganjuran rumah terbuka ini diniatkan untuk memenuhi tuntutan agama seperti menyambung silaturahim, atau merapatkan hubungan dengan jiran dan kawan-kawan, atau memberi makan kepada tetamu atau ketiga-tiganya.
Kedua, peliharalah hak Allah SWT sepanjang penganjuran rumah terbuka itu, baik dari segi solat, mahupun aurat. Seringkali rumah terbuka diadakan bermula jam 12 tengah hari hingga 6 petang. Jika silap percaturan, waktu Zuhur akan berlalu tanpa kita sedari, apatah lagi jika sibuk menguruskan juadah dan melayan tetamu. Maka, berpakatlah dengan ahli keluarga untuk saling mengingatkan sesama sendiri tentang waktu solat serta bergilir-gilirlah menunaikan solat tanpa menjejaskan layanan kepada tetamu.
Ketiga, ketika menyediakan makanan untuk para tetamu, tuan rumah hendaklah menyediakan makanan secara yang berpatutan, tidak terkurang, mahupun terlebih sehingga berlakunya pembaziran. Kita dituntut untuk tidak membazir bukan sahaja pada bulan Ramadan, tetapi sepanjang tahun, termasuklah ketika mengadakan majlis rumah terbuka sempena Syawal ini. Untuk itu, berpada-padalah ketika menetapkan jumlah menu yang dihidangkan, serta kuantiti untuk setiap menu. Dalam hal ini, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Makanan dua orang cukup untuk tiga orang. Makanan untuk tiga orang cukup untuk empat orang.” (Hadis riwayat Bukhari). Ini bermaksud, dalam menyediakan juadah, tuan rumah jangan terlalu bimbang makanan tidak mencukupi sehingga menyediakan makanan lebih daripada yang sepatutnya.
Para tetamu juga boleh mencari pahala ketika berkunjung ke rumah terbuka. Namun, ada syarat-syaratnya. Pertama, niat. Ketika membuat keputusan untuk memenuhi jemputan rumah terbuka, niatkan untuk memenuhi undangan tersebut kerana Allah SWT, demi merapatkan hubungan, dan bukannya dengan niat untuk makan percuma atau cuti memasak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Hak seorang Muslim ke atas Muslim yang lain ada lima perkara: Menjawab salam, menziarahinya ketika sakit, mengikuti jenazah, menerima undangan, dan mengucap rahmat terhadap orang yang bersin.” Dengan niat yang betul, kita telah memberikan tuan rumah haknya dan pastinya Allah SWT akan mengganjari setiap langkah kita itu.
Kedua, jaga hak Allah. Perkembangan terkini menyaksikan situasi di mana kadangkala pada hujung minggu kita perlu memenuhi beberapa jemputan rumah terbuka dalam satu hari. Dalam semangat untuk memenuhi semua undangan itu, janganlah sampai kita melupakan hak Allah iaitu tuntutan solat lima waktu. Rancang perjalanan sebaiknya dengan mengambil kira masa untuk berhenti solat. Dengan alat telekomunikasi yang canggih kini, agak mudah untuk mengenal pasti lokasi surau atau masjid yang terdekat dengan lokasi rumah terbuka.
Ketiga, elakkan pembaziran. Lazimnya, tuan rumah akan menghidangkan pelbagai juadah yang enak secara bufet untuk memastikan kepuasan para hadirin. Namun, berpada-padalah ketika mengambil makanan agar tiada pembaziran berlaku. Ambillah sekadar perlu. Jika tidak mencukupi, tambahlah kemudian. Ini lebih baik daripada mengambil sesuatu juadah dalam kuantiti yang banyak namun tidak menghabiskannya. Pastikan anak-anak juga tidak membazirkan makanan yang disediakan.
Keempat, pelihara adab kita dan ahli keluarga ketika berada di rumah terbuka. Sebagai orang Islam dan Melayu, agama dan budaya kita kaya dengan adab serta nilai-nilai murni yang bertujuan untuk mewujudkan kesejahteraan dalam hidup bermasyarakat. Adab makan, adab berbual, adab berkunjung ke rumah orang dan sebagainya patut diamalkan oleh kita dan anak-anak sepanjang berkunjung ke rumah terbuka. Pesan kepada anak-anak untuk menjaga adab mereka ketika di rumah orang dan sebagai ibu bapa, berikanlah contoh teladan yang baik untuk mereka contohi. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud, “Tiada pemberian yang lebih baik daripada seorang ayah melainkan adab yang mulia.” (Hadis riwayat At-Termidzi). Telahkah kita berikan pemberian itu kepada anak-anak kita?
Akhirnya, untuk mendapat pahala di rumah terbuka, doakan yang baik-baik untuk tuan rumah. Itulah yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW setelah selesai berjamu di rumah Saad bin Ubadah bilamana baginda bersabda, “Telah berbuka di tempat kamu orang-orang yang berpuasa, dan telah memakan makanan kamu orang-orang yang soleh, dan moga-moga para Malaikat merahmati kita.” (Hadis riwayat Abu Daud dan At-Termidzi).
Rumah terbuka Aidil Fitri adalah sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia yang diasaskan kepada tuntutan Islam untuk merapatkan silaturahim, menjalin hubungan baik dengan jiran dan handai taulan serta memberi makan kepada mereka. Dalam konteks ini, rumah terbuka adalah medan untuk mencari pahala, baik untuk tuan rumah, mahupun para tetamu. Penuhi syarat-syaratnya, pahala diperolehi, dosa dijauhi.