Semua isi alam ini diciptakan oleh Allah SWT yang bersifat al-Khaliq. Hal ini seperti yang dinyatakan dalam ayat 2 Surah al-Furqan yang bermaksud: “Tuhan yang menguasai pemerintahan langit dan bumi, dan yang tidak mempunyai anak, serta tidak mempunyai sebarang sekutu dalam pemerintahan-Nya; dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”
Usaha manusia untuk memahami alam tabii yang dicipta oleh Allah SWT membawa kepada perkembangan satu bidang ilmu yang hari ini dikenali sebagai “sains” yang membolehkan manusia mengkaji alam secara tersusun menggunakan metodologi yang ketat supaya dapatan yang diketengahkan adalah sesuatu yang boleh dipercayai. Dalam perbincangan berkenaan virus dan wabak, sains dilihat sebagai wahana yang paling sesuai bagi memperhalusi kefahaman kita tentang perkara tersebut.
Virus ialah satu makhluk Allah yang unik. Virus ialaha antara makhluk Allah yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Ia tidak mempunyai kemampuan untuk membiak di luar daripada sel perumah. Virus dikaitkan dengan pelbagai wabak penyakit seperti pandemik H1N1 yang bermula pada tahun 2009, epidemik Ebola di beberapa negara di Afrika Barat pada tahun 2014, dan terkini pandemik COVID-19 semenjak tahun 2020.
Saintis berbeza pandangan tentang pengkelasan virus sama ada sebagai organisma hidup atau struktur organik yang berinteraksi dengan organisma hidup. Virus mempunyai persamaan dengan organisma hidup kerana ia memiliki gen tetapi ia tidak mempunyai struktur sel. Struktur sel dilihat sebagai unit asas bagi kehidupan. Atas sebab ini, virus sering dianggap sebagai “organisma di pinggiran kehidupan.”
Virus juga tidak mempunyai metabolisme dan bergantung kepada sel perumah untuk membolehkan genomnya diekspresikan. Kebolehupayaan bereplikasi di dalam sel perumah ini yang menjadikan virus sebagai punca kepada banyak penyakit berjangkit kerana ia mudah menyerang sel organisma lain lalu bereplikasi dengan banyaknya.
Ilmu bersifat dinamik apabila ilmu baharu dibina di atas ilmu yang datang sebelumnya. Demikian halnya apabila kita mendepani pandemik COVID-19. Virus SARS-CoV-2 yang menjadi penyebab penyakit COVID-19 merupakan virus baharu yang dikenal pasti pada akhir 2019. Memandangkan ia virus baharu, banyak perkara yang tidak diketahui berkenaan dengannya pada waktu itu.
Jika diteliti daripada awal penyakit ini merebak, sentiasa ada pengemaskinian yang dilakukan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di peringkat antarabangsa dan juga pihak berwajib di setiap negara. Kemas kini yang dibuat ini berdasarkan ilmu mutakhir yang diperoleh berdasarkan dapatan dan penemuan terkini daripada pelbagai penyelidikan yang sedang berjalan.
Dinamisme ilmu dapat dilihat dengan amat jelas dalam isu COVID-19. Dalam tempoh lebih setahun, pelbagai perkara berkenaan virus SARS-CoV-2 mula dirungkai. Namun, perjalanan untuk memahami virus ini dengan sebenar-benarnya masih jauh. Hakikatnya, banyak lagi perkara yang belum diketahui oleh saintis. Banyak persoalan yang belum terjawab berkenaan penyakit ini.
Atas sebab itu, penyelidikan terus giat dilakukan untuk memahami virus ini dengan lebih baik dengan tujuan untuk mencari penyelesaian terbaik bagi jangkitan penyakit COVID-19. Bagi orang awam, penting untuk memastikan agar maklumat berkenaan COVID-19 yang diperoleh ialah maklumat yang terkini, tepat dan sahih daripada sumber-sumber berautoriti.
Hakikatnya ilmu yang sifatnya dinamik akan terus berkembang. Fakta akan terus dikemas kini dan dibetulkan. Perkara yang penting adalah bagi kita untuk sentiasa merujuk kepada mereka yang ahli dalam bidang yang berkenaan di samping menyemak kesahihan dan ketepatan sesuatu perkara yang disampaikan kepada kita apa lagi berkenaan perkara yang memberi kesan kepada kehidupan manusia seperti COVID-19.
Kefahaman yang diperoleh daripada sains berkenaan virus SARS-CoV-2 dapat membantu ulama membuat keputusan tentang isu-isu berkaitan COVID-19 yang berkait langsung dengan kepentingan agama Islam berasaskan fakta dan bukan andaian. Menggunakan data saintifik bagi tujuan penghasilan fatwa misalnya bukan bermaksud memaksakan epistemologi asing ke dalam usaha ijtihad yang dijalankan.
Ulama silam pernah menggunakan ilmu sains yang diketahui pada waktu tersebut dalam membuat keputusan fatwa berkenaan sesuatu isu yang timbul. Misalnya Shihab al-Din al-Qarafi dan Ibn al-Qayyim al-Jawjiyyah membuat keputusan berkenaan pengguguran janin berasaskan pertimbangan ilmu sains pada waktu itu, khususnya embriologi. Sains boleh membantu meningkatkan keyakinan terhadap sesuatu keputusan yang dibuat terutamanya apabila perkara tersebut tidak disebut dengan jelas dalam al-Qurandan al-Hadith.
Virus, sebagai makhluk Allah yang unik, sememangnya tidak dapat dilihat dengan mata kasar tetapi sains membawa bukti bahawa makhluk ini memang wujud. Demikian juga, sains telah menunjukkan bahawa bahaya yang dibawa oleh virus SARS-CoV-2 memang besar. Oleh sebab virus tidak dapat dilihat dengan mata kasar, maka perkara yang perlu diketahui berkenaan makhluk Allah ini hanya boleh diperoleh melalui ilmu sains. Ilmu yang diperoleh berkenaan virus menerusi sains akan dapat membantu manusia mendepani cabaran jangkitan yang disebabkan oleh SARS-CoV-2.
Walaupun penerokaan bidang sains sebagai satu usaha keilmuan yang dijalankan oleh manusia adalah tidak sempurna kerana mempunyai keterbatasan yang tersendiri, bidang ilmu ini masih mampu memberikan manusia asas kukuh yang boleh dipercayai untuk membuat keputusan terbaik bagi berhadapan dengan cabaran kesihatan awam seperti pandemik COVID-19 tanpa menafikan atau menolak kepentingan agama.
Malah, sains boleh membantu umat Islam untuk membuat penyesuaian yang diperlukan bagi menjamin perlindungan terhadap lima prinsip maqasid syariah. Hakikatnya apabila kita meneliti pelbagai saranan agama dalam berhadapan penularan penyakit, kebanyakan saranan tersebut sebenarnya mempunyai asas-asas sains yang kuat.
Dalam hal ini, dapat dilihat bahawa sains dan agama Islam tidak berkonflik antara satu dengan yang lain malahan sains membantu para ulama untuk membuat keputusan yang terbaik demi menjaga kemaslahatan awam yang lebih besar.