Apabila sesuatu tempoh sampai, roda sesebuah tayar kereta mula tidak berfungsi seperti biasa. Hal ini mungkin berlaku disebabkan kereta sering melalui jalan yang berlubang, mengalami kemalangan, atau kerap melalui bonggol jalan dengan laju sehingga berulang kali mengalami hentakan yang kuat pada roda. Dalam perjalanan yang lurus, roda menunjukkan tanda mudah teralih dan terpesong daripada laluannya sehingga memerlukan daya kemudi yang lebih daripada biasa. Oleh sebab itu, sampai masanya sistem roda tayar perlu melalui servis penjajaran (alignment service).
Begitulah juga sifat kehidupan seorang Muslim. Perjalanan rohani menuju destinasi abadi kerap kali melalui cabaran dan halangan yang kadang kala menggoncang keimanan kita sehingga teralih dari landasannya. Berkenaan dugaan ini, kita telah diingatkan oleh Allah SWT dalam surah al-Ankabut, ayat 2–3 yang bermaksud:
Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman,” sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
Sebagai tambahan kepada peringatan ini, Allah juga telah merakamkan dalam al-Quran bahawa akan ada cubaan untuk memesongkan manusia daripada jajaran keimanannya. Cubaan ini tidak lain tidak bukan datangnya daripada makhluk yang sentiasa menyimpan dendam dan kedengkian dengan manusia, iaitu Iblis. Hal ini jelas dirakamkan dalam Surah al-Hijr, ayat 39–40, bahawa Iblis berkata:
Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya, kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang dibersihkan dari sebarang syirik.
Susulan daripada pernyataan Iblis yang jahat itu, Allah berfirman dalam ayat berikutnya, “Inilah satu jalan yang lurus, yang tetap Aku memeliharanya.” Berhubung firman ini, Al-Qurtubi menjelaskan bahawa sebahagian ulama’ tafsir menjelaskan bahawa ayat ini turut membawa erti Allah sentiasa menunjukkan kita ke jalan yang lurus kepada-Nya dan cara untuk menangkis godaan Iblis yang menjauhkan kita daripada jajaran jalan yang lurus ini. Termasuk dalam sifat pemberi taufiq dan hidayah Allah ini ialah dengan mengurniakan kita kesempatan antaranya melalui Ramadan untuk menjajarkan semula kita ke landasan iman kepada-Nya.
Sebelas bulan setelah Ramadan yang lepas, pasti banyak cabaran dan dugaan. Alangkah bertuahnya sekiranya semenjak Ramadan yang lepas kita kekal dan istiaqamah dalam amal kebaikan. Justeru, Ramadan ini ialah kesempatan untuk meningkatkan lagi kebaikan yang telah ada itu. Bagi yang sedikit sebanyak tersasar akibat pelbagai dugaan dan cabaran, Ramadan yang bakal ditempuh adalah tempoh untuk mengaudit pencapaian diri dan menjajarkan semula diri supaya kembali kepada landasan yang asal.
Ramadan merupakan tempoh terbaik untuk ruang penjajaran diri kerana pada waktu ini iblis dan syaitan yang membawa hasutan dibelenggu oleh Allah SWT seperti yang diriwayatkan dalam hadis, “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan ( Riwayat al-Bukhari, hadis 1899).” Sehubungan itu, dalam aspek hubungan perhambaan dengan Allah SWT, Ramadan menjadi tumpuan menyemarakkan semula ibadah yang telah malap pada bulan-bulan sebelumnya.
Malah, ruang penjajaran yang ditawarkan oleh bulan mulia ini bersifat menyeluruh meliputi tidak hanya terhad kepada aspek memperbaiki hubungan perhambaan kepada Allah, malah turut merangkumi aspek memperbaik mutu kesejahteraan diri, mempereratkan hubungan antara manusia, dan menyemarakkan belas kasihan terhadap alam sekeliling.
Dalam aspek kesejahteraan diri, puasa yang disyariatkan pada bulan Ramadan membantu memperbaiki jumlah pengambilan kalori harian kita. Pada saat ini, kita mempunyai kesempatan untuk menjajarkan semula nafsu terhadap makanan dan minuman supaya tubuh badan yang sihat dipelihara dan dipulihara. Pastinya, tubuh badan yang sihat merupakan aset terpenting bagi orang yang sihat dan cita-cita besar bagi orang yang sakit. Penjajaran pemakanan amat penting untuk meraih hal ini.
Dari sudut hubungan sesama manusia, Ramadan menyediakan ruang menyemai silaturahim yang baharu dan menyuburkan kembali hubungan yang telah merenggang. Hubungan ini boleh dimulakan dan dipereratkan dengan amalan bersedekah sama ada dalam bentuk tunai mahupun dalam bentuk pemberian juadah sahur dan berbuka. Bagi mereka yang menerima sedekah, ia menimbulkan rasa dipeduli sehingga mewujudkan perasaan kasih sayang kerana ada orang lain yang mahu menampung sedikit kekurangan yang dihadapi selama ini.
Satu lagi aspek yang kerap dilupakan apabila berkait dengan penjajaran diri ialah tentang hubungan kita dengan alam. Satu daripada beban terhadap alam ialah lambakan sisa pepejal yang menyebabkan pencemaran tanah dan pelepasan karbon yang tinggi. Bulan Ramadan yang memberi ruang menghadkan pengambilan makanan dan minuman boleh dimanfaatkan untuk mengurangkan pembuangan sisa pepejal. Dengan itu, beban terhadap alam sekitar untuk menampung lambakan sisa pepejal dapat dikurangkan, sekaligus memperbaiki kualiti alam sekitar secara umumnya. Ringkasnya, sebuah kereta yang telah melalui servis penjajaran dapat dirasai perbezaannya dengan keselesaan dan kelancaran pemanduaannya. Bagi manusia, servis penjajaran pada bulan Ramadan dapat dirasai dengan berlakunya penambahbaikan kualiti ibadah, silaturahim sesama manusia, dan rasa kepedulian kepada alam sekeliling. Alangkah rugi sekiranya kita tinggalkan Ramadan kali ini tanpa memanfaatkan ruang menjajarkan semula diri menjadi manusia yang lebih baik.