Agama Islam mempunyai keistimewaan dan merupakan satu-satunya agama yang disebut dalam Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan agama Islam ibarat pokok jati yang tinggi menaungi agama-agama lain di Malaysia. Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam merupakan agama bagi Persekutuan. Ini yang selalu ditekankan apabila berbicara tentang konteks kedudukan Islam di Malaysia. Namun begitu, harus ditekankan juga huraian berikutnya dalam peruntukan sama yang berbunyi: “tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.” Ini bermakna, Perlembagaan Persekutuan tidak sama sekali menghalang mana-mana agama untuk dianuti dan diamalkan selagi mana ia tidak menimbulkan kacau-bilau dan hak penganutnya dihormati antara satu sama lain. Mengambil contoh konsep Malaysia MADANI yang berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan, Ihsan merupakan sinonim dengan makna peduli dan belas kasihan terhadap keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan masyarakat terutamanya kelompok minoriti.
Untuk pengetahuan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) telah mengadakan suatu kunjungan hormat ke Majlis Gereja-gereja Malaysia (MGM) di Petaling Jaya, Selangor pada 15 Mac 2023. Kunjungan hormat itu adalah sebahagian daripada projek Piagam Harmoni yang bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan sesama kaum dan agama merentasi fahaman politik, ideologi songsang dan isu-isu kontroversi seputar pluralisme, liberalisme dan ateisme. Malahan kami juga dengan pintu terbuka turut mengalu-alukan lawatan daripada pihak MGM untuk hadir ke IKIM bagi memahami Islam dengan lebih mendalam terutamanya dalam soal-soal kemanusiaan, kesejagatan dan nilai-nilai universal.
Bercakap soal isu kontroversi, pihak IKIM juga mengambil kesempatan berkongsi dengan pihak MGM pandangan berkaitan filem Mentega Terbang yang hangat diperkatakan ketika ini. Satu titik kefahaman dan persamaan (dalam konteks nilai-nilai murni) perlu dijelaskan tanpa menyentuh sensitiviti budaya, ritual dan ‘pantang larang’ sesuatu agama. Contohnya, Islam mengharamkan makan khinzir, Hindu tidak memakan daging lembu dan penganut Kristian yang memahami batas-batas menyentuh anjing oleh seseorang Muslim. Sekiranya terdapat babak seorang Muslim memakan khinzir (walaupun ia tersembunyi dalam seketul kuih pau), Hindu memakan daging lembu dan jiran Kristian yang tanpa cakna membawa anjing peliharaannya ke dalam kawasan jiran Muslimnya (dan membiarkan ia dipegang), apakah mesej sebenar yang ingin disampaikan oleh penulis skrip/penerbit/pengarah/pelakon kepada penontonnya?
Tentang hukum melawat gereja, terdapat beberapa pandangan mazhab seperti Shafie yang mengharamkannya atas ‘illah kewujudan patung-patung (Nihayatul Muhtaj 2/63, Tuhfatul Muhtaj 2/424), Hanafi yang mengharamkannya dalam semua keadaan (al-Bahr al-Raiq 7/364, Hashiyat Ibn ‘Abidin 2/43), sebahagian Hanbali yang memakruhkan melawat gereja yang mempunyai imej. Terdapat juga pandangan mazhab secara umum yang mengharuskan melawat gereja seperti Hanbali (al-Mughni 8/113, al-Insaf 1/496) dan Ibn Hazm al-Zahiri (al-Muhalla 1/400). Mengambil pendapat Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (Irsyad Fatwa #248), mereka berpandangan bahawa hukum asal seorang Muslim masuk ke dalam rumah ibadat agama lain ialah harus sekiranya mempunyai tujuan yang diharuskan oleh syarak seperti untuk berdakwah, memenuhi jemputan berdialog antara agama dan sebagainya. Isi perjanjian antara Saidina ‘Umar al-Kattab dengan Ahlu Dzimmah pada zaman beliau juga menyatakan bahawa kaum Muslimin tidak akan dihalang memasuki geraja pada bila-bila masa, siang atau malam. Kenyataan ini turut digunakan sebagai dalil oleh Imam Ibn Qudamah dalam keharusan Muslim memasuki gereja (al-Syarh al-Kabir ‘ala Matn al-Muqni’ 10/613).
Dalam konteks di Malayis, perkara ini perlu dilihat dalam peruntukan undang-undang yang ada di negeri-negeri. Sekiranya ziarah ke gereja mempunyai agenda tersembunyi bagi “mengembang/menyebarkan” agama bukan Islam kepada orang Islam, ia dikhuatiri melanggar undang-undang seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
Dalam mencapai keharmonian bersama secara aman atau peaceful co-existence (Fiqh Taayush al-Silmi), kami ingin membawa pembaca mentadabbur ayat al-Quran yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).” [Surah al-Hujurat: 13]. Secara asasnya, hubungan dan kesatuan sesama manusia adalah juga bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya hanya pada faham creedal nation (al-ummah al’aqidiyyah). Meskipun berbeza warna kulit, bangsa, politik dan agama, semua manusia itu bersaudara. Fitrah dan jiwa kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang membuatkan kita lebih menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini.
Mengulas tentang keputusan untuk membenarkan pelaksanaan Program ‘Jom Ziarah Gereja,’ Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) YB Senator Dato’ Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata bahawa ia adalah tertakluk kepada bidang kuasa kerajaan negeri dan beliau menghormati sebarang keputusan kerajaan negeri berhubung perkara tersebut. Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh juga dalam kenyataannya menyebut bahawa program itu sememangnya tidak akan melibatkan penyertaan belia Muslim dan program itu bukan bertujuan untuk memberi gambaran semua agama yang dianuti rakyat Malaysia adalah sama rata. Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) juga turut mengambil pendekatan tegas demi memelihara akidah umat Islam di negara ini tertakluk kepada kawalan dan sekatan tertentu sebagaimana yang telah digariskan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang mana adalah menjadi satu kesalahan bagi sebarang program yang dibuat untuk tujuan memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam. Ini juga selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa undang-undang bagi mengawal atau menyekat pengembangan doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang Islam. Dalam kesempatan ini, susulan bantahan program ‘Jom Ziarah Gereja’ yang merupakan inisiatif di bawah Projek Artikel 11 diterajui Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernanung di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), pihak IKIM ingin melontarkan beberapa cadangan bersama pihak-pihak berkaitan supaya sebarang isu berbangkit dapat diselesaikan dengan lebih harmoni dan ilmiah seperti berikut: Pertama, pihak IKIM bersedia menganjurkan sesi dialog tertutup bersama pihak berkaitan; Kedua, pihak KBS perlu memohon kerjasama dengan pihak Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) untuk melakukan program-program yang melibatkan hal-hal keagamaan yang melibatkan orang Islam; Ketiga, satu forum atau seminar tentang topik meraikan kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara serta bagaimana kedudukannya dalam enakmen negeri yang memperuntukkan larangan bagi orang Islam memasuki tempat ibadat orang bukan Islam; dan Keempat, perbincangan santai bersama ahli akademik di slot radio IKIM secara rakaman dalam mengutarakan isu-isu semasa yang menyebabkan ketegangan dan ketidakharmonian. Sebagai rakyat Malaysia yang menginginkan semangat perpaduan dan kekitaan senantiasa subur, titik persamaan dalam perbezaan perlulah dilihat secara berobjektif. Ketegangan yang dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu tidak seharusnya dibiarkan berlarutan kerana ia mampu menjadi barah ketidakharmonian dan perpecahan kaum dalam diam. Sekiranya ia tidak dirawat dan dicari ubat penyelesaiannya sedari awal, maka ketegangan antara agama dan kaum akan membawa negara ke kancah kemusnahan.