Kemakmuran dan kemajuan sesebuah negara banyak bergantung kepada perpaduan dan semangat cintakan negara. Tanpa kedua-duanya adalah agak sukar bagi sesebuah negara mencapai kemajuan yang diidam-idamkan. Keperluan kepada kedua-dua perkara ini lebih mendesak sekiranya sesebuah negara itu didiami oleh masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia.
Jika kita menelusuri sejarah Islam, unsur perpaduan dan kesatuan merupakan satu unsur yang turut diberi perhatian utama oleh Rasulullah SAW semasa era kepimpinan Baginda. Perkara ini dapat dilihat menerusi bukti bertulis Piagam Madinah (Sahifah al-Madinah). Piagam Madinah yang digubal oleh Rasulullah SAW enam abad lebih awal daripada Magna Carta – yang dianggap perlembagaan tertua di Barat – merupakan satu dokumen yang mengandungi 47 fasal. Baginda telah meletakkan unsur perpaduan dan kesatuan dan keperluan merujuk kepada satu perlembagaan sebagai dua fasal awal di dalam piagam tersebut. Bagi menjamin keadilan setiap penduduk Madinah termasuklah mereka yang bukan beragama Islam seperti kaum Yahudi diberi jaminan perlindungan keselamatan selama mana mereka mematuhi piagam ini (Fasal 15 dan Fasal 16).
Walau bagaimanapun hak ini tidak akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berlaku zalim atau mereka yang melakukan kesalahan dan ini dinyatakan dengan jelas di bawah Fasal 47. Selain itu dalam Fasal 37, semua penduduk baik yang beragama Islam atau bukan Islam dikehendaki berganding bahu serta bekerjasama dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran Madinah dalam pelbagai bidang kehidupan seperti ekonomi, kewangan dan kemasyarakatan.
Semangat yang ada dalam Piagam Madinah ini sebenarnya turut terkandung dalam undang-undang dan Perlembagaan Malaysia. Kandungan dalam Piagam Madinah seperti ketaatan kepada pemimpin dan unsur kesatuan; jaminan beragama dan hak asasi serta hak mendapat perlindungan dan keselamatan, turut terkandung di dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.
Di Malaysia, semangat bersatu-padu ini sentiasa dilaung-laungkan oleh ramai pihak termasuklah ahli politik dan golongan pemerintah. Ia menjadi semakin lantang terutamanya semasa sambutan bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia.
Memang tidak dapat dinafikan perpaduan dan semangat patriotisme bukanlah sesuatu yang mudah untuk diwujudkan. Malah dalam kalangan orang Melayu – selaku penduduk majoriti Malaysia – sendiri wujud perpecahan dan perbalahan sesama mereka. Apatah lagi apabila disebut soal perpaduan dalam sebuah negara yang turut dihuni oleh kaum Cina, India, kelompok Bumiputera selain Melayu serta warga asing daripada pelbagai negara. Paling tidak setiap etnik atau kaum itu sedikit sebanyak mempunyai sentimen assabiah atau semangat kesukuan terhadap puak masing-masing.
Menyentuh tentang assabiah ini, seorang sahabat yang bernama Wathilah ibn al-Asqa’ pernah bertanya Rasulullah SAW, “Wahai Rasulullah, apakah termasuk assabiah jika ada seseorang yang cinta kepada kaumnya?” Nabi bersabda: “Tidak, sebenarnya assabiah adalah seseorang membantu kaumnya untuk melakukan kezaliman.” (HR Ahmad).
Berpandukan kepada hadis ini dan dengan melihat kepada konteks Malaysia, adalah bukan sesuatu yang menyalahi hadis ini jika ada mana-mana pihak yang mempunyai sikap assabiah terhadap kaum masing-masing. Hal ini kerana manusia pada dasarnya adalah satu kelompok sosial yang mempunyai kecenderungan untuk hidup secara bersama. Jika manusia hidup secara bersendirian, mereka akan berhadapan dengan pelbagai kesukaran. Paling tidak setiap individu itu memerlukan bantuan dan kerjasama daripada orang lain kerana dia tidak akan mampu untuk memenuhi keperluan asasi dan mempertahankan diri secara bersendirian. Pada masa yang sama suasana konflik, kezaliman dan permusuhan tidak memungkin manusia untuk hidup dalam satu kumpulan sosial yang harmoni. Justeru semangat assabiah atau solidariti sosial atau cintakan kaum amat diperlukan di sini bagi membolehkan manusia menjalani satu kehidupan yang sempurna dan aman di sesebuah negara atau kawasan.
Walau bagaimanapun jika assabiah tadi adalah berdasarkan kepada ketaksuban yang membabi buta sehingga seseorang itu menolak kebenaran atau menafikan hak kumpulan lain, maka ia adalah satu bentuk perkauman yang ditegah oleh Islam. Di Malaysia, sikap taksub kepada pemimpin parti atau kumpulan ajaran tertentu atau idealogi yang didukung oleh sesetengah parti politik atau pertubuhan ada kalanya menyebabkan para pengikut mereka menolak kebenaran dan enggan memperakui hak-hak orang lain walaupun kedua-duanya, yakni kebenaran dan hak-hak itu secara jelas diperakui oleh Islam, undang-undang mahupun perlembagaan negara.
Jadi bagaimana kita mampu untuk mewujudkan semangat kesatuan dan perpaduan dan pada masa yang sama mewujudkan satu sikap assabiah yang lebih besar perspektifnya berbanding assabiah kesukuan?
Pada hemat penulis, dalam sebuah negara yang diwarnai pelbagai latar belakang keturunan, Malaysia seharusnya mempunyai satu sahaja sistem pendidikan. Dewasa ini selain daripada sekolah kebangsaan, kita turut mempunyai sekolah vernakular yang menggunakan bahasa pengantar Cina dan Tamil. Jadi usaha untuk membentuk kesatuan dalam kalangan penduduk daripada peringkat awal sudah ada sedikit kesukaran kerana golongan muda sudah diasingkan daripada bergaul dan berasimilasi sesama mereka.
Malah kewujudan sekolah-sekolah ini dilihat menyumbang kepada pelebaran jurang persefahaman antara kaum di negara kita. Ini dapat dilihat menerusi aspek pergaulan dalam kalangan etnik yang berbeza. Memandang setiap kaum di negara ini sudah diasingkan dalam bentuk pendidikan, sedikit sebanyak mereka akan mempunyai mentaliti untuk mengasingkan diri daripada bergaul dengan kaum lain. Selain itu, mereka akan lebih selesa untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing sedangkan faktor bahasa boleh menjadi alat penyatuan dalam sesebuah negara. Lihat sahaja Thailand dan Indonesia. Orang Melayu Thailand sudah selesa berbahasa Siam dan orang Tionghoa Indonesia sudah selesa berbahasa Indonesia. Ini semuanya adalah hasil sekolah satu aliran kebangsaan sahaja. Malah di negara-negara maju sekalipun, mereka hanya mempunyai satu sistem pendidikan aliran nasional walaupun negara tadi dihuni oleh berbilang bangsa. Hal ini kerana mereka sedar, kesatuan, perpaduan dan semangat patriotisme tidak dapat diwujudkan sekiranya setiap penduduk membawa kepala masing-masing.