Sesebuah negara perlu mempunyai sistem pungutan hasilnya yang tersendiri. Kepentingan sistem pungutan hasil untuk negara bukan sekadar untuk membiayai keperluan perbelanjaan negara tetapi juga untuk mencapai matlamat pengendalian ekonomi negara. Sistem pungutan hasil boleh diguna untuk mempengaruhi peruntukan sumber dalam negara. Ia juga dapat mempengaruhi arah aliran peruntukan penggunaan sumber ekonomi. Pada akhirnya ia juga boleh mempengaruhi kestabilan ekonomi. Matlamat-matlamat ekonomi ini penting dalam pengurusan ekonomi sesebuah negara semoga ekonomi negara sentiasa berada dalam keadaan baik dan mampu menghala kepada ekonomi mampan.
Dalam usaha kerajaan mengubal dasar berkaitan sistem punggutan hasil negara, semangat keadilan ekonomi dan kemantapan muafakat dikalangan rakyat perlu menjadi prinsip-prinsip asas utama. Tanpa prinsip-prinsip tersebut mempengaruhi sistem punggutan hasil negara keutuhan dan keharmonian masyarakat akan tercabar. Semangat tersebut adalah inti kepada kekukuhan dan kecapaian kemajuan ekonomi negara secara berterusan kerana agenda ekonomi berkait rapat dengan keunggulan keadaan sesebuah masyarakat.
Sesebuah negara pada lazimnya mempunyai kekayaannya yang mampu menghasil pendapatan seperti tanah, hutan, bahan galian dan sebagainya. Jika pendapatan dari sumber-sumber tersebut menyumbang secara besar-besaran kepada keperluan negara maka jumlah cukai yang perlu dipunggut mungkin kecil dan ia juga berkemungkinan cukai dikecualikan secara mutlak. Suasana tersebut berbeza dari sesebuah negara dengan yang lain. Dalam sebuah negara Islam, Kerajaan berhak memungut hasil melalui kaedah zakat (wajib), cukai dan pinjaman.
i. Zakat
Zakat adalah rukun dan wajib dipunggut di kalangan masyarakat Islam oleh kerajaan. Ia boleh dikenakan terhadap berikut:
(a) Harta modal – ternakan, komoditi untuk perdagangan, jentera, kilang, tanah sewa, bangunan sewa, saham dan sebagainya.
(b) Pendapatan semasa – keluaran hasil bumi, hasil pertanian, hasil laut dan sebagainya.
(c) Tabungan semasa dan yang lepas – emas, perak, wang dan perhiasan barang kemas wanita dan sebagainya.
Zakat adalah satu kaedah yang dinamik. Ia adalah untuk menyelesaikan persoalan ekonomi golongan daif dan sekaligus mampu mengarah kepada kecapaian keharmonian ekonomi dan pencetusan pertumbuhan ekonomi negara. Matlamat ekonomi ini dapat dicapai melalui pengaruh zakat terhadap kelakuan individu untuk usaha tabungan dan pelaburan kerana asas zakat adalah kepada harta terkumpul. Ia juga akan mengembangkan jumlah kepenggunaan negara apabila selesainya masalah pengangguran golongan daif dengan melibatkan mereka dalam usaha ekonomi. Kemampuan kuasa membeli akan dapat diwujudkan apabila gologan tersebut dapat melibatkan diri dalam usaha ekonomi melalui tabung zakat. Tujuan besar zakat ialah untuk mengubah golongan penerima zakat semoga pada akhirnya menjadi pembayar zakat.
Oleh kerana bentuk pengurusan ekonomi negara semasa jauh berbeza dengan zaman Rasulullah s.a.w. di mana rata-rata negara Islam bukan lagi bergantung kepada ekonomi pertanian, tetapi bergantung kepada ekonomi perindustrian, ruang untuk berijtihad dalam bidang berikut, seperti asas zakat yang dapat dikenakan, nisab zakat, dan cara yang berkesan terhadap pembiayaan tabung zakat, perlu difikirkan secara berterusan.
Di peringkat negara, institusi zakat perlu dapat berperanan dalam mengendalikan dasar fiskal ke arah pencapaian kestabilan ekonomi dan seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pandangan yang maju ini perlu ada kepada ulama, pemikir dan pemerintah negara.
ii. Percukaian
Cukai adalah salah satu di antara alat untuk memungut hasil kepada negara. Ia mungkin dalam bentuk cukai korporat, cukai pendapatan, cukai jualan, cukai import dan eksport; dan sebagainya.
Kerajaan Islam mempunyai hak untuk mengadakan dasar percukaian dalam memungut hasil kepada negara, asalkan dasar tersebut digubal menepati prinsip yang adil dan tidak membebankan individu rakyat (sektor swasta). Hak ini diasaskan kepada hadis Nabi s.a.w. dengan maksud:
“Di dalam harta seseorang terdapat tanggungjawab selebih daripada pembayaran zakat”
Mengikut Marghinani jika sumber pendapatan negara tidak mencukupi, negara perlu memungut cukai daripada rakyat untuk membiayai kepentingan umum.
Begitu juga pandangan Imam Abu Yusuf yang menjelaskan bahawa negara boleh menaik atau menurun kadar cukai mengikut kemampuan rakyat. Khalifah-khalifah ulung Islam seperti Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Ali bin Abi Talib dan Umar ibn ‘Abd al-Aziz, telah dilaporkan memberi tekanan bahawa cukai-cukai yang dikenakan oleh negara hendaklah berasaskan semangat yang menjurus kepada keadilan dan memupuk masyarakat penyayang semoga kadar cukai tidak membebankan rakyat dan tidak diluar kemampuan rakyat membayar.
Sistem percukaian mengikut Islam dengan itu perlu kepada satu pengkajian yang teliti dan rapi menepati prinsip-prinsip di atas. Oleh kerana tahap perekonomian sesebuah negara Islam sekarang jauh berbeza dengan di zaman permulaan Islam, sudah pasti sumber cukai kepada sesebuah negara perlu digubal menepati peranan penglibatan sektor swasta dalam ekonomi sesebuah negara. Justeru itu, falsafah sistem percukaian hendaklah menepati semangat mempertahan hak dan kebebasan individu dan disertai dengan usaha memupuk perasaan dan peranan tanggungjawab ke atas golongan masyarakat yang berada.
Sistem cukai yang digubal oleh sesebuah negara dengan itu jangan sekali-kali bermatlamat untuk membebankan sektor swasta. Disamping sebagai sumber pendapatan hasil negara, sistem cukai hendaklah bermatlamat untuk mempengaruhi sektor swasta ke arah mereka mengambil tindakan positif kepada keharmonian dan seterusnya pembangunan ekonomi negara.
iii. Pinjaman
Kerajaan turut dibenarkan membuat pinjaman melalui sumber dalaman atau dari luar negara untuk membiayai program negara. Negara meminjam bukan sekadar untuk memenuhi keperluan pembiayaannnya tetapi juga untuk mencapai matlamat-matlamat ekonomi seperti menstabil kedudukan ekonomi, mengagih pendapatan dan sebagainya. Sekaligus juga negara perlu memperhitungkan dari dasar pinjamannya semoga kebebasan individu turut tidak terjejas. Di samping mengambil kira kesemua prinsip-prinsip tersebut dasar pinjaman negara perlu juga membuat perhitungan tentang beban hutang yang terpaksa dipikul oleh masyarakat masa hadapan. Beban hutang negara adalah jaminan negara meliputi beban membayar pada masa hadapan.
Dari perbincangan di atas kita dapati bahawa sesebuah negara mempunyai pilihan selain daripada sumber zakat, untuk mengubal dasar semoga keperluan hasil negara dapat dipungut seperti dasar percukaian dan dasar pinjaman.