Awal tahun ini kita dikejutkan dengan fakta penurunan minat terhadap subjek-subjek sains di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah. Risiko yang mungkin dihadapi adalah kekurangan bilangan ahli sains dan jurutera dalam masa terdekat. Pelbagai cadangan diberikan oleh ahli-ahli akademik untuk menjadikan pengajaran dan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik (STEM) lebih menarik.
Penguasaan terhadap sains dan teknologi (ST) adalah faktor kemakmuran, namun mengejar kerjaya dengan matlamat kebendaan semata-mata mudah dikalahkan dengan banyak jalan lain untuk memperolehi kekayaan. Sebaliknya, harus difahami bahawa pelajar-pelajar ini belajar demi memenuhi keperluan-keperluan khusus dalam masyarakat. Oleh itu, masyarakat perlu sedar bahawa sokongan mereka terhadap golongan yang berada di atas jalan ilmu, dalam semua aspek termasuklah kewangan dan moral, pada hakikatnya adalah tanggungjawab bersama atau fardu kifayah mereka.
Kelemahan dalam menggarap asas-asas sains adalah berpunca dari dasar-dasar yang lemah dari segi perumusannya dan juga pelaksanaannya, termasuklah mempelajari sains dan matematik dalam bahasa selain dari bahasa ibunda. Barang diingat, tujuan utama pengajaran STEM adalah untuk memastikan kefahaman konsep-konsep oleh para pelajar. Namun, menjadikan ia ‘ubat ajaib’ untuk 1001 jenis masalah disamping melaksanakannya secara sambil lewa hanyalah menjuruskan kepada kegagalan.
Pendukung-pendukung STEM tidak wajar menganggap subjek-subjek STEM sebagai satu-satunya pemandu kepada pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran kebendaan. Ketiadaan kerangka pemikiran yang melihat sains dan ilmu-ilmu lain termasuklah akidah dan akhlak dalam suatu kesepaduan hanya mendedahkan masyarakat, termasuk kelompok saintifik, kepada kepincangan urus dan tadbir. Kerangka falsafah sains dan teknologi yang bertunjangkan pandangan alam sekular telah melahirkan banyak kerosakan di pelbagai peringkat termasuklah alam sekitar dan sumber-sumbernya. Faham humanisme yang menjanjikan kebebasan mutlak memberi peluang bagi manusia jahil untuk menzahirkan hawa nafsu mereka dalam bentuk ST yang menimbulkan lebih banyak mudarat berbanding manfaat.
Pada hakikatnya, kita memerlukan kerangka falsafah sains kerana dua perkara 1) manusia yang pada dasarnya ialah makhluk yang berfalsafah kerana sifat berkata-kata (nutq) kurniaan Allah S.W.T. 2) untuk menumpukan kepada natijah dan hasil baik yang dikehendaki sesuai dengan tuntutan agama. Persoalan falsafah yang menggariskan keperluan ST adalah sama penting dengan tujuan memperolehi kemajuan di dalamnya.
Peranan pandangan alam amat penting dalam membentuk kerangka falsafah sains yang Islami. Alam difahami sebagai ciptaan Allah S.W.T. dan Dia telah memerintahkan manusia untuk mentadbir dan menjaganya.
Akhir kata, sains dan teknologi mesti diletakkan semula ke tempat betul yakni untuk memahami alam sebagaimana ia diciptakan oleh Allah ‘azza wa jalla, seterusnya memanfaatkan kefahaman tersebut untuk kemaslahatan manusia dan alam yang didiaminya.