Peribahasa “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik juga di negeri sendiri” umumnya merujuk kepada betapa baiknya tempat orang, tetapi baik lagi di tempat sendiri. Kerap kali ia diungkap untuk menggambarkan kerinduan kepada kampung halaman yang ditinggalkan selepas berhijrah ke tempat lain.
Bagaimanapun, peribahasa ini hendaklah tidak dilihat dalam ruang lingkup yang sempit—yakni bahawa seseorang itu langsung tidak patut berhijrah. Hal ini kerana berhijrah ke tempat lain untuk memulakan satu kehidupan baharu, mencari peluang meningkatkan taraf hidup, mendalami ilmu dan berkongsi kepakaran dengan yang lain bukanlah sesuatu perkara yang buruk. Sebaliknya, penghijrahan tersebut memberi manfaat kepada umat manusia. Rasulullah SAW bersabda, “Sebaik-baik manusia ialah yang paling bermanfaat bagi orang lain.” (Hadis riwayat al-Tabrani).
Migrasi atau penghijrahan khususnya ke luar negara merupakan isu yang kompleks. Jurang mobiliti penduduk dunia yang mengurang dengan perkembangan semasa, membolehkan individu membuat keputusan untuk berhijrah ke negara lain. Kadang-kala seseorang yang meninggalkan negaranya bukanlah dengan rela hati tetapi mungkin berpunca daripada situasi tragis, konflik dan bencana yang menyebabkan mereka berhijrah. Ada antaranya menjadi pelarian, mangsa pemerdagangan dan lain-lain sehingga menyebabkan migrasi itu menjadi isu yang kompleks.
Dalam laporan World Migration Report 2022 oleh International Organisation of Migration, United Nations, dianggarkan seramai 281 juta orang atau merangkumi sebanyak 3.6% daripada penduduk dunia telah berhijrah ke negara lain pada 2020.
Dari segi negara, Malaysia adalah antara 20 negara tertinggi yang menerima penghijrah iaitu di tangga ke-17, manakala jiran serantau, Thailand di tangga ke-16. Dari segi negara asal penghijrah pula, tiga negara jiran serantau iaitu Filipina, Indonesia dan Myanmar masing-masing berada di tangga ke-8, ke-13 dan ke-18 manakala Bangladesh di tangga ke-6 daripada senarai 20 negara tertinggi.
Daripada anggaran 272 juta individu yang berhijrah pada 2019 pula, 160 juta daripadanya ialah pekerja yang berhijrah. Ini menunjukkan punca utama migrasi ialah pekerjaan. Malaysia sebagai sebuah negara yang masih berorientasikan intensif buruh pula, sememangnya memerlukan banyak tenaga buruh separuh mahir atau kurang mahir bagi memenuhi keperluan semasa.
Kedatangan tenaga buruh untuk memenuhi sektor pekerjaaan berkemahiran rendah secara tidak terkawal boleh mendatangkan pelbagai isu dalam ekonomi dan sosial seperti tekanan kepada bayaran upah dan gaji yang tidak meningkat; masalah sosial termasuk pencerobohan tanah, pergaduhan, gelandangan; dan, aktiviti jenayah merangkumi pemerdagangan orang dan pelacuran. Isu-isu ini mendatangkan rasa tidak aman kepada masyarakat tempatan.
Isu penghijrahan pekerja dalam sektor berkemahiran sederhana dan rendah ini bukan semata-mata tertumpu kepada ramainya tenaga luar asing datang ke negara ini. Sebaliknya, rakyat Malaysia sendiri juga ada yang berhijrah ke luar negara untuk bekerja dalam sektor berkenaan. Seperti warga asing yang bekerja di negara bukan kelahiran mereka, rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara dalam sektor tertentu juga berisiko menjadi mangsa sindiket penipuan kerja.
Baru-baru ini negara digemparkan dengan berita seorang warga tempatan meninggal dunia di Thailand pada Mei lalu disyaki menjadi mangsa sindiket penipuan kerja. Lebih menyedihkan, keluargan si mati mengetahui kematiannya hanya selepas beberapa bulan terputus hubungan. Dalam kes yang berbeza, tawaran gaji lumayan telah menjerat rakyat Malaysia dengan sindiket penipuan kerja di Kemboja seperti makluman daripada kumpulan rakyat Malaysia yang telah diselamatkan pada awal September lalu.
Antara tawaran kerja oleh sindiket berkenaan termasuklah sebagai penyambut tetamu atau pegawai pemasaran di hotel-hotel yang mempunyai operasi kasino tanpa perlu melalui proses temuduga atau dokumentasi. Dalam erti kata lain, tawaran kerja tersebut bukanlah dalam sektor berkemahiran tinggi yang setimpal dengan gaji tinggi yang ditawarkan.
Islam menggariskan kepada umatnya untuk “tabayyun” apabila menerima sesuatu perkhabaran. Tabayyun umumnya bermaksud mensabit dan menyemak asas kebenaran sebarang maklumat. Tujuannya ialah termasuk bagi mengelakkan prasangka, penipuan dan fitnah. Dalam hal ini, individu yang menerima tawaran kerja hendaklah menyemak dan mengesah tawaran tersebut sebelum menerimanya. Usaha ini termasuklah berbincang dengan ahli keluarga, rakan-rakan atau merujuk kepada agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan mereka tidak ditipu.
Dalam isu tawaran kerja di luar negara, dapat dilihat sebenarnya rakyat Malaysia sanggup bekerja dalam sektor berkemahiran rendah khusus dalam bidang 3D (dirty, dangerous, difficult) sehingga mereka sanggup berhijrah ke negara lain. Sudah tentu tawaran upah yang tinggi menjadi alasan kuat untuk mereka menerima tawaran berkenaan. Ironinya, di negara sendiri, kita mengimport banyak tenaga buruh asing untuk bekerja dalam sektor 3D atas alasan warga tempatan tidak berminat untuk bekerja dalam sektor tersebut. Namun, realiti yang pahit ialah upah yang ditawarkan di negara sendiri dilihat tidak setimpal dengan kos sara hidup semasa. Migrasi disebabkan pekerjaan khususnya bagi sektor berkemahiran sederhana dan rendah bukanlah indah seperti yang dibayangkan, bukanlah jua buruk seperti yang sering dipaparkan. Hakikatnya, individu bebas membuat keputusan demi manfaat dirinya. Setiap keputusan tersebut pula hendaklah ditimbang dengan teliti dan bijaksana bagi mengelakkan diri daripada terjebak ke dalam sindiket penipuan kerja.