BANYAK kupasan dan tulisan mengenai peristiwa 11 September 2001 yang menyaksikan tumbangnya Pusat Dagangan Dunia di New York, Amerika Syarikat dibuat oleh pelbagai pihak. Pastinya peristiwa itu satu detik hitam dalam sejarah manusia.
Namun, satu kesan yang tidak boleh disangkal lagi yang timbul akibat peristiwa 11 September ini ialah Islam dikaitkan dengan keganasan. Ini bukanlah suatu perkara baru, tetapi tanggapan seperti ini diperkukuhkan dengan peristiwa itu. Akibatnya, dua negara Islam iaitu Afghanistan dan Iraq menjadi mangsa pencerobohan tentera yang dikepalai oleh Amerika dan Britain. Umat Islam di seluruh dunia terutama di Barat melalui saat getir apabila dipandang serong sebagai pengganas.
Selepas empat tahun berlalu, adakah tanggapan serong ini masih berlaku? Daripada laporan media, nampaknya tanggapan ini masih berleluasa. Di Britain, misalnya, apabila berlaku serangan ke atas system pengangkutannya baru-baru ini, penduduk Islam Britain sekali lagi menghadapi waktu sukar apabila dicap sebagai pengganas.
Dalam kita memperingati dan bersimpati dengan mangsa keganasan yang berlaku di Amerika dan Britain ini, kita perlu memastikan bahawa Islam tidak dikaitkan sama dengan apa yang berlaku. Ya, mungkin yang melakukan keganasan ini adalah orang Islam, tetapi ini tidak bermakna bahawa ajaran Islam menganjurkan keganasan.
Islam sama sekali tidak memperakui tindakan menjadikan orang awam yang tidak terbabit dalam peperangan, kanak-kanak, wanita dan orang tua sebagai mangsa. Malah, Islam melindungi hak mereka ini. Apa yang berlaku di Amerika pada 11 September adalah tindakan yang dilakukan di luar batasan kefahaman Islam yang sebenar.
Mereka yang melakukan tindakan keganasan seperti itu adalah pihak yang tidak memahami inti pati ajaran Islam, sebaliknya sekadar mengambil sepotong dua ayat al-Quran lantas mentafsirkannya mengikut kefahaman yang tidak tepat. Ini adalah tindakan berbahaya kerana boleh mengundang kekeliruan terhadap Islam.
Malah, inilah yang kita lihat berlaku pasca 11 September apabila Islam dipandang serong oleh masyarakat dunia, sedangkan tindakan itu dilakukan oleh segelintir orang Islam yang mempunyai agenda tertentu yang bercanggah dengan tuntutan agama.
Kesan daripada tindakan sekumpulan kecil ini menyebabkan seluruh umat Islam di dunia merasai pukulannya.
Apabila membicarakan 11 September, satu lagi perkara yang perlu sedari ialah bahawa kita perlu mempunyai pegangan moral yang konsisten. Hal ini bermakna jika kita mengutuk serangan pengganas di Amerika, kita juga perlu mengutuk serangan ke atas orang awam yang beragama Islam, contohnya, yang dilakukan oleh Israel.
Mengapa perlu wujud pandangan yang berbeza apabila kumpulan yang diserang dan dibunuh adalah orang Islam? Mengapa dunia menutup sebelah mata apabila Israel mencabul hak asasi manusia di Palestin? Sehubungan itu, kita juga perlu sedar bahawa ada banyak lagi peristiwa 11 September yang juga tragedi kemanusiaan yang tidak sepatutnya berlaku.
Semuanya bermula pada 11 September 1922 apabila kerajaan British menyerahkan tanah Palestin yang bukan miliknya kepada orang Yahudi menyebabkan penduduk Palestin menjadi pelarian di bumi sendiri. Eropah dan Amerika hanya memejamkan mata kepada kekejaman Zionis yang berlarutan sehingga ke hari ini.
Begitu juga tragedi yang menimpa penduduk Palestin dan Lubnan di kem pelarian Sabra dan Shatila yang berlaku pada September 1982. Selama tiga hari berturut-turut, mereka dirogol dan dibunuh dengan kejam menyebabkan 3,500 orang awam mati. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu walaupun mengecam tindakan di Sabra dan Shatila sebagai pembunuhan beramai-ramai, hakikatnya tiada yang meratapi atau mengenang peristiwa ini. Tidak ada upacara peringatan seperti yang dilakukan di Ground Zero di New York.
Tidak ada juga kupasan dan tulisan mengenai mangsa kekejaman ini.
Demikian juga halnya dengan kekejaman yang membawa kepada pembersihan etnik di Bosnia. Mengapa tiada kuasa besar menghantar tentera untuk membebaskan penduduk Bosnia yang dibunuh oleh tentera Serbia? Adakah kerana Bosnia tidak mempunyai kepentingan daripada sudut ekonomi dan politik seperti Iraq dan Afghanistan?
Pada 11 September 1990 pula, Presiden Amerika Syarikat ketika itu, George Bush mengisytiharkan perang ke aras Iraq sehingga mencetuskan Perang Teluk yang pertama. Iraq dan penduduknya menjadi mangsa pengeboman dan serangan peluru berpandu untuk berbulan-bulan lamanya.
Justeru, kita tidak boleh bertindak pilih kasih atau memejamkan sebelah mata apabila mengutuk satu-satu tindakan keganasan. Tidak kira di mana ia berlaku, sama ada ke atas penduduk sebuah negara maju atau penduduk Islam yang tidak punya apa-apa, keganasan adalah suatu tindakan yang bercanggah dengan Islam.
Hanya kerana media memberikan tumpuan liputan yang luas ke atas serangan 11 September di Amerika, tidak bermakna bahawa keganasan yang lebih hebat lagi tidak berlaku di sudut dunia yang lain. Maka atas sebab ini, kita hendaklah prihatin dengan perkembangan yang berlaku di seluruh pelusuk dunia supaya kita mempunyai satu perspektif yang lebih luas, bukan setakat apa yang dihidangkan kepada kita oleh media yang dikuasai oleh Barat.
Islam menganjurkan keamanan. Islam amat menghargai nyawa manusia. Malah, Islam hanya membenarkan peperangan sebagai langkah akhir untuk mempertahankan diri dan maruah, itu pun lengkap dengan adab untuk berperang demi menjamin keselamatan mereka yang tidak lemah dan tidak berdosa.
Maka, janganlah kita sekadar melihat peristiwa 11 September yang berlaku empat tahun yang lalu sebagai satu peristiwa malang yang berlaku ke atas Amerika. Sebaliknya, perlu melihat peristiwa 11 September itu sebagai satu daripada banyak bentuk keganasan dan kezaliman yang berlaku di dunia ini termasuk ke atas umat Islam sendiri.