BUDAYA kerja membicarakan bagaimana aliran pemikiran, perasaan dan cara sesebuah masyarakat menjalani kerja. Budaya kerja yang menepati falsafah dan nilai etika Islam akan melahirkan ciri berikut dalam menyusun dan menjalani kerja oleh anggota pekerja dalam sesebuah organisasi:
Pertama, organisasi dan pekerja Muslim seharusnya sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti prestasi kerjanya.
Mereka yang berkecimpung dalam pekerjaan dianggap sebagai tuntutan keagamaan dan ibadah. Kualiti prestasi kerja sebagai nilai positif yang mampu sentiasa dimajukan. Pandangan ini memerlukan kepada usaha mewujudkan satu budaya semoga meningkatkan kualiti pekerjaan adalah usaha yang berterusan untuk semua lapisan pekerja.
Budaya kerja Islam membina kekuatan melalui mekanisme dalaman iaitu menghubungkan usaha dan menjalani pekerjaan sebagai tuntutan keagamaan. Bagi seseorang pekerja Muslim yang ingin menghayati Islam, beliau seharusnya turut berusaha meningkatkan prestasi kerja dari semasa ke semasa.
Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang daripada kamu melakukan sesuatu kerja, maka dia melakukannya dengan penuh ketelitian dan dengan sebaik-baiknya.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Mekanisme dalaman ini yang sepatutnya memotivasikan pekerja Muslim untuk berprestasi tinggi. Tetapi, pada realiti semasa pekerja Muslim tidak memahami Islam secara menyeluruh dan melihat tugas pekerjaan sebagai sesuatu yang berpisah dari paksi keagamaan. Untuk membangun budaya kerja berterusan berprestasi tinggi, pekerja Muslim perlu diberi kefahaman bahawa berprestasi kerja berkualiti adalah tuntutan Islam.
Kedua, menepati semangat tauhid yang menganjurkan faktor dalam diri manusia dalam satu kesatuan.
Peningkatan prestasi kerja seharus dicapai melalui penghayatan peningkatan akhlak pekerja.
Islam melihat tuntutan akhlak sebagai sesuatu yang positif dan dinamik. Akhlak membentuk sikap dan daya penggerak positif kepada kemajuan pekerja dari semua dimensi. Justeru, agama menuntut umatnya supaya sentiasa kreatif dan bersikap proaktif. Tanpa budaya akhlak yang tinggi prestasi pekerja akan menghadapi kemelesetan.
Ketiga, budaya kerja Islam memberi tekanan yang tinggi kepada disiplin.
Umat Islam sepatutnya, melalui penghayatan ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji sepatutnya memiliki disiplin tinggi. Masyarakat tanpa disiplin akan pasti menghadapi krisis dalam kehidupan termasuk dalam melaksanakan pekerjaan.
Islam memberi perhatian khusus terhadap pengurusan kuasa, masa dan sumber pembuatan. Islam mengutuk mereka yang tidak mengguna kuasa dengan berkesan dan menghormati masa (maksud surah al-‘Asr). Begitu juga dengan penggunaan sumber dalam proses pengeluaran dan penggunaan. Allah menghubung kait mereka yang membazir sama dengan amalan syaitan.
Keempat, menepati semangat tauhid yang mengajurkan kepada kesatuan dalam matlamat dan penghayatan roh syura dalam tindakan bermasyarakat.
Oleh itu, Islam menganjur kepada budaya kerja secara bermuafakat dan berpasukan. Bagi Islam, pada fitrahnya keberkesanan dalam menjalani pekerjaan akan tercapai melalui semangat bekerja secara bermuafakat dan berpasukan. Semangat ini secara tidak langsung diberi perhatian yang utama oleh budaya kerja Jepun.
Kaedah pendekatan pengurusan pekerjaan dalam masyarakat Jepun bergantung dengan tegas kepada penentangan pandangan hidup yang berasas nilai individualisme masyarakat Barat. Tradisi kefahaman masyarakat Jepun menyakini bahawa kehidupan bermasyarakat lebih menjamin kepada kejayaan daripada keutamaan hidup secara individu. Keutamaan kepada hidup berkelompok ini mendasari pendekatan pengurusan pekerjaan Jepun.
Mikio Sumiya seorang ilmuwan Jepun, berpandangan bahawa menghayati semangat hidup berkumpulan dibentuk untuk meningkat prestasi kerja. Katanya : “Kepentingan kumpulan mengatasi kepentingan ahlinya dan hasilnya corak gelagat individu kekal berpusatkan kumpulan.”
Hasil kepada pandangan hidup yang menumpu kepada kepentingan kumpulan, pengurusan pekerjaan Jepun memperkenalkan satu mekanisme dinamakan kumpulan kualiti. Melalui pendekatan yang diperkenalkan pada 1962, mutu pengeluaran dapat ditingkatkan. Pendekatan ini bersesuaian dengan aspirasi hidup pekerja Jepun yang menumpu kepada semangat setiakawan yang memberi peluang untuk semua pekerja terbabit dan memberi pandangan dalam proses membuat keputusan. Melalui pendekatan ini dan penekanan kepada peningkatan kualiti, penghasilan secara berterusan (Kaizen) dapat dijayakan oleh pekerja di Jepun.
Islam mendidik umatnya semoga memahami hakikat bahawa manusia turut mengikut fitrahnya memiliki sifat sosial. Justeru, menjalankan tugas secara muafakat adalah tuntutan tabii manusia semula jadi.