Raja Ali Haji, dalam syairnya, Nasehat kepada Anak mengungkap nasihat, teguran, dan panduan amat bermakna buat golongan muda remaja. Nasihat tersebut berkisar tentang lima perkara, iaitu tanggungjawab sebagai pemimpin, keutamaan akhlak, budi bahasa, dan adab susila, galakan menuntut ilmu, selain kepentingan mengawal hawa nafsu. Kelima-lima perkara tersebut merangkumi tanggungjawab yang dipikul dan cabaran yang akan dihadapi mereka sepanjang kehidupan. Syair pujangga Melayu-Bugis yang berasal dari Kepulauan Riau itu menunjukkan peri pentingnya nasihat dalam kehidupan seseorang remaja dan belia. Apatah pula nasihat daripada seorang bapa yang memikul tanggungjawab sebagai pemimpin keluarga. Pemimpin yang dipandang tinggi dan dijadikan teladan oleh anak-anaknya dalam melayari kehidupan mereka yang serba menguji.
Tanggungjawab besar yang dipikul oleh seorang bapa dijelaskan oleh al-Qur’an dan oleh Hadith-Hadith Nabi s.a.w. Sebagai contoh al-Qur’an memberikan amaran kepada golongan yang beriman, khususnya ketua keluarga agar berusaha memelihara diri dan keluarga mereka daripada api neraka (Surah al-Tahrim 66 : 6). Amaran ini diteguhkan oleh ayat lain yang menjelaskan kewajipan memerintahkan anggota keluarga mendirikan solat. Maksudnya, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mendirikan solat dan hendaklah kamu tekun bersabar mendirikannya.” (Surah Taha 20 : 132). Demikian pula seterusnya al-Qur’an menegaskan kepentingan nasihat, peringatan, serta amaran kepada keluarga dan kerabat yang dekat (Surah al-Syu`ara’ 26 : 214).
Diriwayatkan bahawa ketika turunnya ayat ini Sayyidina `Umar r.a. bertanya kepada Nabi s.a.w., “Wahai Rasulullah, kami menjaga diri kami sendiri. Tetapi bagaimana pula kami dapat menjaga keluarga kami? Baginda s.a.w. menjawab, “Kamu melarang mereka daripada melakukan apa yang dilarang oleh Allah dan memerintahkan mereka supaya melakukan apa yang diperintahkan Allah atas kamu. Yang demikian itu menjadi perisai antara diri mereka dengan neraka.” Ibn al-Munzir dan al-Hakim serta perawi-perawi yang lain meriwayatkan daripada Sayyidina `Ali k.w. bahawa beliau mengatakan ayat tersebut menerangkan kewajipan mendidik diri sendiri serta anggota keluarga tentang kebaikan.
Jawapan yang diberikan oleh Nabi s.a.w. kepada pertanyaan Sayyidina `Umar r.a. itu jelas menunjukkan tanggungjawab menyeru anggota keluarga untuk melaksanakan perintah Allah s.w.t. atau kebaikan serta menjauhi larangan-Nya atau kemungkaran (al-amr bil ma`ruf wan nahy `anil munkar). Tanggungjawab tersebut sudah pastinya dipikul oleh ketua keluarga, iaitu suami atau bapa. Secara umumnya setiap suami atau bapa pasti maklum akan tanggungjawab besar yang diamanahkan itu lantaran telah sering diingatkan. Daripada pengajian di sekolah sehingga khutbah Jumaat, kuliah, ceramah, dan tazkirah yang tidak terjumlah kekerapannya. Namun dari sudut amalannya berapa banyakkah antara mereka yang memberi perhatian terhadap keupayaan dan kesungguhan melaksanakannya.
Sebilangan orang bersungguh-sungguh melunaskan tanggungjawab itu kerana menyedari hakikat yang pasti. Bahawa mereka kelak akan dipersoal sedalam-dalamnya tentang tanggungjawab yang telah dengan rela dipikul oleh mereka sebagai ketua keluarga. Bahawa juga mereka bukan sekadar bertanggungjawab menyediakan nafkah; makan dan minum serta keperluan lainnya. Sebaliknya perlu berusaha keras mendidik anggota keluarga untuk mematuhi perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Justeru, setiap suami atau bapa perlu sentiasa bermuhasabah, mengakui kesilapan, dan bersedia memperbaiki diri. Tanggungjawab mendidik anggota keluarga, khususnya anak-anak tidak harus diserahkan sepenuhnya kepada orang lain seperti guru-guru. Jika kemampuan dan kekurangan ilmu selain keterbatasan waktu menjadi alasannya, maka haruslah permasalahan itu diatasi sedaya mungkin. Sebagai contoh ilmu serta guru segera didapatkan dan masa diuruskan sebaiknya. Atau pula dilakukan pengorbanan tertentu.
Seseorang bapa harus menyedari bahawa keupayaan serta kewibawaan dirinya sebagai teladan dan pembimbing anak-anaknya perlu ditingkatkan. Hal ini mengambil kira bahawa mereka semakin dewasa. Dunia semakin rencam dan cabaran pula semakin besar. Kerencaman dunia membawa bersama-samanya perubahan yang tidak terduga. Jika dahulunya bapa berkenaan hidup dalam lingkungan sanak-saudara yang besar bilangannya di desa tetapi kini tidak lagi. Kehidupan berkeluarga kini dijalani secara berdikari. Tiada lagi sanak-saudara di sisi. Cabaran getir membesarkan dan mendidik anak-anak dihadapinya bersendirian. Perubahan secara fizikal itu turut melunturkan nilai-nilai mulia yang tersemai sekian lama dalam setiap keluarga dan masyarakat. Jika dahulunya urusan dan permasalahan keluarga turut dibantu untuk diselesaikan anggota keluarga yang besar. Demikian juga tanggungjawab menasihati dan menegur anak-anak. Sanak-saudara bahkan juga jiran tetangga turut berkongsi tanggungjawab tersebut. Namun kini nilai mulia tersebut dirasakan begitu asing sekali. Malah tidak mustahil individu yang cuba menerapkannya kembali ditimpakan kemudaratan tertentu. Niatnya yang luhur belum tentu dibalas secara setara.
Jika tanggungjawab yang diterima oleh seseorang suami atau bapa dahulunya tidak diiringi kesedaran tentang ilmu yang perlu dimiliki bagi menyempurnakannya, maka sudah pasti ia dilanda kebuntuan dalam menghadapi sesuatu kesulitan. Misalnya pembabitan anaknya dalam salah laku cuba diatasi dengan merujuk sekalian insan yang dianggap guru dan pakar. Nasihat, petua, dan panduan cuba didapatkan bagi memulihkan kebejatan akhlak anaknya. Pada fikirannya, usaha itulah semata-mata yang dapat meleraikan masalah yang sedang dihadapi. Ia terlupa sama sekali bahawa kelemahan atau kekurangan diri sebagai ketua keluargalah yang lebih utama untuk diatasi.
Seseorang suami atau bapa juga tidak wajar sama sekali menyerahkan tanggungjawab mendidik dan menguruskan anak-anak kepada isteri semata-mata. Hal ini barangkali disebabkan tanggapannya bahawa tanggungjawab menyediakan nafkah sudah memadai. Malah sudah terlalu berat untuk membolehkan ia melaksanakan tugas mendidik dan membentuk keperibadian anak-anak. Dengan demikian, dibiarkan isterinya mengatur, merencana, dan mengatasi apa juga permasalahan yang timbul. Maka sudah tentulah si isteri dilanda kesulitan berganda kerana bebanan yang seharusnya dikongsi bersama akhirnya dipikul bersendirian.
Realiti yang dapat dilihat ini membolehkan kita membuat rumusan tertentu. Bahawa sistem pendidikan negara belum mampu melahirkan insan yang memiliki ilmu, kebijaksanaan, dan kewibawaan untuk memainkan peranan dengan berkesan termasuk sebagai ibu bapa. Justeru perubahan yang bakal dilaksanakan terhadap sistem pendidikan kini yang lebih berorientasikan peperiksaan benar-benar diharap dapat mengatasi kelemahan tersebut. Sistem pendidikan yang lebih menumpukan pada garapan kemahiran tertentu diharap dapat melahirkan ibu bapa yang berkeupayaan melaksanakan tanggungjawab memberikan pendidikan asas, iaitu keimanan dan keagamaan. Pendidikan asas lagi amat penting itu, sebagaimana dilaksanakan generasi silam sudah pasti menyerlahkan kewibawaan diri, khususnya golongan bapa. Dalam menyampaikan pendidikan itu sudah tentu pula nasihat dan peringatan sentiasa diselitkan. Justeru, hubungan erat telah terjalin antara bapa dengan anaknya berasaskan pendidikan, nasihat, dan peringatan. Seandainya berlaku salah laku; terlanjur panjang tangan atau anak tetangga mahupun sesiapa jua diberi buku lima, atau pula menurut kekasih hati lari meninggalkan keluarga, si anak tidak berasa janggal ditegur, dinasihati malah juga dihukum.
Hal tersebut tidak lain kerana nasihat bapanya telah sering diterima. Akhlaknya dibentuk, keperibadiannya diperkukuh, dan nafsunya dididik untuk dilentur. Maka tidak asing baginya mendengar ungkapan nasihat sebagaimana dilantun Raja Ali Haji, “Nasihat ayahanda anakanda fikirkan, keliru syaitan anakanda jagakan, orang berakal anakanda hampirkan, orang jahat anakanda jauhkan. Inilah nasihat ayahanda tuan, kepada anakanda muda bangsawan, nafsu yang jahat anakanda lawan, supaya kita jangan tertawan.”