Apakah terdapat pada umat Islam suatu semangat berdaya maju dalam mendepani teknologi penggugat (disruptive technology) yang menjadi cabaran semasa dunia masa kini?
Hakikatnya, teknologi penggugat yang ditakrifkan sebagai teknologi baru yang menggantikan proses, pelaksanaan, produk, prosedur, atau tabiat lama, bukanlah sesuatu yang asing dalam peradaban Islam.
Menurut sejarawan teknologi, Donald Routledge Hill dan Ahmad Yousef al-Hassan, semasa orang Islam menyebar ke benua-benua Afrika dan Eropah pada 200 tahun pertama Hijrah, mereka telah memperkenalkan pembauran tanaman ke tanah pertanian. Teknik pertanian baru dipanggil al-filahah telah menggugat dan menggantikan sistem lama orang Rumawi dan Byzantine yang bergantung kepada teknik penanaman dengan sejenis tanaman dan hanya pada musim sejuk.
Hasilnya, suatu revolusi pertanian berjaya dicetuskan melalui teknik pertanian baru yang melibatkan penggiliran tanaman dari kawasan tropika seperti padi, kapas, tebu, timun, dan tembikai di wilayah-wilayah sejuk dan kering,
Teknik tersebut meningkatkan kesuburan dan hasil kawasan yang tidak dikerjakan semasa musim panas terik, menjadikannya sedia dituai empat kali setahun berbanding sistem sebelum itu yang melaluinya penuaian hanya boleh dilaksanakan sekali setiap 24 bulan.
Berbekalkan ilham ayat-ayat al-Qur’an berkenaan taman-taman syurga di negeri Akhirat, orang Islam terdahulu telah memerah keringat untuk membangunkan (‘imarah) dan membaikkan (islah) taman-taman dunia demi kebaikan seluruh manusia.
Satu lagi contoh keterbiasaan orang Islam dengan teknologi penggugat boleh ditemui pada abad ke-9, apabila ahli falsafah dan ahli sains bernama al-Kindi yang bekerja di bawah naungan para khalifah ‘Abbasiyyah, mencipta teknologi penyulingan. Al-Kindi telah merakamkan tekniknya dalam karyanya berjudul Kitab al-Kimiya al-‘Itr wa Tas‘idat, suatu karya mukhtasar mengenai kimia minyak wangi, air mawar, dan minyak pati dan kaedah-kaedah penyulingannya.
Kemajuan dalam teknologi penyulingan membolehkan penapisan petroleum yang digali dari bawah tanah menjadi nafta (naft) dan alkohol (al-kuhl) yang mempunyai pelbagai kegunaan sehingga kini.
Dalam bidang perubatan, nafta digunakan untuk merawat kurap pada haiwan seperti anjing dan unta, namun alkohol berterusan digunakan sebagai bahan penyahjangkit yang menggantikan kaedah pelecuhan luka dengan besi panas yang amat menyakitkan.
Nafta turut digunakan oleh tentera Islam dalam tiga Perang Salib di abad ke-11, 12, dan 13. Dalam hal demikian, nafta berperanan sebagai bahan utama dalam senjata membakar berjarak (alat al-nar) seperti pasu api (qidr) yang dilemparkan laksana bom tangan dan roket api (naft tayyar).
Keberkesanan persenjataan tersebut terserlah apabila tentera Mamluk berhasil menggabungkan senjata-senjata itu dalam doktrin ketenteraan dan helah peperangan bagi mengalahkan gerombolan orang Mongol dalam serangan balas mereka, dua tahun selepas serangan oleh Hulagu Khan ke atas kota Baghdad pada tahun 1258 yang menyebabkan kematian seramai 800,000 hingga 2 juta orang awam.
Pembangunan teknologi orang Islam ini berakar umbikan kefahaman falsafi ‘ilm al-hiyal, suatu cabang sains yang ditakrifkan oleh ahli falsafah abad ke-10 iaitu Abu al-Hasan al-‘Amiri sebagai disiplin ilmu berkenaan kerja air dan mengatasi halangan menggunakan matematik dan sains tabi‘i.
Disiplin ‘ilm al-hiyal juga berkait rapat dengan penciptaan pelbagai jenis pam, pintu air, dan alat-alat yang digunakan bersama-sama teknik pertanian al-filahah.
Perkataan Melayu “helah” berasal dari Arab hilah dengan kata jamaknya hiyal. Menurut pakar bahasa Arab abad ke-14, Ibn Manzur, akar katanya hala bermaksud mengubah, mensasar, atau meninggalkan kelakuan biasa. Ia juga berkongsi akar kata dengan perkataan hal yang merujuk kepada keadaan, situasi, atau hal ehwal. Justeru, hilah boleh difahami sebagai penzahiran kuasa dalam bentuk melepaskan diri dari kelakuan biasa atau dari suatu keadaan.
Ibn Manzur, dalam kamusnya Lisan al-‘Arab, mengesani sehingga ke Ibn ‘Abbas penggunaan awal istilah hawl oleh Rasulullah s.a.w., yang berdoa kepada Allah dan memanggil-Nya sebagai Pemilik Kuasa yang Mahadahsyat (dha-’l-Hayli al-Shadid). Turut berkait ialah perkataan hawl dalam sebutan zikir La hawla wa la quwwata illa bi-’Llahi (“Tiada daya upaya dan tiada kuasa melainkan dengan Allah”).
Dari sudut pandang bahasa, hiyal bermaksud muslihat, tipu daya atau tipu helah, dan cara mengendali. Dari segi tadbir urus pula, ihtiyal merujuk kepada kemahiran untuk mentadbir dengan betul, untuk mengadakan dasar-dasar, atau untuk menjalankan sesuatu urusan.
Contoh-contoh ini juga menunjukkan bahawa dengan melangkah secara berani dalam menerokai kembali khazanah tradisi keilmuan Islam dan menjadikannya sebagai sumber kekuatan, orang Islam dapat membangkitkan suatu semangat berdaya maju yang terpendam namun amat diperlukan di kala ini dalam mendepani cabaran perubahan zaman.