Porak peranda yang berlaku dewasa ini, baik di kalangan individu ataupun organisasi mahupun di antara negara banyak berpunca daripada sikap tidak mahu bertolak ansur atau tidak mahu mengalah.
Ada individu yang sanggup bergolok gadai semata-mata mahukan sesuatu jawatan; ada organisasi yang sanggup melaksanakan pengambilan dan pengambilalihan semata-mata mahukan penguasaan menyeluruh ke atas industri; dan ada negara yang tidak mahu berunding untuk menyelesaikan sesuatu masalah serantau, semata-mata mahukan peluasan pengaruh ataupun bimbangkan sektor ekonominya terjejas.
Kedegilan dan sikap keras kepala tidak mahu mengalah ini bukan sahaja memberi kesan buruk kepada kestabilan sosio politik dan ekonomi; ia juga ada boleh melarat kepada keganasan, pertumpahan darah, konflik antara agama serta pembersihan etnik.
Dalam Islam, unsur tolak ansur merupakan prinsip utama yang diguna pakai untuk mendukung hak-hak kemanusiaan. Tanpa unsur ini, individu-individu (baik yang beragama Islam atau tidak) akan terasa tertindas dan tidak mendapat pembelaan yang sewajarnya.
Sejarah telah membuktikan bahawa unsur tolak ansur yang merupakan tunjang utama yang membolehkan Islam di Sepanyol berkembang pesat dan seterusnya menyumbang kepada peradaban manusia dalam segala bidang.
Ini berbeza sekali dengan layanan yang diberikan oleh Raja Ferdinand dan Ratu Isabela kepada orang Islam selepas kejatuhan kerajaan Islam di Sepanyol. Hakikat ini diakui oleh seorang pendakwah Kristian yang mengkaji penyebaran agama Islam iaitu T.W. Arnold di mana beliau menyatakan:
�Kita tidak pernah mendengar semasa sepanjang pemerintah Islam di Sepanyol, sebarang usaha secara tersusun dilakukan untuk memaksa golongan bukan Islam supaya memeluk agama itu; malah tidak wujud sebarang penindasan secara sistematik untuk menghapuskan agama Kristian. Jika para khalifah mengambil salah satu pendekatan ini, mungkin mereka telah menghapuskan sama sekali orang-orang Kristian sebagaimana Ferdinand dan Isabella menghalau keluar Islam daripada bumi Sepanyol; atau sebagaimana Louis ke-14 lakukan terhadap golongan Protestan di Perancis.
Pendekatan politik yang membawa kepada kestabilan sosial di Malaysia adalah mirip pendekatan yang diambil oleh kerajaan Islam di Sepanyol sewaktu zaman kegemilangan Islam di sana. Di Malaysia, orang-orang bukan Islam menikmati tahap tolak ansur yang tinggi daripada masyarakat Islam; sama seperti yang dinikmati oleh orang Kristian dan Yahudi sepanjang 800 tahun pemerintahan Islam di Sepanyol.
Adalah tidak keterlaluan juga jika dikatakan bahawa ciri tersebut merupakan unsur yang terpenting yang membawa kepada kemakmuran yang dinikmati Malaysia pada hari ini. Dalam suasana kepelbagaian agama, kaum dan budaya; ditambah pula dengan keadaan sosio politik dan ekonomi yang tiada bandingnya � di mana kuasa politik berada di tangan orang Melayu yang kebanyakannya beragama Islam, manakala kuasa ekonomi di pegang oleh orang Cina – Malaysia mampu memperlihatkan satu model kepada masyarakat dunia bahawa keharmonian dan kemakmuran negara sebenarnya bergantung kepada unsur tolak ansur, kejujuran dan kegigihan rakyat.
Bagaimanapun, sebagai orang Islam, kita perlu memahami erti tolak ansur ini dalam ertikata yang sebenar. Tolak ansur atau dalam bahasa Arab “tasaamuh” bermaksud kita menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya, pegangan dan adat resam penduduk dunia. Bagaimanapun ini tidak bermakna orang Islam mesti tunduk atau berkompromi dalam setiap perkara atau urusan.
Tetapi suasana semasa menunjukkan bahawa orang Islam sangat mudah bertolak ansur. Kesempatan ini digunakan sebaiknya oleh pihak musuh dengan mempergadaikan perasaan tolak ansur masyarakat Islam bagi mengukuhkan kedudukan mereka di negara kita.
Dalam sesetengah perkara, Islam boleh bertolak ansur. Akan tetapi jika ia melibatkan kezaliman, penindasan atau pencabulan hak asasi orang lain, Islam tidak memberi sebarang ruang tolak ansur untuk menghalalkan perkara-perkara tersebut.
Begitu juga jika ia melibatkan tentang akidah, hukum hakam serta kedaulatan agama. Ini kerana Islam adalah berbeza dengan agama dan pemikiran lain. Walaupun terdapat perkara-perkara baru dalam kehidupan umat Islam masa ini yang sememangnya menuntut kaedah penyelesaian yang baru, ia bukan alasan untuk mengubah hukum yang telah ditetapkan Islam. Jadi orang Islam tidak boleh sama sekali menggadaikan maruah agama demi memuaskan hati mana-mana pihak supaya kepentingan politiknya tidak terjejas.
Sebagai orang Islam kita mesti mempunyai satu semangat nafsiah yang tinggi dan perlu berbangga kerana menjadi seorang Islam. Justeru itu kita tidak seharusnya mudah tunduk dengan sebarang tekanan yang dikenakan oleh mana-mana pihak.
Kalau kita cuba kaitkan unsur tolak ansur ini dengan isu-isu semasa, nyata kita agak berlebihan dalam aspek ini dan sentiasa ditolak dan selalu beransur. Lihat saja kepada pekerja asing (sama ada yang masuk secara sah mahupun secara haram). Banyak kes pelanggaran undang-undang yang melibatkan golongan ini. Meskipun begitu, kita sebagai tuan rumah masih mampu melayan mereka dengan baik.
Dalam unsur penjagaan alam sekitar dan perkara yang berkaitan dengan pencemaran air minuman, kita dapati pihak berkuasa amat “bertolak ansur” dengan pihak-pihak yang bersalah. Kepentingan segelintir pemaju perumahan dan penternak babi dilihat lebih penting berbanding dengan jutaan pengguna. Sebab itu walaupun diberi amaran dan diberi saman banyak kali, pihak pemaju dan penternak ini masih lagi mampu menorah bukit bukau sesuka hati dan mengalirkan sisa kumbahan ternakan mereka ke dalam sungai tanpa rasa bersalah terhadap masyarakat kerana mereka tahu tahap “tolak ansur” pihak berkuasa ini.
Umat Islam perlu dilihat sebagai sebuah masyarakat yang mempunyai sikap tolak ansur yang tinggi dan tersendiri. Pada masa yang sama mereka juga perlu dilihat sebagai sebuah masyarakat yang tidak akan bertolak ansur jika kepentingan mereka diperkotak-katikkan oleh mana-mana pihak.
Lihat saja ketegasan Iran dalam menangani isu nuklear mereka. Ketegasan sebegini perlu ada pada setiap individu dan kerajaan Islam di muka bumi ini. Barat terutama Amerika Syarikat mungkin terpaksa berfikir banyak kali sebelum mereka melakukan sesuatu ke atas Iran.