Wawasan Kemakmuran Bersama 2020-2030 merupakan kesinambungan daripada Wawasan 2020 yang bakal berakhir pada penghujung tahun ini. Sebagai satu wawasan lanjutan, tidak banyak yang berbeza atau berubah daripada wawasan sebelumnya cuma ia mempunyai lebih banyak lagi perkara baharu sebagai reaksi atau penambahbaikan daripada wawasan sebelumnya. Namun ia tetap satu wawasan kebangsaan dan setiap anggota masyarakat pelbagai lapisan wajar memahami matlamat dan beberapa langkah inisiatif yang perlu dilaksanakan bagi mencapai matlamat wawasan ini.
Lebih dikenali sebagai Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 atau WKB2030, ia boleh dianggap sebagai satu garis panduan yang akan memandu rakyat dan negara mencapai status sebuah negara maju di mana seluruh rakyatnya akan dapat bersama menikmati kemakmuran dan kesenangan secara adil dan saksama. Kesenangan dan kemakmuran yang akan diperoleh itu nanti ialah hasil daripada segala usaha yang dilakukan pada masa sekarang demi merealisasikan matlamat WKB itu tercapai. Ia merupakan sebuah wawasan, dan ia menyediakan platform asas untuk mencapai matlamatnya, iaitu, membina sebuah negara maju, menjadikan rakyatnya maju, dan akhirnya mereka dapat menikmati hasil kemajuan tersebut secara bersama, adil dan bermaruah, serta tiada yang ketinggalan. Apakah itu wawasan dan mengapa ia perlu?
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, wawasan ialah visi, iaitu sebuah pandangan jauh ke hadapan, atau yang melangkaui masa hadapan, dan ia menyentuh tentang perkembangan masa hadapan sesebuah organisasi atau negara, dan mengandungi beberapa matlamat yang penting untuk dicapai dalam memenuhi hasrat wawasan tersebut. Berdasarkan kepada pengertian konsep ini, wawasan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, baik seorang individu untuk masa hadapan dirinya sendiri, keluarga, ataupun seorang pemimpin yang memerintah sesebuah negara. Wawasan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan seseorang, lebih-lebih lagi jika dia ialah pemimpin atau pemerintah, kerana wawasan yang dibentuk itu akan memandu arah dan mengatur perjalanan sesebuah negara yang diperintahnya menuju masa hadapan yang bermatlamat. Malah, bagi seseorang pemerintah dan ketua kerajaan, wawasan merupakan satu prasyarat penting kepadanya, kerana ia perlu berfikir dan memimpin rakyat dan negaranya memasuki suatu era masa hadapan yang lebih baik. Sesuatu yang amat mustahil bagi mana-mana negara untuk terus maju ke hadapan sekiranya pemerintah itu tidak mempunyai sebarang wawasan. Rakyat juga akan menjadi lebih fokus, dan akan menilai dan melihat pemimpin mereka sebagai seorang pemerintah yang berwawasan, sistematik dan teratur. Ciri-ciri kepemimpinan yang berwawasan dan bermatlamat ini sebenarnya telah ditunjukkan oleh Rasul S.A.W dan merupakan satu sifat kepemimpinan Baginda. Baginda juga telah diiktiraf sebagai seorang pemimpin dunia yang amat berkarisma dan penuh dengan wawasan.
Sebagai seorang rasul, Baginda telah mendapat wahyu dan petunjuk terus dari Allah S.W.T. dalam misi dan visi dakwah kepada seluruh umat manusia. Sikap tersebut adalah contoh yang ditunjukkan kepada umat manusia agar mereka dapat meneruskan legasi kepemimpinan cara Rasul bagi melahirkan satu kehidupan yang makmur dan sejahtera. Sifat kepemimpinan ini telah terbina dari dalam diri Baginda sendiri, yang telah terbentuk sebagai satu sifat sahsiah dalaman, serta terserlah di dalam segala aspek kehidupan Baginda.
Secara umumnya, memang ramai daripada kalangan kita yang maklum akan sirah keperibadian dan kepemimpinan Baginda, tetapi berapa ramai yang sanggup mengabadikan sifat-sifat tersebut dalam diri masing-masing, apatah lagi sebagai satu ikutan dalam menjalani kehidupan. Akibatnya, wawasan dan matlamat kepemimpinan menjadi haru dan berliku, lantas rasuah dan salah guna kuasa menjadi berleluasa. Akibatnya, kemajuan negara tidak terbina dan kemakmuran bersama tidak dapat dirasai. Oleh yang demikian, salah satu asas pertimbangan kepada kewujudan matlamat kemakmuran bersama ini ialah untuk menghapuskan amalan rasuah dan salah guna kuasa kerana ia dilihat secara langsung akan menjejaskan kemakmuran bersama.
Secara umumnya, WKB ini dilihat sebagai berkisar tentang pengukuhan sektor ekonomi dalam melonjakkan lagi status pembangunan negara. Ini menunjukkan bahawa ia merupakan satu elemen yang penting kepada pembinaan kesejahteraan masyarakat dan kemakmuran bersama. Seterusnya, faktor ekonomi juga ialah platform asas kepada pengembangan pelbagai aktiviti perekonomian lain seperti membina lebih banyak lagi peluang pekerjaan kepada rakyat, membina masyarakat yang celik ilmu dan luas pengetahuan serta kemahiran, merancakkan lagi penyediaan kemudahan sumber ekonomi termaju secara digital dan berasaskan pengetahuan IR4.0, serta lain-lain lagi. Kesemua perkara ini tidak akan dapat dicapai sekiranya masyarakat tidak berani untuk berfikir secara kreatif dan berwawasan demi membina masa hadapan yang lebih baik.
Sehubungan dengan ini, mempunyai niat dan wawasan atau pun matlamat untuk berubah kepada suatu keadaan atau kehidupan yang lebih baik daripada masa sekarang dan menuju satu kehidupan yang lebih sempurna pada masa hadapan sebenarnya lebih menjurus kepada satu bentuk penghijrahan. Ia lebih mirip kepada penghijrahan fizikal dan mental sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ibnu Qayyim al Jauziyyah. Penghijrahan seperti ini juga merupakan satu tuntutan dalam ajaran Islam kerana ia membebaskan ummah dari belenggu kehidupan yang tidak produktif dan sia-sia serta tidak membawa kepada sebarang perubahan dan kemajuan yang dituntut syariat. Firman Allah dalam surah al Baqarah, ayat 218 yang bermaksud.. ‘Sesungguhnya orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’.